Home » » Penama insurans, letak nama anak akan timbul masalah jika...

Penama insurans, letak nama anak akan timbul masalah jika...

Written By kall on Sunday 4 May 2014 | 15:27


Pilihan Anda

Penama insurans, letak nama anak akan timbul masalah jika...

Kira-kira 80% suami akan meletakkan nama isteri mereka sebagai penama polisi takaful mereka, namun hanya kira-kira 30% isteri meletakkan nama suami mereka sebagai penama,” kata pegawai latihan tersebut kepada para peserta.

Ia disambut dengan hilai tawa para peserta porgram. Baik lelaki mahupun wanita. Ada yang tersenyum-senyum, terutama wanita. Bagi peserta lelaki pula, nampak senyuman sinis di bibir mereka.

Saya pun agak sedikit terkejut dengan pendedahan tersebut.

Selepas beberapa tahun dan sehingga kini hampir sepuluh tahun saya berada di dalam industri ini, apabila diimbas sekali polisi rakan-rakan pelanggan saya sebelum, memang tidak dapat dinafikan kaum wanita akan cenderung untuk tidak meletakkan nama suami mereka sebagai penama takaful mereka.

Ya, kaum wanita yang sudah berkahwin lebih cenderung untuk meletakkan nama anak mereka sebagai penama berbanding lelaki.

Malah, sebenarnya perkara ini bukan saya berlaku di dalam memilih penama polisi takaful, ia juga melibatkan penama di dalam perkara-perkara lain. Sebagai contoh, penama Kumpulan Wang Simpanan Nasional (KWSP), selalunya wanita meletakkan nama ibu bapa mereka.

Berdasarkan maklumat yang saya perolehi, selalunya wanita akan meletakkan nama anak-anak mereka sebagai penama. Dalam kes KWSP pula, nama ibu selalunya diletakkan kerana selalunya mereka bekerja terlebih dahulu dan kemudian baru berkahwin. Selepas berkahwin, penama tersebut tidak diubah.

Isteri “Kurang” Percaya Kepada Suami?


Berdasarkan pengalaman saya berhadapan dengan pelanggan-pelanggan wanita, selalunya alasannya adalah kekhuatiran (baca: ketidakpercayaan) mereka terhadap suami mereka selepas mereka meninggal dunia nanti. Mereka khuatir suami mereka akan berkahwin lain menggunakan duit pampasan takaful mereka.

Kekhuatiran bertambah lagi apabila mereka membayangkan selepas itu suami dengan isteri barunya akan mengabaikan anak-anak kandung mereka. Juga membayangkan yang isteri baru suaminya akan bertindak tidak sewajarnya kepada anak-anak mereka.

Mereka membayangkan isteri baru suami mereka a.k.a ibu tiri anak-anak mereka laksana Rika Sumanto di dalam drama Bawang Merah Bawang Putih. Atau seperti watak Sofia di dalam Puteri Aurora Beradu suatu ketika dahulu.

Ya, satu kekhuatiran yang berasas.

Saya tidak nafikan, kekhuatiran kaum hawa tersebut ada asasnya. Demi kasih sayang ibu kepada anak, kadang-kadang mengatasi kasih sayang isteri kepada suami sendiri.

Apabila ditanya kepada isteri saya pun, begitulah juga perasaannya. Apabila ditanyakan kepada ibu saya pun begitulah halnya.

Penama Hanya Pemegang Amanah, Bukan Penerima

Majlis Fatwa KebangsaanNamun, sebenarnya tindakan meletakkan nama anak sebagai penama tidak menyelesaikan masalah. Kerana, penama hanyalah bertindak sebagai wasi atau pemegang amanah. Penama bukanlah pemegang hak tersebut.

Ia sebenarnya telah diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1978 lagi.

Fatwa tersebut berbunyi;

1. Melantik penama (Nomination) oleh orang-orang Islam dalam mana-mana badan atau institusi di mana mereka menyimpan sebarang harta adalah tidak sah untuk diterima sebagai waris yang berhak menerima pusaka si mati cuma ia adalah sebagai yang melaksanakan wasiat untuk membahagikan harta pusaka tersebut kepada para waris mengikut hukum syarak. 2. Bahawa orang-orang Islam tidak boleh melantik penama (Nominee) oleh kerana penama mengikut definisi undang-undang awam (sivil) adalah bertentangan dengan hukum syarak dan tidak sah. 3. Oleh itu udang-undang awam (sivil) yang berkenaan hendaklah dipinda supaya sebarang penamaan (Nomination) oleh seseorang Islam menjadi tidak sah. Ini bermakna peruntukan mengenai Nomination atau perlantikan nominee tidak tertakluk kepada orang-orang yang beragama Islam sama ada sesuatu Nomination itu dibuat sebelum atau selepas fatwa ini dipersetujui oleh Raja-raja Melayu.

Secara umumnya, penama hanyalah bertindak sebagai pemegang amanah sahaja.

Penama hanyalah sebagai pemegang amanah bagi harta bagi si mati sama ada pampasan takaful/insurans, wang KWSP dan lain-lain. Penama tadi bertanggung jawab untuk mengagih-agihkan harta-harta tadi kepada pewaris si mati mengikut hukum faraid.

Apabila penama yang diletakkan adalah anak di bawah umur 18 tahun, ini akan menimbulkan masalah, kerana harta tersebut akan dibekukan sehinggalah anak tersebut mencapai usia 18 tahun.

Pernah terjadi satu kes, apabila seorang lelaki meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu dan beberapa orang anak. Beruntung balu berkenaan kerana suaminya mengambil polisi takaful. Namun apabila dibuat tuntutan, didapati penama yang diletakkan adalah nama anak-anak mereka.

Maka, wang pampasan tersebut terpaksa dibekukan sehingga penama mencapai usia 18 tahun. Lebih malang lagi, anak sulung mereka baru mencecah usia sekolah rendah. Maka, balu tadi terpaksa menunggu kira-kira sepuluh tahun selepas itu untuk membuat tuntutan sepenuhnya terhadap harta peninggalan si mati.

Justeru, berhati-hati sekiranya Tuan-tuan dan Puan-puan ingin meletakkan nama anak sebagai penama. Pastikan mereka sudah cukup umurnya 18 tahun.

Sebaiknya, letaklah nama orang yang kita terima ijab dan qabulnya sebagai pemegang amanah harta kita sesudah kita tiada.

Nota: Sekiranya tuan-puan masih mampu membaca tulisan ini, bermakna tuan-puan masih berpeluang untuk menukar nama penama tuan-puan sebelum tuan-puan pergi terlebih dahulu.

Sumber
disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page


0 comments: