Home » » Khalid semakin hampir checkmate Rafizi dan Azmin

Khalid semakin hampir checkmate Rafizi dan Azmin

Written By kall on Monday 31 March 2014 | 11:46


Pilihan Anda

Khalid semakin hampir checkmate Rafizi dan Azmin

PADA 31 Januari 2014, Rafizi Ramli begitu angkuh untuk melabelkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai seorang ahli politik yang lembap dan lemah. Rafizi menimbulkan persoalan kelemahan kemahiran berpolitik Tan Sri Khalid Ibrahim untuk berdepan dengan UMNO.

Sebagai seorang strategis Parti Keadilan Rakyat (PKR) beliau telah mencaturkan pilihan raya kecil Kajang untuk membuka peluang kepada Ketua Umum iaitu Anwar Ibrahim untuk menggugat kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Strategi Rafizi ini sekiranya dianalisis, sebenarnya demi kebaikan beliau sendiri. Pertama, beliau akan dapat memperkukuhkan kedudukan Azmin Ali dalam parti dan keduanya Anwar Ibrahim akan mengenang jasa beliau sekiranya strategi ini berkesan.

Percaturan untuk mengukuhkan dua orang kuat dalam PKR akan dapat membuka cahaya masa depan politik yang cerah untuk dirinya yang masih lagi muda. Kebetulan strategi ini hanya timbul setelah Azmin dipecat daripada PKNS.

Namun begitu , kekurangan pengalaman dan asam garam dalam hidup serta keangkuhan untuk memandang rendah keupayaan Khalid telah membawa banyak masalah dan dugaan dalam percaturan dan strategi Rafizi. Khalid mengikut rentak permainan yang dicaturkan oleh Rafizi dengan menyokong keputusan untuk meletakkan Anwar sebagai calon di Kajang.

Langkah yang diambil oleh Khalid adalah tepat memandangkan sebarang penentangan terhadap Anwar akan menyebabkan penyokong dan ahli PKR menentangnya.

Setelah melancarkan kempen dan memperkenalkan Anwar sebagai calon PKR untuk pilihan raya kecil (PRK) Kajang dan tidak lama kemudian Khalid mengumumkan untuk bertanding jawatan nombor 2 parti iaitu sebagai Timbalan Presiden PKR. Pengumuman ini telah mula menggugat Azmin dan penyokongnya dalam parti.

Kemudiannya Khalid pula menandatangani perjanjian air (MoU) dengan Kerajaan Persekutuan dan langkah ini telah memberi satu tamparan yang sangat besar kepada pihak tertentu dalam pakatan pembangkang.

Rafizi dan Azmin pula tampil untuk mempertikaikan tindakan Khalid dalam perjanjian air ini. Namun begitu, Majlis Pakatan Rakyat telah tampil untuk menyokong tindakan Khalid dalam isu perjanjian air dan isu ini turut mendapat sokongan daripada Presiden Pas, Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang. Khalid sekali lagi mematahkan serangan Azmin dan Rafizi.

Pada 7 Mac 2014, Khalid mengulangi keputusannya tidak akan melepaskan kerusi nombor satu Selangor itu. Beliau mengumumkan pendirian ini kepada media selepas menghadiri program bersama rakyat di Taman Mesra, Kajang.

Pendirian ini juga telah dimaklumkan kepada Baginda Sultan Selangor. Langkah ini sekali gus memberi tamparan yang amat besar kepada Rafizi dan Azmin apabila pada hari yang sama Ketua Umum PKR itu disabitkan bersalah oleh Mahkamah Rayuan dalam kes isu liwat beliau.

Kini Khalid akan bertanding jawatan nombor 2 tertinggi parti dengan kapasiti sebagai seorang Menteri Besar Selangor dan keadaan ini akan memberi kelebihan dari segi status, kewangan dan jentera untuk berhadapan dengan Azmin.

Kemenangan Wan Azizah dalam PRK Kajang diramalkan akan memberi kekuatan kepada kem Khalid. Percaturan Khalid secara perlahan memperluaskan penguasaannya dalam parti PKR melalui pengumuman Rodziah Ismail untuk mencabar Zuraida Kamaruddin bagi jawatan Ketua Wanita PKR. Timbalan Speaker Selangor iaitu Nik Nazmi juga dipercayai akan dicaturkan untuk menawan jawatan Ketua Pemuda PKR.

Sekiranya Khalid berjaya menawan jawatan nombor 2 PKR dan ditambah pula dengan penyokongnya menang dalam Wanita dan Pemuda maka PKR akan mengalami era politik penguasaan Khalid.

Cara dan teknik Khalid bermain politik adalah seperti yang digambarkan oleh kolumnis The Star, Joceline Tan bahawa beliau ialah seorang Tai Chi Master. Rafizi dan Azmin sememangnya seorang yang memiliki kemahiran Muay Thai dalam politik.

Namun begitu , keangkuhan dan kekurangan pengalaman politik serta merasakan diri sendiri adalah lebih mahir dalam politik akhirnya menyebabkan Rafizi tersilap pandang kehebatan kemahiran politik Tai Chi.

Seni persilatan Melayu yang sama dengan Tai Chi ialah Silat. Khalid dengan mudah dan selesa mempamerkan seni persilatan dan secara perlahan dan tenang telah menghampiri untuk CHECKMATE gandingan Rafizi dan Azmin.

Oleh itu, adakah Rafizi Ramli masih layak lagi memegang jawatan sebagai strategis PKR?

Shen Yee Aun @ Utusan

disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page


0 comments: