Home » » Sambut Hari Ibu 'harus', yang dilarang Islam adalah menderhaka

Sambut Hari Ibu 'harus', yang dilarang Islam adalah menderhaka

Written By kall on Sunday 11 May 2014 | 22:18


Pilihan Anda

Sambut Hari Ibu 'harus', yang dilarang Islam adalah menderhaka

KOTA BHARU: Meraikan sambutan Hari Ibu pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun bagi umat Islam adalah harus, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Beliau berkata tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak meraikan Hari Ibu bagi menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan anak-anak.

"Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan?.

"Perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu.

"Kalau kita lakukan sesuatu yang 'harus' dan dapat memberi kegembiraan kepada orang lain termasuk ibu sendiri ia merupakan sedekah dan dikira mendapat pahala," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau mengulas dakwaan yang mengatakan haram untuk umat Islam menyambut hari berkenaan kerana meniru perayaan orang Kristian yang menyambut hari 'Mother of Church'.

Sambutan Hari Ibu tahun ini jatuh pada hari ini.

Mohamad Shukri berkata Islam tidak pernah melarang umatnya mencontohi kebaikan orang lain termasuk Barat, namun sebarang perbuatan yang menyerupai upacara keagamaan lain serta bertentangan dengan syariat Islam amat ditegah.

Begitu juga menyambut Hari Ibu, beliau berkata umat Islam perlu memastikan pengisian sambutan itu berlandaskan syariat Islam sebenar, katanya.

"Macam hendak sambut Hari Ibu pun perlu dengan cara yang dibenarkan syarak jangan langgar batas-batas dalam Islam termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan, ini tidak boleh," katanya.

Mohamad Shukri berkata walaupun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun terdapat ayat yang menekankan perlunya umat Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa.

Katanya, Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud:

"Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?, jawab Rasulullah SAW: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu.
"Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu".

Astro Awani
disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page


0 comments: