Home » » MyWatch dedah salahlaku Ketua Polis Daerah Langkawi

MyWatch dedah salahlaku Ketua Polis Daerah Langkawi

Written By kall on Monday 26 May 2014 | 12:57


Pilihan Anda

MyWatch dedah salahlaku Ketua Polis Daerah Langkawi

PETALING JAYA: Pengerusi Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R Sri Sanjeevan mendakwa bahawa Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Harrith Kam Abdullah telah menerima rasuah dalam dua kes jenayah yang bertujuan untuk melindung beberapa sindiket Cina di Langkawi.

Menurutnya, beliau mendedahkan perkara ini setelah pihaknya iaitu MyWatch menerima laporan dari seorang pegawai kanan polis yang identitinya dirahsiakan.

Jelasnya, kes pertama iaitu serbuan ke atas pusat hiburan, Supt Harrith telah mengarahkan supaya kes tersebut diklasifikasikan sebagai ‘No Further Action’ (NFA) atas alasan pusat hiburan tersebut mempunyai lesen perniagaan.

“Tujuan Supt Harrith berbuat demikian adalah bagi melindungi tauke pusat hiburan tersebut yang bernama Nicky Tan Peng Chun kerana Nicky Tan Peng Chun merupakan anak kepada Lai San, iaitu sindiket loteri haram di Langkawi.

“Kini, terdapat lima sindiket loteri haram di Langkawi yang membayar wang perlindungan secara bulanan kepada Supt Harrith dengan cara menyerahkan sendiri wang di rumah beliau di Kuarters Ketua Polis Daerah Langkawi,” katanya dalam satu kenyataan kepada FMT.

Bagi kes kedua pula berkenaan tangkapan dua orang lelaki berbangsa Cina, iaitu Cheong Chun Leng dan Choong Kwong Wing. Dua lelaki berbangsa Cina itu disyaki telah melindungi 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Myanmar.

“Supt Harrith telah campur tangan dalam penyiasatan kes ini sehinggakan dua lelaki berbangsa Cina ini diberi jaminan dalam tempoh 24 jam dari waktu tangkapan, sedangkan kes ini belum lagi disiasat.

“Dua orang lelaki Cina ini telah membuat pengakuan kepada orang awam dan kepada pegawai polis lain bahawa mereka telah memberi suapan kepada Supt Harrith dengan wang sebanyak RM15,000,” ujarnya.

Sehubungan itu, Sanjeevan yang mewakili pihak MyWatch mendesak agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat segala rasuah dan salahlaku Supt Harrith dan sepanjang siasatan dijalankan, Supt Harrith haruslah diberi cuti sehingga siasatan selesai dijalankan.

Sanjeevan turut menjelaskan bahawa isu ini telah diadukan beberapa kali kepada Ketua Polis Kedah, namun sehingga kini tiada tindakan lanjut yang diambil.

“Adalah lebih baik sekiranya satu Pasukan Khas diwujudkan bagi menyiasat rasuah dan salahlaku Ketua Polis Daerah Langkawi ini, dan dalam masa yang sama turut menyiasat Ketua Polis Kedah sekiranya beliau terlibat dalam dua kes yang dinyatakan ini.

“Dalam pada masa yang sama, Independent Police Complaints and Misconduct Commission (IPCMC) juga harus ditubuhkan segera untuk menyiasat segala rasuah dan salahlaku dalam PDRM,” katanya.

Jelasnya, pihak MyWatch sedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak PDRM sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan malah pegawai kanan polis yang memberi maklumat ini juga sedia bekerja sama dengan pihak SPRM.

“MyWatch sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan malahan pegawai kanan polis yang memberi maklumat ini juga sedia bekerjasama dengan SPRM untuk memberikan lebih maklumat yang diperlukan kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan PDRM,” katanya.

Buat masa ini, pihak FMT cuba mendapatkan penjelasan daripada Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim bagi menjelaskan perkara ini, namun usaha tersebut gagal ekoran Datuk Ahmad tidak menjawab panggilan telefon.

Sumber: FMT
disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page


0 comments: