Home » » Ternak Lintah Memang Menguntungkan

Ternak Lintah Memang Menguntungkan

Written By kall on Thursday, 3 April 2008 | 17:54


Pelintah laksana projek hasil kerjasama belia, penduduk Kota Bharu, Gopeng

GOPENG: Pepatah Melayu ada menyebut 'muafakat membawa berkat'. Justeru, 500 peserta terdiri daripada belia dan penduduk Kota Bharu, Gopeng, Perak, kini mampu tersenyum kerana mereka bakal menikmati hasil yang lumayan daripada ternakan lintah secara bersepadu yang dijalankan secara gotong-royong, kira-kira empat bulan lalu.

Projek yang dijalankan di atas bekas tapak lombong seluas lima hektar pada asalnya dilakukan secara individu. Namun, inisiatif seorang belia yang juga pengerusi projek, Sabri Sham, mencadangkan supaya projek itu diusahakan secara bersepadu melalui Persatuan Penternak Lintah (Pelintah), nyata membuahkan hasil.


"Hakikatnya, ternakan lintah boleh memberikan pendapatan lumayan kerana mendapat permintaan menggalakkan terutama daripada syarikat yang mengeluarkan produk kecantikan, penjagaan kesihatan dan perubatan," katanya dalam satu pertemuan di sini, baru-baru ini.

Sabri berkata, kejayaan Pelintah adalah hasil sokongan pelbagai pihak seperti Jabatan Pertanian, institusi kewangan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang turut turun padang membimbing mereka dari pelbagai aspek seperti khidmat bantu nasihat dan kewangan.

Beliau berkata, dalam tempoh pembiakan empat bulan saja, ternakan lintah mampu memberikan hasil lumayan sehingga mencecah RM70 sekilogram bagi setiap musim tuaian.

"Justeru, ini membangkitkan semangat ahli untuk terus melabur sebanyak RM1,700 setiap peserta untuk mengusahakan ternakan lintah," katanya.

Beliau berkata, lintah yang diternak itu dijangka boleh dijual mulai Oktober ini selepas enam bulan ia dibiakkan dalam 500 kolam.

Katanya, Pelintah membiakkan hampir tiga juta anak lintah yang akan dipindahkan ke ladang ternakan mulai bulan depan.

"Ketika ini, kita memelihara sebanyak 500,000 ekor ibu lintah yang boleh menghasilkan sebanyak tiga juta anak lintah di dalam 10 kolam induk,” katanya.

Beliau berkata, setiap kolam mampu menghasilkan 50,000 ekor lintah dewasa dengan purata 200 kilogram atau 250 ekor sekilogram dengan pendapatan sebanyak RM14,000 semusim (enam bulan bagi setiap musim).

Katanya, Pelintah yakin dapat menghasilkan satu tan lintah semusim apabila ladang lintah yang memuatkan 500 kolam itu, mengeluarkan hasil Oktober ini dengan purata pendapatan RM4,000 hingga RM6,000 setiap peserta.

Sabri berkata, pihaknya menerima tempahan pembeli dari Amerika Syarikat dan Jepun, yang berminat membeli sebanyak 10 tan setahun. Selain itu, katanya, walaupun lintah boleh dijual selepas empat bulan diternak, untuk peringkat permulaan ia memerlukan tempoh lebih panjang bagi membolehkan `induk' atau 'ibu' lintah membiakkan lebih banyak benihnya supaya kitaran hidup haiwan itu dalam sesuatu kolam berterusan.

Beliau berkata, haiwan itu perlu dijual segera apabila sudah dewasa kerana jangka hayatnya adalah pendek iaitu antara tujuh hingga lapan bulan saja sebelum mati.

Sementara itu, seorang peserta, Azhar Mat Nasir, 30, berkata projek lintah yang diusahakan oleh persatuan ternyata memberikan keuntungan lumayan kepada peserta.

"Saya sebelum ini kurang yakin dengan projek ini, namun kini dengan usaha yang dilakukan secara bersungguh-sungguh, saya sudah terbayang kejayaan di depan mata.

"Saya akan menumpukan sepenuh perhatian terhadap projek ini kerana ia menghasilkan pendapatan yang lumayan sekitar RM2,500 sebulan bagi setiap kolam yang dihasilkan," katanya.

Seorang lagi peserta, Hamidin Tajol Mohamad, 41, berkata, beliau amat gembira hasil yang bakal diperoleh dan kini memberikan tumpuan sepenuh masa terhadap projek terbabit.

"Sebelum ini saya mengambil upah sebagai buruh pembinaan, tetapi kini saya bekerja sepenuh masa di ladang lintah.

"Saya kini mulai yakin, langkah kerajaan supaya menceburi bidang pertanian memberikan keuntungan yang lumayan kepada peserta," katanya yang memiliki dua kolam.

Sementara itu, Sabri berkata, Pelintah turut menjual anak lintah pada harga RM1.50 seekor bagi pembelian 1,000 ekor ke atas dan RM2.50 seekor bagi pembelian bawah 1,000 ekor.

Pelintah juga bersedia menawarkan kursus dan khidmat nasihat kepada mereka yang berminat untuk menternak lintah secara vendor bersama Pelintah.

Katanya, mereka yang berminat boleh menghubungi Pelintah melalui talian 05-3713519 atau telefon bimbit 019-5708136.

FAKTA NOMBOR: Program Pelintah

  • 500 - Peserta

  • RM1,700 - Modal setiap peserta

  • 10 - Kolam pembiakan induk

  • 500,000 - Ibu lintah

  • RM14,000 - Hasil setiap kolam

  • RM4,000 - Purata pendapatan bulanan setiap peserta

  • RM70 - Harga sekilo lintah dewasa
  • Sabri berkata, projek yang dilakukan secara gotong-royong itu membabitkan pembinaan tapak semaian, kolam ternakan di samping penjagaan secara bersama membuatkan hasil yang dituai menepati piawaian dan mutu yang dikehendaki pelanggan.

    Beliau berkata, ternakan lintah adalah industri baru dalam dan agak asing dalam bidang pertanian, tetapi amat menguntungkan.

    Namun, katanya, masih ramai yang tidak berminat menceburi bidang itu kerana melihat lintah sebagai haiwan yang menggelikan.

    1 comments:

    Anonymous said...

    Tulisan artikel di blog Anda bagus-bagus. Agar lebih bermanfaat lagi, Anda bisa lebih mempromosikan dan mempopulerkan artikel Anda di infoGue.com ke semua pembaca di seluruh Indonesia. Salam Blogger!
    http://www.infogue.com/
    http://www.infogue.com/kesehatan/meredam_emosi_dengan_time_line_theraphy/