Home » » Maut dinoda gadis 'halimunan'

Maut dinoda gadis 'halimunan'

Written By kall on Tuesday 20 May 2014 | 16:39


Pilihan Anda

Maut dinoda gadis 'halimunan'

PERCAYAKAH anda kalau saya katakan bukan masyarakat Melayu saja percaya kepada orang bunian dan makhluk halimunan, malah orang Barat juga begitu? Mulai keluaran ini, saya ingin mengajak anda untuk melihat persamaan itu.

Dalam dua keluaran lepas, ada diceritakan tentang kejadian kemunculan jelmaan-jelmaan gadis jelita yang menggoda sang lelaki. Sejurus terpukau dengan godaan sang gadis itu, lelaki-lelaki ini akan mengalami dua situasi.

Pertama, ghaib untuk tempoh tertentu dan kembali semula ke alam nyata dalam keadaan separuh sedar. Kedua, mereka akan hilang kewarasan, menjadi rindu dan angau untuk hidup bersama si gadis .

Anda jangan terkejut, kepercayaan dan kejadian seumpama ini juga berlaku dalam kalangan masyarakat Barat. Salah satunya ialah Loreley, gadis halimunan yang terkenal di daerah Kaub dan St. Goarshausen, Jerman.

Loreley dikatakan sering muncul di atas sebuah bukit setinggi 194 meter di daerah tersebut yang letaknya di tebing Sungai Rhine. Setiap kali muncul, Loreley dilihat menyisir rambutnya dengan sikat emas sambil menyanyi dengan suara yang sayu. Tetapi setiap kali Loreley menjelma, setiap kali itulah tragedi berlaku.

Ini kerana, kemunculan Loreley akan mengakibatkan kapten serta anak-anak kapal yang berlayar di Sungai Rhine terpukau dan menjadi leka. Tanpa disedari, kapal mereka akhirnya hilang kawalan dan seterusnya melanggar tebing yang dipenuhi batu-batan, lalu karam. Sejurus kapal itu tenggelam, Loreley pun lenyap.

Oleh kerana itu, kerajaan Jerman memasang loceng bagi memastikan kapal-kapal yang melalui kawasan berkenaan sentiasa berhati-hati dan tidak mempedulikan kemunculan Loreley. Kisah ini saya peroleh semasa berkunjung ke sana pada 2003. Sebuah patung Loreley turut dibina di atas sebuah pulau di tengah Sungai Rhine sebagai mercu tanda daerah tersebut.

Siapa Loreley? Kononnya dahulu Loreley gadis cantik yang digilai lelaki. Dia mempunyai kekasih dan mereka sering berjumpa di puncak bukit tersebut sambil memerhatikan keindahan Sungai Rhine.

Suatu hari, lelaki itu diperintahkan raja agar mengikut angkatan perang untuk suatu tempoh yang lama. Maka tinggallah Loreley keseorangan. Bagi menghilangkan rindu, setiap hari Loreley duduk di puncak bukit itu.
Dia menanti kepulangan kekasihnya sambil menyanyi dan menyisir rambutnya yang berkilau bagaikan emas. Dalam tempoh itu dia terus digoda dan difitnah dengan pelbagai tuduhan.

Suatu hari, kapal yang membawa kekasih Loreley pulang. Mereka saling berpandangan tetapi tanpa disedari, kapten kapal yang membawa kekasihnya telah terlalai lantas melanggar tebing sungai. Melihat kapal yang membawa kekasihnya karam, Loreley terus meraung. Tanpa sedar, dia terjatuh dari tebing bukit dan mati lemas. Mayat Loreley tidak dijumpai, tetapi sejak itu dia sering muncul di puncak bukit tersebut sebagai makhluk halimunan.

Dalam kalangan masyarakat Jerman, Loreley digolongkan juga sebagai nixie, iaitu makhluk ghaib seperti bunian. Nixie perempuan mempunyai raut wajah dan bentuk tubuh yang sangat menawan. Ia sering dilihat duduk di tebing sungai sambil menyisir rambutnya yang panjang mengurai.

Nahaslah jika ada lelaki yang cuba mendekatinya. Nixie tersebut akan menggoda dan kemudian membawa mereka ke dalam sungai itu. Kalau ini berlaku, lelaki tersebut akan lenyap ke dalam alam ghaib dan tidak akan ditemui sampai bila-bila.

Ada kalanya nixie ini menyamar sebagai manusia biasa dan pergi ke pasar untuk membeli barang keperluan harian. Kehadiran mereka boleh dikenali kerana hujung kain atau skirt yang dipakai sentiasa basah. Nixie lelaki pula berpakaian serba hijau dan mempunyai gigi yang hijau juga.

Masyarakat Eropah dan Scandinavia turut percaya kepada kewujudan elf, atau disebut juga sebagai alfar. Rakyat Denmark memanggilnya elver, masyarakat Norway menggelarnya alv manakala Sweden, alva.

Elf ialah makhluk halimunan yang bentuk tubuh dan rupanya sama seperti manusia biasa. Seperti orang bunian, elf tinggal di hutan, belukar, gua, bawah tanah, telaga dan kawasan air panas. Elf digambarkan boleh hidup selama beratus-ratus tahun dan mempunyai kuasa sakti.

Dalam masyarakat Denmark, gadis-gadis elf sering menggoda lelaki hingga mereka menjadi angau dan kemudian mengajak mereka menari sehingga mati. Dalam kalangan masyarakat Norway, alv dikatakan tinggal di bukit-bukau serta batu-batu besar.

Sementara itu, masyarakat Sweden pula menggambarkan alvor sebagai gadis-gadis jelita yang tinggal di hutan bersama sang raja. Mereka mempunyai rambut dan kulit yang putih melepak tetapi akan bertindak ganas jika diganggu.

Masyarakat Scandinavia percaya, makhluk halimunan ini sering muncul dan menari di kawasan-kawasan lapang, terutama sekali pada waktu malam dan pagi yang berkabus. Jika sesiapa melihat gadis-gadis elf ini menari, mereka akan menjadi khayal dan asyik, lalu hanyut ke dalam dunia ghaib tersebut.

Mereka berasa hanya menonton tarian itu beberapa jam sahaja, sedangkan hakikatnya masa yang berlalu ialah berbulan atau bertahun-tahun di alam kita. Begitulah perbezaan masa di antara dua alam ini. Menurut cerita, pernah terjadi seorang lelaki telah mati akibat menolak pelawaan puteri elf untuk menari bersamanya.

Kehadiran gadis-gadis elf itu boleh diketahui melalui kesan bulatan tempat mereka menari. Di situ rumputnya rebah akibat diinjak-injak. Kalau ada sesiapa yang membuang air kecil atau memusnahkan apa sahaja yang terdapat di dalam tempat tarian elf, mereka akan ditimpa bencana.

Selain itu, elf dikatakan mampu masuk ke dalam mimpi seseorang dengan membawa mimpi-mimpi menakutkan. Bukan itu saja, malah elf juga akan duduk di atas dada mangsa menyebabkan mereka berasa sesak nafas dan tidak dapat menggerakkan badan.

Itu saja? Oh, tidak! Sebenarnya banyak lagi kepercayaan seumpama ini dalam masyarakat di seluruh dunia, baik India, China, Afrika mahupun Amerika Latin. Apa yang dicatatkan ini hanya sedikit sahaja, kerana catatan pada minggu hadapan akan menghuraikan fenomena serta kepercayaan sejagat ini dengan lebih lanjut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140518/ke_04/Maut-digoda-gadis-halimunan#ixzz32B0iJN3E
© Utusan Melayu (M) Bhd

disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page


0 comments: