Home » » Kemelut #MBSelangor beri kesan ekonomi negeri

Kemelut #MBSelangor beri kesan ekonomi negeri

Written By kall on Wednesday 23 July 2014 | 09:34


Pilihan Anda

Kemelut #MBSelangor beri kesan ekonomi negeri

KUALA LUMPUR - Krisis kepemimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mahu menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, bakal memberi kesan negatif kepada ekonomi negeri itu jika tidak ditangani dengan baik.

Profesor Adjung Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Hasan Harun berkata, akibat krisis itu juga negara akan turut menerima tempias secara tidak langsung memandangkan Selangor adalah cermin negara dalam sektor pelaburan dan perindustrian di negara ini.

"Ia akan memberi masalah pentadbiran kepada kerajaan negeri. Kepimpinan dari segi politik memang penting, tapi pemimpin pun perlu tahu mengenai pentadbiran ekonomi dan kena beri tumpuan sepenuhnya.

"Khalid selama ini terkenal dengan pentadbiran yang baik, malah ketika menjawat jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Permodalan Nasional Berhad sedangkan ramai yang melihat (Datin Seri) Wan Azizah hanya akan jadi boneka," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Sains Politik, Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang (USM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata krisis berkenaan akan mengundang bencana kepada pakatan pembangkang di Selangor kerana sebilangan besar anggota PAS masih belum dapat menerima wanita sebagai pemimpin tertinggi dalam pentadbiran.

"Walaupun PAS setuju Khalid ditukar dengan Wan Azizah belum tentu ia akan berlaku kerana Khalid dah kata awal-awal beliau akan terus jadi menteri besar sehingga Pilihan Raya Umum ke-14. Jadi nak tak nak pakatan pembangkang kena buat undi tak percaya pada Khalidlah.

"Selain itu, ia perlu mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi sebarang pertukaran membabitkan jawatan tersebut," katanya.

Dalam masa yang sama, Kamarul Zaman berkata langkah yang diambil PKR berhubung keputusan mereka menukar menteri besar boleh dipersoalkan memandangkan parti itu mempunyai kuasa untuk mengarah Khalid menjalankan pentadbiran kerajaan negeri mengikut kehendak parti itu.

"Apa pembaharuan yang boleh Wan Azizah buat di Selangor dalam keadaan beliau langsung tiada pengalaman sebagai pentadbir kerajaan.

"Penggantian ini senang diperleceh sebagai 'marry-to-krasi' atau melantik Wan Azizah atas dasar isteri yang bertentangan dengan apa yang sering dilaksanakan iaitu meritokrasi atau demokrasi," katanya.

Semalam, PKR mencapai kata sepakat untuk memilih Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat atas kapasiti Wan Azizah yang dikatakan mampu menyelesaikan banyak perkara tertangguh di negeri itu.

Anwar dalam masa yang sama berkata perbincangan pelantikan menteri besar baharu masih dibincangkan dengan Abdul Khalid.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad menjelaskan pihaknya tidak pernah memberi persetujuan kepada sekutunya untuk menggantikan Abdul Khalid dengan mana-mana pemimpin.

Iskandar berkata, setakat ini pihaknya belum membuat ketetapan rasmi atau tidak menerima sebarang maklumat daripada kepimpinan Pas Pusat mengenai persetujuan berkaitan usaha menukar menteri besar. - Bernama
disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page
new innity_adZone("c5b270a763686e776039618cc709f3a6", "45838", {"origin": "MY", "width": "300", "height": "250"}); adv_username = "amjadanas"; adv_gid = "amjadanas_default"; adtype = "336x280";


0 comments: