Home » » Ramkarpal menang, tiga hilang deposit

Ramkarpal menang, tiga hilang deposit

Written By kall on Sunday 25 May 2014 | 23:30


Pilihan Anda

Ramkarpal menang, tiga hilang deposit

GEORGETOWN - Tiga calon yang bertanding dalam PRK Bukit Gelugor hilang deposit setelah gagal memperolehi satu perlapan daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira malam ini.

Mengikut kiraan, undi minimum yang perlu diperolehi calon untuk mengekalkan deposit ialah 5,762 undi.

Calon Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan yang dikatakan mampu memberi saingan kepada calon DAP, Ramkarpal Singh Deo hanya mendapat 3,583 undi.

Calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abdul Sathar yang menggunakan simbol bunga raya memperolehi 799 undi manakala Abu Backer Sidek Mohammad Zan dengan simbol kuda mendapat 225 undi.

Seperti dijangkakan, DAP mengekalkan kerusi Parlimen Bukit Gelugor apabila Ramkarpal yang dicalonkan bagi mempertahankan kerusi disandang bapanya, Karpal Singh memperolehi 41,242 undi dengan mencatatkan majoriti sebanyak 37,659 undi.

Jumlah yang keluar mengundi ialah 56 peratus atau 46,099 pengundi berbanding pada PRU13 yang merekodkan 86.3 peratus atau 70,683 pengundi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK Bukit Gelugor, Kapt (B) Anuar Yahya di pusat penjumlahan undi, Dewan Sri Pinang, pada jam 9 malam.

Turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.

Hadir sama ibunya, Gurmit Kaur dan kedua-dua abangnya, Jagdeep Singh Deo dan Gobind Singh Deo.

Kerusi Parlimen Bukit Gelugor diisytiharkan kosong selepas Karpal, yang juga bekas pengerusi DAP, maut dalam nahas jalan raya berhampiran Kampar, Perak pada 17 April lalu.

Mendiang mewakili kerusi itu sejak tahun 2004 dan mengekalkan kerusi itu pada PRU13 dengan memperolehi 55,839 undi berbanding calon dari MCA yang mewakli BN, Teh Beng Yeam mendapat 14,061 undi.

Karpal menang majoriti 41,778 undi untuk parlimen Bukit Gelugor yang mempunyai tiga Dun iaitu Paya Terubong, Air Itam dan Seri Delima membabitkan 82,431 pengundi.

Ini adalah PRK pertama bagi kerusi parlimen selepas PRU13 manakala empat PRK sebelum ini membabitkan kerusi Dun iaitu Kuala Besut, Terengganu dan Balingian, Sarawak dimenangi BN manakala Sungai Limau, Kedah (Pas) dan Kajang, Selangor (PKR).
disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page


0 comments: