Home » » Cerita Kerepek Ubi batu pahat Azhar Food

Cerita Kerepek Ubi batu pahat Azhar Food

Written By kall on Sunday 7 August 2011 | 14:14

MENJELANG Ramadan, nama Azhar Food pasti di sebut-sebut. Jenama itu bukan sahaja meniti di bibir suri rumah di Rengit, Batu Pahat tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan, di mana-mana sahaja, khususnya di Johor, orang sudah bercakap tentang produk Azhar Food.

Bahkan, ada yang merancang untuk membeli kerepek, kuih-muih tradisional, kekacang dan jeruk di situ menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Dari Johor Bahru hingga ke Muar, dari Segamat merentas ke Mersing, nama Azhar Food bukan nama asing di negeri selatan tanah air ini.

Cukup dikenali sebagai pengeluar, pengimport dan pemborong makanan ringan, ia juga popular sebagai hab pemasaran pelbagai produk industri kecil dan sederhana (IKS).

Tidak hairanlah, jika berkunjung ke Azhar Manufacturing Sdn. Bhd., pasti anda akan berjumpa dengan pelbagai jenis kudapan sama ada kering atau basah. Semuanya ada di bawah satu bumbung.

Lebih menarik, ia dijual pada harga yang cukup berpatutan.

Cerewet


HANYA suhu dan masa memasak yang tepat dapat menghasilkan kerepek ubi yang terbaik.


Seorang pelanggan tetap Azhar Food, Khairunisa Idros, 28, berkata, dia yang bekerja di Johor Bahru sentiasa mencari peluang untuk datang ke Azhar Food sekiranya pulang ke kampung.

"Kalau ke sini, pasti saya akan beli kerepek pisang tanduk, kacang tanah goreng dan kuih cakar ayam.

"Di sini banyak pilihan, terutamanya kuih-muih lama. Harga yang ditawarkan juga munasabah," katanya yang berasal dari Kampung Sungai Jambi Darat, Rengit.

Selain warga tempatan, kerepek keluaran Azhar Food turut diminati Rabia'tul Adawiyah Mustapha, 28, anak kelahiran Pulau Pinang yang menetap di Shah Alam, Selangor.

"Walaupun kerepek amat sinonim sebagai snek orang Jawa, saya sangat menggemarinya.

"Malah, untuk Aidilfitri kali ini, saya memilih untuk hidangkan kerepek pada tetamu kerana ia lebih laku berbanding biskut," katanya yang sering mengirim kerepek sira pedas dan kerepek pisang melalui rakannya.

Operasi kilang milik Azhar Rasnan, 44, dan isterinya, Mariam Boon, 43, itu mulai sibuk biarpun Ramadan baharu sahaja bermula.

"Dua minggu sebelum Ramadan, kami sibuk menyiapkan tempahan kerepek sempena hari raya," kata Mariam ketika ditemui baru-baru ini.

10 tan


PADA hari biasa, sebanyak enam tan ubi kayu akan diproses manakala pada musim perayaan, jumlahnya meningkat sehingga 10 tan.


Menjadikan kerepek ubi kayu sebagai identiti Azhar Food, wanita gigih kelahiran Senggarang ini mengakui dia cerewet terhadap kualiti produk utama keluarannya itu.

"Sebanyak 80 peratus daripada permintaan pelanggan adalah kerepek ubi, 10 peratus kerepek pisang dan 10 peratus lagi kerepek lain, seperti keledek, keladi, kacang dhal dan sebagainya.

"Untuk menghasilkan kerepek ubi yang berkualiti, bahan mentahnya juga perlu bagus.

"Kami di sini banyak menggunakan ubi kayu putih kerana hasilnya boleh dipelbagaikan, berbanding ubi kayu kuning.

"Sumber ubi pula diambil daripada ladang milik kilang kami seluas lebih 20 hektar di Tanah Pertanian Moden (TPN) Air Hitam.

"Selain itu, kami juga membeli ubi kayu daripada pekebun-pekebun kecil sekitar Batu Pahat dan Selangor," katanya.

Sambil melihat pekerja-pekerja wanita mengopek ubi kayu di belakang pusat jualan Azhar Food, Mariam menjelaskan, setiap hari kilangnya akan memproses enam tan ubi kayu.

Menjelang Ramadan, jumlah itu akan bertambah sehingga 10 tan sehari.


SEBANYAK enam kuali besar digunakan untuk menggoreng kerepek setiap hari di Azhar Food.


Selesai sahaja kerja mengopek, ubi akan dibersihkan dan dihiris menggunakan dua mesin yang direka khas.

Setelah itu, kepingan nipis ubi kayu akan digoreng menggunakan kuali besar selama tiga hingga empat minit.

Ditanya mengenai rahsia kerangupan dan keenakan kerepek ubi keluarannya, Mariam memberitahu, tiada apa yang perlu disorokkan.

"Kami hanya masukkan sedikit bancuhan air garam ke dalam kuali semasa mula menggoreng.

"Apa yang lebih penting ialah tempoh memasak. Selain itu, suhu yang digunakan juga harus tepat dan sekata," ujarnya.

Selain itu, Mariam memberitahu, kebersihan minyak yang digunakan untuk menggoreng juga mempengaruhi kualiti kerepek.

"Setiap kuali memerlukan 22 tong minyak masak dan ia hanya digunakan selama seminggu.

"Selepas seminggu, minyak akan dikeluarkan dan mesin akan dicuci. Minyak terpakai biasanya dijual namun pada tahun hadapan, kami merancang untuk memproses semula minyak tersebut untuk dijadikan bahan biodiesel dengan kerjasama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)," jelasnya.

Noda hitam


SETIAP kali musim perayaan, Azhar Food mengeluarkan ratusan tan kerepek ubi kayu untuk pasaran dalam negara dan Singapura.


Selesai digoreng, kerepek akan disejukkan dan diasing-asingkan.

"Kerepek perlu bebas daripada noda hitam di tengahnya yang hadir kesan daripada ubi kayu kurang baik.

"Walaupun besarnya hanya setitik, ia dianggap rosak dan tidak akan dijual," katanya.

Selepas lima minit dibiarkan sejuk, kerepek akan dibungkus dalam satu beg plastik besar bersaiz lima kilogram (kg).

Selain digoreng, Azhar Food juga menawarkan kerepek ubi bersira sambal basah dan kerepek ubi berperisa.

Dijual secara pukal iaitu RM27.50 untuk saiz 5kg dan RM3 untuk saiz 500 gram, pasaran kerepek ubi Azhar Food tidak hanya terhad di Batu Pahat sebaliknya turut mempunyai pengedar di seluruh Johor.

"Saya juga mempunyai pengedar di Pantai Timur dan utara tanah air," katanya yang menghantar dua lori kerepek kepada pelanggannya setiap hari.

Tidak menang tangan memenuhi permintaan daripada pengedar-pengedarnya, Mariam mengakui kekurangan bahan mentah menjadikannya perlu lebih selektif.

"Kalau hendak raya, saya memang tidak mampu hendak penuhi permintaan pelanggan.


AZHAR FOOD terkenal di kalangan penduduk Batu Pahat sebagai hab makanan ringan dan kuih-muih tradisional.


"Mana tidaknya, jika pada bulan biasa seorang pengedar tempah satu tan tetapi menjelang puasa, pesanan meningkat sehingga 15 tan seorang.

"Kalau ada 100 pelanggan, memang tidak menang tangan kita nak membahagi-bahagikannya," ujarnya yang menjual hampir ratusan tan kerepek setiap kali Ramadan.

Sebagai persiapan menjelang Aidilfitri tahun ini, Azhar Food telah membesarkan pusat jualannya bagi memberi keselesaan kepada pelanggan untuk memilih produk makanan kegemaran mereka.

"Dengan cara ini juga lebih banyak produk IKS tempatan dapat dikumpul dan dijual di sini," kata Mariam yang turut mengimport pelbagai jenis kek lapis dari Indonesia.

"Tak salah kalau kita beri peluang kepada pengusaha IKS untuk sama-sama berniaga.

"Kalau mereka ada produk dan berpotensi untuk diketengahkan, mengapa tidak diberikan peluang? Sedikit sebanyak ia dapat menggalakkan orang Melayu berniaga," katanya yang sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan jumlah jualan supaya harga barangan dapat dikekalkan.

Tidak hairanlah, di kilang ini para pelanggan boleh kelabu mata dengan variasi kerepek dan kuih-muih yang semuanya dijual dengan harga berpatutan.

Mariam pamer kerepek di Melbourne


SELAIN kerepek, Azhar Food juga mengeluarkan kuih-muih tradisional dan moden.


BIARPUN kerepek ubinya popular dalam negara dan pasaran Singapura, Mariam dan Azhar belum ghairah untuk membawa produk mereka ke pasaran lebih luas.

Walaupun pernah mengadakan pameran di Melbourne, Hong Kong, Bangkok dan Singapura, mereka masih menetapkan fokus untuk memenuhi keperluan kerepek dalam negara sebelum membawanya ke pasaran luar.

"Buat masa ini saya belum ghairah untuk ke pasaran antarabangsa.

"Kalau ke luar negara pun, belum tentu saya dapat penuhi permintaan tersebut kerana bekalan ubi kayu mentah untuk memenuhi pasaran tempatan masih kurang," jelas Mariam.

Sungguhpun begitu, pasangan ini menyediakan kesanggupan untuk menembusi pasaran antarabangsa sekiranya bekalan bahan mentah mencukupi.

Untuk meletakkan jenama Azhar Food setanding dengan jenama makanan ringan antarabangsa, syarikat ini turut melabur dalam inovasi pembungkusan yang lebih komersial, tahan lama dan praktikal.

Tampil lebih yakin dengan pembungkusan berkualiti dan menarik, ia adalah usaha Azhar Food selepas 20 tahun bertapak di Malaysia.

"Sebelum ini kami selesa dengan pembungkusan pukal, tetapi kali ini kami mempelbagaikan saiz untuk keselesaan pelanggan.

"Selain pembungkusan vakum menggunakan plastik jernih, kami juga mengeluarkan produk di dalam bekas kanister yang kedap udara," katanya.

Selain kerepek, samosa otak-otak dan biskut suji adalah produk keluaran syarikat Azhar Food Manufacturing Sdn. Bhd. yang mendapat tempat dalam kalangan penggemar makanan kering tempatan.

"Samosa otak-otak ini produk terbaharu kami. Teksturnya yang rangup dan intinya yang enak menjadikan kuih ini pilihan utama pada musim lebaran nanti.

"Biskut suji atau biskut Arab ini pula diadun mengikut ramuan warisan bagi mengekalkan rasa lemak manisnya," jelas Mariam.

2 comments:

jeje said...

jinyi827
air jordan officiel france Les chaussures chaussures nike sb de bureau peuvent présenter certaines difficultés pour asics gel kinsei 6 rouge les concepteurs de chaussures. acheter nike air max homme Sharon NR01 est écrit par Air Jordan 30 soldes sharon sur 4.17. Avec Lunarglide asics femme sur votre marché pendant l'année air jordan bleu femme civile 2009, les acheteurs air jordan 1 mid wb se familiarisent avec ce savoir-faire particulier. air jordan 5 pas cher homme


zzyytt said...

golden goose sneakers
nike shox outlet
yeezy
lacoste outlet
nike air max 2018
michael kors outlet
lacoste polo shirts
jordan shoes
fila
off white clothing