Home » » Tanam labu 3 bulan sahaja

Tanam labu 3 bulan sahaja

Written By kall on Friday 25 November 2011 | 14:23

Labu perlu banyak air


Labu merupakan antara tanaman yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.


Persediaan tanah dan kawasan

LABU akan mengeluarkan hasil yang tinggi jika ditanam pada tanah yang gembur berpasir, mengandungi banyak bahan organik dan mempunyai saliran yang baik.

Nilai pH yang sesuai ialah antara 5.5-6.5. Jika pH tanah kurang dari yang disyorkan pengapuran perlu dilakukan tidak kurang 14 hari sebelum penanaman dilakukan.

Kadar pengapuran antara tiga dan lima tan/hektar bagi tanah mineral.

Tanah perlu dibajak dan digembur sedalam antara 20 dan 30 sentimeter (sm) untuk memudahkan pertumbuhan akar.

Batas disediakan menggunakan jentera atau secara manual mengikut saiz yang disyorkan, biasanya lebar batas antara satu hingga 1.2 meter, tinggi batas di antara 20 dan 30 sm dan panjang batas mengikut kesesuaian tempat. Jarak antara batas ialah satu meter.

Batas ditambak dengan bahan organik tahi ayam atau kompos antara satu dan tiga kg/meter persegi. Bahan ini hendaklah digaulkan ke dalam tanah satu minggu sebelum menanam bagi membekalkan zat makanan kepada pokok atau antara tiga hingga enam tan/hektar bagi tanah mineral.

Penanaman

Labu boleh ditanam terus ke batas dengan meletakkan dua biji benih bagi setiap lubang yang telah dikorek sedalam satu atau dua sm, selepas itu biji benih dikambus nipis dengan tanah halus atau disemai dahulu ditapak semaian sebelum diubah ke ladang.

Selepas seminggu anak benih bercambah, ia perlu dijarangkan dengan mencabut anak benih yang kurang segar dan tidak sihat.

Tinggalkan satu pokok sahaja setiap lubang penanaman bagi mengelakkan persaingan dari segi makanan, ruang, cahaya dan air.

Tanah di keliling anak benih dipadatkan supaya pokok lebih kuat dan akar tidak terdedah Jarak tanaman yang disyorkan ialah antara 60 dan 100 sm antara barisan pokok dan digalakkan ditanam dalam satu barisan sahaja.

Keperluan biji benih antara 0.8 dan satu kg/hektar.

Pengairan

Tanaman labu memerlukan air yang banyak untuk kelembapan yang cukup bagi pertumbuhan yang lebih subur.

Penyiraman dibuat dua kali sehari di peringkat awal penanaman dan dikurangkan sekali sehari bila pokok besar dan sehingga memungut hasil.

Pengairan dibuat secara manual atau menggunakan sistem pengairan.

Perparitan diperlukan bagi kawasan yang menghadapi masalah saliran. Parit ladang dibina bagi menyalirkan air yang berlebihan ke parit utama.

Pengawalan rumpai

Merumput dilakukan secara manual atau menggunakan bahan sungkupan seperti lalang, rumput kering atau agrosheet, sebarang penyemburan rumpai hendaklah dilakukan sebelum pokok labu berbuah.

Pembajaan

Baja yang disyorkan ialah 70 kg N:140 kg P2O5:200 kg K2O setiap hektar, tetapi ia bergantung pada jenis tanah di sesuatu kawasan, keperluan nutrien tanaman, masa dan cara pembajaan .

Penggunaan baja NPK Hijau 15:15:15 untuk pembajaan pertama boleh di gunakan dengan kadar 30g/pokok dan ditabur keliling dengan jarak antara 15 dan 20 sm dari rumpun pokok serta dikambus.

Pembajaan ulangan kedua dan ketiga boleh menggunakan NPK biru 12:12:7 dengan kadar 40-50 g/pokok diselangkan setiap dua minggu, dan sebelum tanaman berbunga.

Kawalan perosak dan penyakit

Penyakit utama ialah kulapuk berdebu (Erysiphe cichoracearum) yang menyebabkan tompok putih dan berdebu di permukaan daun dan merebak pada keseluruhan daun dan bertukar menjadi kuning, perang dan kering dan berkedut.

Pokok yang diserang kurang berbuah dan kecil bentuknya. Jika terdapat tanda serangan musnahkan daun yang diserang dan sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Serangan kulapok downy (Pseudopereronospora cubensis) ialah pada daun, terdapat bintik berbentuk bersiku siku, berwarna hijau pucat kekuningan di atas daun. Lapisan bawah diselaputi spora dan akhirnya menjadi perang dan mati, buah akan terbantut. Pastikan daun yang diserang dimusnahkan.

Jika serangan teruk sembur dengan racun kulat yang sesuai.

Perosak utama ialah kumang labu (Aulacophora sp.) akan menyebabkan pokok layu dan mati dan menyebabkan daun rosak.

Serangan kutu daun (Aphids sp) menyebabkan daun berkerekot dan pokok terbantut.

Gunakan racun serangga yang sesuai bagi serangan yang teruk.

Penuaian

Hasil labu lemak boleh dituai selepas antaar 60 dan 80 hari penanaman, kematangan boleh dikesan melalui perubahan warna pada kulit buah dari hijau ke kuning sekurangnya 80 peratus warna kekuningan pada buah.

Tangkai buah dipotong antara lima hingga tujuh sm dari pangkal buah dan dimasukkan ke dalam bakul hasil.

Dalam tempoh 90 hari pertumbuhan labu boleh mengeluarkan lima hingga enam biji labu bagi setiap pokok.

Buah labu yang kotor terkena tanah perlu dilap dengan kain yang lembap bagi menghilangkan kotorannya sebelum dijual.

Berat setiap buah labu antara satu dan dua kg sebiji. Ia boleh disimpan selama satu dan dua bulan pada suhu bilik. Hasil sehektar ialah antara 20 dan 25 tan/hektar.