Home » » Update Terkini - MH370 Turun Sehingga 5000 Kaki

Update Terkini - MH370 Turun Sehingga 5000 Kaki

Written By kall on Tuesday 18 March 2014 | 00:38


Info Menarik & Cerita Menarik

Update Terkini - MH370 Turun Sehingga 5000 Kaki



#MH370: PESAWAT 'TURUN' 5000 KAKI UNTUK ELAK DIKESAN | Ketika misi mencari dan menyelamat pesawat MH370 masuk hari ke-10 dengan hanya beberapa petunjuk mengenai di mana ia mungkin berada, akhbar New Straits Times hari ini berkata Boeing 777-200ER turun 5,000 kaki (1,500m) untuk mengelak dikesan radar komersial.

Dalam berita eksklusif, akhbar itu berkata, penyiasat yang menganalisis data penerbangan MH370 mendedahkan pesawat seberat 200 tan itu turun 1,500m atau lebih bawah lagi untuk mengelak liputan radar komersial (sekunder) selepas ia berpatah balik dari laluan asal penerbangan menuju ke Beijing.

Pesawat Malaysia Airlines Boeing 777-200ER (9M-MRO) hilang pada 8 Mac dengan membawa 239 penumpang. Pihak berkuasa pada Sabtu berkata, pesawat itu sengaja dilencongkan daripada laluan sebenarnya dan peralatan transmisi di atas pesawat dipadam untuk elak dikesan.

Komunikasi terakhirnya ialah pada 8.11 pagi di utara Selat Melaka.


Penyiasat yang mengkaji data penerbangan MH370 berkata pesawat itu terbang rendah dan menggunakan kawasan terlindung (terrain masking) ketika ia terbang merentasi Teluk Bengal dan menuju utara ke arah daratan, lapor NST.

Pegawai, yang membentuk pasukan teknikal, melihat kepada kemungkinan sesiapa juga yang mengendalikan pesawat pada masa itu mengambil kesempatan terhadap kesibukan laluan udara merentasi Teluk Bengal dan tersekat kepada laluan komersial untuk mengelak disyaki oleh radar utama (tentera), kata akhbar itu.

“Individu yang mengawal pesawat itu mempunyai pengetahuan kukuh mengenai avionic dan navigasi dan meninggalkan jejak yang bersih. Ia melepasi Kelantan, ia adalah benar,” kata NST memetik kenyataan pegawai yang enggan dikenali.

“Terrain masking” merujuk kepada kebolehan meletakkan pesawat supaya alam semula jadi bumi menyembunyikannya daripada gelombang radio yang dihantar daripada sistem radar. Ia adalah teknik yang biasanya digunakan dalam pertempuran di mana juruterbang tentera akan terbang sangat rendah di kawasan berbukit atau pergunungan untuk melindungi kedatangan mereka.

Pakar berkata, menerbangkan Beoing 777 dengan cara itu adalah berbahaya kepada kerangka pesawat udara dan boleh menyebabkan mereka di dalam pesawat pening dan mengalami disorientasi spatial.

Pesawat MH370 dianggarkan terbang selama lapan jam dan pihak berkuasa percaya ia terbang merentasi dua negara lain selain Malaysia, tetapi tidak jelas negara yang mana.

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pencarian MH370 kini diluaskan ke kawasan antara Thailand hingga Kazakhstan dan Turkmenistan di utara dan Indonesia di selatan.

Pencarian di kawasan baru dilancarkan selepas data satelit mendapati pesawat itu berada di salah satu daripada dua koridor: di utara ialah kawasan menjangkau dari utara Thailand ke Kazakhstan, atau di selatan, dari Indonesia ke selatan Lautan Hindi.

NST memetik sumber sebagai berkata, siasatan kini fokus kepada lapangan terbang yang tidak digunakan lagi tetapi dilengkapi landasan panjang yang mampu mengendalikan pesawat besar seperti Boeing 777.

Putrajaya memberikan taklimat kepada wakil negara daripada hampir 24 negara dan meminta bantuan antarabangsa dalam mencari pesawat itu.

“Kawasan mencari diperluaskan,” kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, semalam.

“Daripada fokus utama kepada laut cetek, kita kini melihat kepada kawasan daratan lebih luas, merentasi 11 negara, termasuk kawasan laut dalam dan terpencil,” katanya.

Siasatan juga fokus kepada latar belakang dua juruterbang, anak kapal dan kakitangan lapangan yang bekerja di pesawat yang hilang itu.

Pada Sabtu, pegawai Cawangan Khas menggeledah rumah Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan Pegawai Pertama Fariq Abdul Hamid, 27.

Hari ini, Reuters melaporkan kata-kata terakhir dari kokpit MH370 – “all right, good night” (baiklah, selamat malam) – diucapkan oleh seseorang dalam pesawat yang sudah mula memadamkan satu daripada sistem pengesan automatik pesawat.

Katanya, kedua-dua tempoh masa dan frasa yang tidak formal, diucapkan kepada pengawal trafik udara ketika pesawat meninggalkan ruang udara Malaysia boleh menambahkan lagi syak wasangka MH370 dirampas atau sabotaj.

Hishammuddin semalam berkata, rakam keluar itu adalah selepas salah satu sistem komunikasi data pesawat, yang boleh menyebabkan ia tidak dikesan liputan radar, dipadamkan secara sengaja.

“Jawapan kepada soalan anda ialah ya, ia ditutup sebelum,” katanya kepada media ketika ditanya jika sistem ACARS – penyelenggaraan komputer yang menghantar balik data status pesawat – dinyahaktifkan sebelum suara rakam keluar.

Pemeriksaan latar belakang pesawat tidak memberi maklumat berguna tetapi tidak semua negara yang mempunyai rakyatnya dalam pesawat itu sudah memberi maklum balas terhadap permintaan informasi rakyat mereka, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. -MYNEWSHUB


0 comments: