Home » » Dulu Di Sekolah Paling Corot Sekarang Paling Kaya

Dulu Di Sekolah Paling Corot Sekarang Paling Kaya

Written By kall on Monday, 21 April 2008 | 10:23


Keputusan buka perniagaan berkaitan industri petroleum berbaloi

PRESTASI pelajaran yang kurang memberangsangkan ketika di bangku sekolah kerana sering mendapat tempat tercorot dalam kelas sehingga tamat Tingkatan Tiga, tidak menghalangnya untuk berjaya dalam kerjaya dan kemudian bidang perniagaan.

Bermula di Tingkatan Empat, beliau berusaha memperbaiki kelemahan itu, seterusnya muncul pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 1967 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis, Pahang.


Semangat untuk bangkit daripada kegagalan, terus dipraktikkan dalam dunia perniagaan, malah keperitan dan kesusahan hidup keluarganya menjadi pendorong utama mengubah sikapnya daripada individu malas serta nakal, menjadi lebih berdedikasi dan tidak mudah patah semangat.

Menceritakan detik awal pembabitan dalam bidang perniagaan, Datuk Sharif Shamsuddin yang kini Pengarah Urusan Amalgated Metal Builders (M) Sdn Bhd (AMB), berkata minat dalam perniagaan bermula selepas membaca kenyataan seorang menteri yang mahu individu berkebolehan dalam industri minyak dan gas terbabit dalam bidang itu kerana kerajaan membelanjakan berbilion ringgit memajukan sektor berkenaan.

"Tanpa berfikir panjang, sebaik meletak jawatan di Yayasan Pahang (YP) selepas berkhidmat selama hampir lima tahun bermula 1990, saya membeli sebidang tanah seluas lapan hektar untuk mendirikan bangunan pejabat, kilang, membeli mesin dan menyediakan prasarana asas dengan bermodalkan RM1 juta," katanya ketika ditemui pejabatnya di Gebeng, Kuantan, baru-baru ini.

Sharif berkata, selain menggunakan simpanan sendiri, beliau membuat pinjaman bank untuk memulakan perniagaan, walaupun memahami kesan diterima seandainya perniagaannya gagal.

AMB adalah syarikat milik Bumiputera terbabit secara langsung mengeluarkan peralatan (komponen) memproses penukar haba jenis kelumpang dan tiub dan tangki tekanan tinggi untuk kegunaan industri minyak dan gas di dalam dan luar negara.

Hampir 30 peratus pelanggannya adalah syarikat antarabangsa dari Filipina, Belanda, Indonesia, Pakistan, Brunei, Singapura dan China.

"Bermula dengan keuntungan syarikat RM4 juta pada tahun awal beroperasi, kini kami mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda daripada jumlah itu," ujarnya tersenyum puas dengan kedudukannya sekarang.

AMB yang bermula dengan hanya empat kakitangan kini mencecah sehingga 250 orang, termasuk 30 jurutera anak tempatan yang memiliki pelbagai jenis kemahiran dan kepakaran yang mampu meningkatkan produktiviti syarikat, selain mendapat pengiktirafan syarikat yang berurusan terutama dari luar negara.

"Saya kagum dengan semangat kerja berpasukan yang ditunjukkan kerana ini menjadi penanda aras tahap kecekapan mereka. Seiring dengan perkembangan dan kemajuan yang ditunjukkan syarikat, mereka bersedia terus komited dengan bidang yang diteroka," katanya memuji kecekapan kakitangan syarikat itu.

Sebagai syarikat yang produktif dan proaktif dalam industri minyak dan gas, pelbagai anugerah peringkat kebangsaan dan antarabangsa diperolehnya, sekali gus mencetuskan satu budaya korporat kepada kakitangan untuk terus komited menaikkan nama syarikat di dalam dan luar negara.

Ketika ini syarikat minyak terbesar negara, Petronas menjadi pelanggan terbesar AMB, selain bertindak sebagai vendor kepada Petronas dan semua syarikat antarabangsa industri minyak dan gas yang ada rangkaian perniagaan dengan Petronas seperti Shell dan Exon Mobil.

AMB mendapat pensijilan ISO 1901:2000 dari BVQI yang berpangkalan di United Kingdom bagi kategori pengurusan, ISO 1400 (persekitaran) dan ISO 1801 (keselamatan).

Kejayaan terbesar pernah dicapai AMB apabila berjaya menyiapkan `splitting columm' berharga RM3 juta berukuran 60 meter panjang dan dua meter lebar dalam tempoh lapan bulan untuk dieksport ke China. Ia menjadi komponen terpanjang yang pernah dihasilkan berbanding ukuran biasa antara 40 meter dan lima meter sebelumnya.

BANGGA: Sharif(duduk enam dari kiri) bersama kakitangan Amalgated Metal Builders (AMB) (M) Sdn Bhd selepas berjaya menyiapkan 'splitting column' berharga RM3 juta yang berukuran 60 meter panjang dan dua meter lebar dalam tempoh lapan bulan untuk dieksport ke China.

"Ia menjadi satu cabaran bagi warga AMB kerana mendapat kepercayaan dari negara luar dan komitmen diberikan kakitangan, kerana tanpa sokongan padu dan kerjasama sepenuhnya, ia mungkin mengambil masa lebih lama untuk menyiapkannya," katanya merujuk kepada komponen berkenaan yang mengambil masa dua setengah jam untuk perjalanan sejauh tiga kilometer dari AMB ke Pelabuhan Kuantan pada 2007.

AMB mengamalkan cara pengurusan kerja yang efektif dan progresif dengan mengaplikasikan kaedah 5S berdasarkan sistem pengurusan Jepun sejak 2006. 5S ialah sisih (seiri), susun (seiton), sapu ,(seiso), seragam (seiketsu) dan selalu amal (shitsuke).

Ia yang menerima kemudahan pinjaman secara berterusan sehingga RM80 juta, membelanjakan 50 peratus daripada pendapatan tahunannya membeli bahan mentah terutama dari luar negara, dengan 75 peratus untuk pembelian besi, tiub dan paip berkualiti tinggi.

"Sehingga kini, semua pekerja dapat mengikuti kaedah ini dengan berkesan dan berdasarkan komitmen mereka terhadap sistem ini, saya yakin produktiviti syarikat akan terus dipertingkatkan dan menambah keuntungan syarikat.

"Saya mengamalkan dasar terbuka dan kakitangan boleh bertemu saya berbincang pelbagai perkara, termasuk operasi dan pengurusan syarikat serta peningkatan daya kerja pekerja, malah saya membentuk sebuah jawatankuasa aduan untuk memahami permasalahan kakitangan," katanya.

Sebagai pengarah yang berwawasan, banyak perubahan dilakukan Sharif termasuk cara bekerja individu kepada cara berpasukan bertujuan memantapkan syarikat apabila yang kuat membantu yang lemah dan kurang mahir mendapat tunjuk ajar mereka yang berpengalaman.

Konsep `organic growth' turut diamalkan di AMB bagi memberi kepuasan warganya, selain memberi keyakinan 100 peratus kepada syarikat yang berlanggan dengan AMB sewaktu kunjungan dilakukan.

"Dengan prestasi yang ditunjukkan syarikat ketika ini, saya yakin AMB mampu menjana pulangan melebihi RM100 juta dalam tempoh terdekat," kata Sharif dengan nada yakin.





Fakta AMB

* Bekas pelajar SMK Clifford, Kuala Lipis dan Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur

* Berkelulusan dalam bidang Sosiologi dan Antropologi dari Universiti Malaya,

* memulakan kerjaya di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ke Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) sebagai pensyarah.

* kemudian bertukar ke Kuantan sebagai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuantan

(MPK) dari 1980 hingga 1990

* prnah menjadi Pengurus Besar Yayasan Pahang dan Pengarah Eksekutif Institut

Kemahiran Ikhtisas Pahang (Ikip)

* Anugerah Kategori Majikan Kecil & Sederhana Sektor Perkilangan, Kementerian

Sumber Manusia 2006

* Anugerah Produktiviti Terbaik Kategori Syarikat Tempatan bagi Jualan

Tahunan RM10 juta - RM25 jutaTerbaik 2005 oleh NPC

* Anugerah Amalan Terbaik 1999 dari Perbadanan Usahawan Malaysia Berhad

(PUMB) bagi Sistem Pengurusan 5S

0 comments: