Home » » PBS baru: Guru tidak perlu isi data 'online' lagi

PBS baru: Guru tidak perlu isi data 'online' lagi

Written By kall on Tuesday 18 March 2014 | 15:21


Pilihan Anda

PBS baru: Guru tidak perlu isi data 'online' lagi

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Selasa berkata Kementerian Pendidikan mengambil kira bebanan guru dalam pelaksanaan penambahbaikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Beliau berkata penambahbaikan itu yang akan dilaksanakan 1 April ini antara lain mengambil kira bahawa para guru tidak perlu lagi memasukkan data maklumat pencapaian murid secara dalam talian ke dalam sistem PBS seperti sebelum ini.

"Yang menjadi beban dahulu dikatakan kerana segala data-data yang penting, termasuk eviden dan deskriptor, perlu dimasukkan dalam data berpusat menerusi sistem online.

"Sekarang ini tidak perlu lagi. Bermakna maklumat itu yang memang sudah sedia ada pada guru-guru, disimpan oleh guru dalam sistem offline...ini semua ikut masa, keadaan dan kesesuaian guru. Jadi ini saya fikir akan meringankan dan mengurangkan kira-kira 70 hingga 80 peratus beban yang dikatakan ditanggung guru sekarang," katanya.

Muhyiddin yang juga menteri pendidikan berkata kementerian akan mengadakan taklimat secara terperinci tentang konsep dan pelaksanaan PBS kepada pegawai-pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, pentadbir dan guru-guru.

Latihan adalah satu aspek utama dalam memastikan guru dapat melaksanakan pentaksiran dan oleh itu kementerian akan berusaha mengadakan latihan supaya guru memahami konsep pentaksiran dan mengamalkannya dalam proses pengajaran dan pembelajaran, kata Muhyiddin pada sidang media di sini.

Sidang media itu turut dihadiri penggiat utama sistem pendidikan negara seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) di bangunan Parlimen.

PBS adalah transformasi daripada fokus peperiksaan kepada sistem pentaksiran pendidikan yang lebih holistik namun sejak tahun lepas, guru mendakwa kerja-kerja memasukkan data ke dalam talian itu membebankan mereka, tambahan pula dengan sistem komputer yang sering tergendala.

Jemaah Menteri pada 17 Dis 2010 bersetuju supaya PBS dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program transformasi pendidikan dengan pelaksanaan di sekoleh rendah pada 2011 dan sekolah menengah pada 2012.

Bagaimanapun pada 11 Feb tahun ini kementerian membuat keputusan untuk menangguhkan PBS dan mengkaji semula pelaksanaannya.

Muhyiddin menjelaskan bahawa, rekod secara offline itu meliputi penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) yang dipermudahkan menjadi Panduan Perkembangan Pembelajaran Murid, Fail Perkembangan Murid (FPM), Rekod Transit dan perekodan murid melalui Sistem Pengurusan PBS.

Beliau menarik perhatian semua catatan itu menggambarkan perkembangan pembelajaran murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran yang boleh dimaklumkan kepada ibu bapa.

"Bagi ibu bapa yang ingin mengetahui tahap pencapaian anak-anak mereka, pihak sekolah boleh menyediakan pelaporan pencapaian dengan mengadakan ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun atau peperiksaan akhir tahun sekolah," katanya.

-- BERNAMA
disableSelection(document.body) //disable text selection on entire body of page
nuffnang_bid = "b9cbffe4efda20c16d232564dfd49706"; document.write( "
" ); (function() { var nn = document.createElement('script'); nn.type = 'text/javascript'; nn.src = 'http://synad2.nuffnang.com.my/lr.js'; var s = document.getElementsByTagName('script')[0]; s.parentNode.insertBefore(nn, s.nextSibling); })();


0 comments: