Home » » Pengakuan: Gadis trauma lihat bapa

Pengakuan: Gadis trauma lihat bapa

Written By kall on Monday 7 July 2014 | 00:30


Pilihan Anda

Pengakuan: Gadis trauma lihat bapa

Saya anak tunggal perempuan dalam keluarga dan kini melanjutkan pengajian di tingkatan enam. Dua adik beradik saya yang lain lelaki.

Saya menghadapi masalah iaitu amat tertekan dengan sikap bapa yang tidak suka membantu ibu. Ini kerana bapa saya sangat malas.

Melihatkan keadaan bapa yang tidak pernah menolong ibu di rumah, saya trauma dan takut untuk berkahwin. Saya tidak mahu apabila berkahwin nanti, semuanya terletak di bahu saya.

Suami pula hanya tahu berehat seperti raja. Pengalaman mempunyai ayah seperti ini membuatkan hati saya berfikir banyak kali untuk berkahwin.

Ibu bapa saya bekerja. Ibu bekerja di sebuah pejabat kerajaan manakala bapa di sektor swasta.

Bapa tidak pernah berusaha untuk membantu ibu di dapur. Bapa terlalu banyak menghabiskan masa menonton televisyen. Saya sangat kasihankan ibu. Saya tahu ibu penat bekerja. Apabila pulang dari pejabat, ibu terus ke dapur membuat apa yang patut. Ibu tiada masa langsung untuk berehat.

Jika semua lelaki begini, apakah nasib wanita atau isteri?

SAKIT HATI,
Perlis


Dr empati dengan adik. Bukan mudah membuang rasa tertekan akibat pengalaman mempunyai ayah yang adik rasakan ‘sangat malas’.

Pengalaman hidup itu mencorak sikap dan pemikiran adik. Dalam usaha mengurangkan tekanan dan trauma, adik boleh berfikir bahawa sikap malas boleh berlaku kepada lelaki dan perempuan.

Bukan semua lelaki bersifat malas dan tidak suka membantu isteri di rumah.

Berbalik dengan sikap malas ayah adik, seorang pakar perkahwinan ada mengatakan ada beberapa jenis suami yang malas.

Sikap suami jenis pertama ialah yang bersikap sempurna. Beliau ingin rumahnya sentiasa kelihatan sempurna tetapi tidak ingin membantu dalam membuat kerja rumah.

Jenis kedua ialah suami yang sentiasa ingin dijaga dan seolah-olah tidak berkemampuan membuat kerja rumah. Jenis suami sebegini tidak ubah seperti seorang anak yang perlu dijaga.

Suami jenis ketiga suka marah terutama kepada isterinya.

Seorang pakar perkahwinan lain iaitu David Clarke mengatakan orang lelaki ada yang bersifat tidak suka apabila diminta untuk melakukan kerja rumah.

Mereka akan berfikir panjang apabila diminta untuk melakukan apa disuruh isteri dengan segera. Dirinya merasakan seolah-olah seperti ‘orang suruhan’.

Dalam konteks ini, ada juga orang lelaki sanggup menolong isteri. Namun, apa sebenarnya berlaku ialah isteri sendiri yang akan membuat kerja-kerja itu.

Konflik yang timbul ialah apabila isteri mengingati semula apa yang disuruh, suami menganggap isteri sebagai seorang yang suka mengarah. Kesannya ialah suami bertambah enggan untuk melakukan kerja rumah.

Dalam konteks ini, ketidakupayaan suami ialah untuk menyedari bahawa isteri tidak akan bersifat mengarah jika beliau melakukan apa yang disuruh dalam waktu diinginkan.

Memang benar, kerja rumah adalah terlalu berat jika hanya satu pihak saja melakukannya. Perkongsian dalam satu perkahwinan termasuk berkongsi dalam melakukan kerja-kerja rumah.

Ini boleh mewujudkan perkongsian dan meningkatkan perhubungan suami isteri. Keadaan ini satu isyarat lelaki menghargai dan prihatin kepada isterinya. Berhubung kait dengan masalah adik, ibu adik juga boleh berbincang dengan bapa mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama dalam keluarga termasuk ayah dan adik beradik lain.

Perbincangan antara suami isteri mengenai tanggungjawab yang perlu dipikul bersama boleh mengurangkan bebanan ditanggung.

Adik juga boleh meminta nasihat dan petua memilih calon suami daripada orang yang lebih berpengalaman.

Kaunseling Remaja

disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page
new innity_adZone("c5b270a763686e776039618cc709f3a6", "45838", {"origin": "MY", "width": "300", "height": "250"}); adv_username = "amjadanas"; adv_gid = "amjadanas_default"; adtype = "336x280";


0 comments: