Home » » Bahana Pakai Seluar Ketat Melampau

Bahana Pakai Seluar Ketat Melampau

Written By kall on Sunday 30 March 2014 | 22:28


Info Menarik & Cerita Menarik

Bahana Pakai Seluar Ketat Melampau


Tidak dinafikan lagi, ramai wanita sukakan gaya mengikut fesyen terkini dan digilai ramai, lebih-lebih lagi golongan remaja. Mereka sering menukar penampilan mengikut peredaran zaman. Remaja lelaki khususnya gemar memakai seluar ‘skinny’ dan mengikut fesyen yang digemari wanita itu.

Apa yang paling menarik ialah seluar ‘skinny’ itu terbukti menjadi kegilaan ramai selain meraih populariti dalam kalangan remaja Malaysia kini. Pemakaian seluar jenis ini sebenarnya bertujuan untuk kelihatan lebih bergaya, namun terdapat remaja memakainya untuk kelihatan lebih kurus daripada saiz badan sebenar. Kebiasaannya seluar dipakai itu ketat kononnya untuk kaki tampak kecil dan elok dipandang mata.

Gambar hiasan
Ramai remaja menghadapi pelbagai kesukaran apabila menyarungkan seluar yang terlampau ketat itu. Ada yang sampai melompat-lompat kerana saiz pinggang terlalu kecil. Walaupun begitu, ada saja yang taksub sehingga tidak memikirkan kesan buruk yang lain.

Hakikatnya, pakaian diciptakan bukan untuk memberikan bentuk atau saiz badan yang kita tidak miliki dan di situlah remaja menghadapi masalah. Banyak masalah kesihatan timbul akibat daripada pemakaian seluar yang terlalu ketat itu. Antaranya:

Masalah kesihatan

Berdasarkan kajian daripada pakar bedah vaskular Dr Nicholas Morissey, pemakaian seluar ‘skinny’ yang ketat boleh menjadikan kaki anda rasa kebas pada paha atau lebih dikenali sebagai ‘meralgia paresthetica’.

Menurut Morissey, terdapat saraf deria datang daripada pelvis yang bertindak memberikan sensasi ke bahagian paha anda.

Remaja yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat bagaimanapun merasa kebas akibat daripada pengecilan saraf pada paha itu. Ketika duduk, paha akan mengalami tekanan tinggi dan apabila berdiri, anda tidak akan dapat rasakan pergerakan kaki. Menurut Morissey, keadaan ini tidak berbahaya namun apabila ia kerap berulang, maka ia boleh menyebabkan keadaan kaki kejang itu berkekalan.

Pakar neurologi, Dr John Michael Li pula berkata, remaja yang menderita sindrom seluar ketat biasanya akan rasa tidak selesa pada abdominal, pedih ulu hati dan masalah sendawa apabila memakai seluar ketat itu.

Kebiasaannya seluar yang dipakai bersaiz tiga inci yang terlalu kecil untuk saiz pinggang seseorang remaja.

Penasihat perubatan, Dr Orly Avitzur pula memberitahu bahawa makanan tidak akan hadam apabila terdapat tekanan pada bahagian abdomen. Pemakaian seluar ketat ini boleh membawa kepada masalah lebih serius seperti makanan tidak boleh dihadamkan dengan betul dalam kalangan remaja yang menghadapi masalah pedih ulu hati. Seluar yang terlalu ketat memburukkan lagi keadaan itu.

Lelaki terutamanya perlu berhati-hati dan mengambil berat dalam aspek pemakaian. Jika mereka tetap memilih seluar ketat sebagai pelengkap fesyen, risikonya amat tinggi. Misalnya, remaja lelaki akan hadapi masalah kilasan testis di mana satu testis akan berpintal dengan sendirinya. Jika tidak dirawat, pintalan itu akan memotong peredaran darah dan seterusnya testis akan mati.

Selain itu, remaja lelaki juga akan mengalami lemah kawalan kencing dan jangkitan saluran kencing. Lebih buruk lagi apabila bilangan sperma menurun dan kulat akan mudah merebak pada bahagian kelamin akibat daripada pemakaian seluar yang ketat ini.

Apa kata mereka

Yasmin Moktar, 21, pelajar kolej swasta berkata, pemakaian seluar ‘skinny’ ini tampak moden dan bergaya selain kelihatan menarik.

“Apa yang saya dapat lihat ialah kebanyakan remaja sekarang menjadikan seluar ketat sebagai pilihan utama dalam pemakaian. Namun seluar yang dianggap fesyen terkini itu ada yang terlalu ketat sehinggakan boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan.

“Nak sarungkan seluar itu saja begitu sukar sehinggakan ada yang perlu menarik seluar ke bahagian pusat berkali-kali kerana terlampau ketat dan lebih kecil daripada saiz pinggang sebenar. Bagi perempuan, mereka lebih suka menggayakan seluar ketat bersama kasut tumit tinggi.

“Tidakkah keterlaluan dalam aspek berpakaian sehingga sanggup menyakiti diri sendiri. Inikan pula seluar begitu ketat yang boleh menyakiti bahagian sendi dan otot di bahagian peha. Kalau nak diikutkan memanglah sendi rasa sakit dan kebas sebab seluar itu terlalu ketat dan menghalang udara masuk selain memberikan tekanan yang tinggi pada bahagian peha.” katanya.

Menurutnya, fesyen seluar ketat itu tidak terhad kepada remaja perempuan saja, tapi juga pada golongan lelaki.

Katanya, lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ yang ketat ini agak keterlaluan dan boleh menunjukkan ciri feminin yang tidak bagus untuk imej mereka.

Bagi Ridzuan Azmi, 21, pelajar universiti swasta berpendapat, fesyen seluar ‘skinny’ dalam kalangan lelaki ini tidaklah memudaratkan jika saiz yang dipilih itu bertepatan dengan bentuk pinggang.

“Ada juga situasi di mana saya melihat remaja lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ ketat untuk kelihatan kurus, walhal saiz badan tidak bersesuaian dengan fesyen itu. Bukan saja pelik tapi saya juga percaya pemakainya pasti mengalami kesakitan yang luar biasa terutama pada bahagian paha.

“Lihat saja remaja lelaki yang memakai seluar ‘skinny’ ketat kadangkala tidak menunjukkan gaya lelaki yang maskulin. Sudahlah ketat dan susah untuk sarung, pemakainya pun pasti mengalami masalah sendi dengan kerap.

“Saya pernah dengar ada remaja lelaki yang mengalami masalah di bahagian kelamin akibat daripada pemakaian seluar ketat ini. Mana tidaknya, seluar yang terlampau ketat boleh hadkan saluran udara dan menyakitkan alat sulit mereka,” katanya.

Menurutnya, remaja lelaki perlu memilih seluar ‘skinny’ yang lebih longgar dan tidak terlalu ketat sehingga boleh membahayakan diri sendiri.

Cara mengatasi 

Yang paling penting, remaja perlu menitikberatkan kesihatan terlebih dulu sebelum memilih pakaian yang digemari. Tanpa motivasi dan pengetahuan umum berkenaan masalah kesihatan yang mungkin berlaku, ramai remaja membeli pakaian secara membuta tuli.

Bagi mereka yang gemarkan seluar ‘skinny’ memanglah tidak salah memakainya, namun perlu juga buat pemilihan yang betul. Bagi mereka yang mempunyai saiz badan besar adalah dinasihatkan memakai seluar bersesuaian dengan saiz mereka. Kalau tidak ada saja masalah kesihatan timbul sekiranya dibiarkan secara berterusan.

Remaja lelaki khususnya perlu mengenakan seluar ‘skinny’ yang longgar dan tidak ketat untuk melancarkan saluran udara dalam seluar bagi mengelakkan jangkitan kuman dan sakit pada bahagian alat sulit.

Sekiranya masalah kesihatan dialami berlanjutan, jangan teragak-agak berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan sewajarnya agar kesakitan itu tidak membawa padah yang lebih buruk.


0 comments: