Home » » Jiwa kental usahawan wanita

Jiwa kental usahawan wanita

Written By kall on Monday, 14 April 2008 | 11:02


Bekas graduan teknologi makanan USM kini miliki syarikat tawar latihan Six Sigma

TANPA pengalaman serta latihan rasmi dalam bidang perniagaan bukan satu halangan untuk berjaya dalam dunia keusahawanan.

Apa yang penting ialah semangat untuk terus belajar tanpa mengenal jemu dan memiliki jiwa yang kental.


Ini dibuktikan graduan teknologi makanan daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Nuraslina Zainal Abidin.

Selepas menamatkan pengajian, beliau bekerja makan gaji, tetapi kemudian memberanikan diri untuk menubuhkan syarikat yang terbabit memberikan latihan Six Sigma di negara ini.

Apa yang membanggakan, syarikat milik beliau, Genaxis Sdn Bhd (Genaxis), adalah satu-satunya syarikat tempatan yang mendapat pengiktirafan American Society of Quality (ASQ) untuk mengendalikan latihan Six Sigma di negara ini.

Six Sigma yang diperkenalkan Motorola pada lewat tahun 1960-an digunakan oleh syarikat berkenaan untuk mengurangkan kerosakan terhadap produk yang dihasilkan.

Bagaimanapun, kejayaan tidak datang bergolek, sebaliknya memerlukan usaha yang konsisten kemahuan untuk memperbaiki diri.

Pendedahan Nuraslina dalam dunia perniagaan adalah dalam bidang penyediaan makanan, iaitu ketika menjadi pelatih MAS Katering yang terbabit dalam bidang penyediaan makanan untuk Sukan Komanwel 1998 (Sukom 1988).

Bersama MAS Katering yang diberi tanggungjawab untuk menyediakan sajian pada Sukom 1998, Nuraslina menimba pengalaman dalam aspek keselamatan, kualiti dan penyediaan makanan.

Selepas beberapa tahun menimba pengalaman bersama MAS Katering, beliau beralih arah ke syarikat pembekal makanan McFoods yang menyediakan bekalan makanan kepada semua rangkaian restoran McDonalds di negara ini.

Pengalaman bekerja dengan syarikat itu mendedahkan dirinya dengan standard tinggi yang ditetapkan syarikat antarabangsa dalam penyediaan makanan. Ini termasuk semua keperluan persijilan yang diperlukan untuk memastikan produk makanan yang disediakan bersih dan halal serta sijil ISO.

Selepas mendapat pengalaman yang berguna pada peringkat antarabangsa beliau beralih angin dengan bekerja bersama syarikat tempatan selama setahun sebelum memberanikan diri membuka perniagaan sendiri pada 2003.

Nuraslina yang juga Pengarah Urusan Genaxis, berkata beliau memulakan perniagaan tanpa bantuan kewangan daripada mana-mana pihak.

“Pengalaman yang saya tidak dapat lupakan ketika memulakan perniagaan, ialah apabila saya tiada duit untuk membayar wang pendahuluan selama tiga bulan untuk menyewa ruang niaga di Phileo Damansara,” katanya.

Beliau secara berterus terang menyatakan perkara berkenaan kepada pemilik ruang niaga berkenaan dan apa yang memeranjatkan ialah dia dibenarkan untuk menyewa.

Nuraslina berkata, entah mengapa pemilik berkenaan membenarkan juga beliau menyewa kerana yakin kepada kejujuran yang ditunjukkan serta kesungguhan beliau untuk berniaga.

“Saya dapat membayar sewa yang dijanjikan selepas memperoleh pelanggan pertama iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP). Selepas itu wang yang diperoleh hasil daripada bayaran pelanggan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan akhirnya dapat membeli secara tunai ruang niaga untuk dijadikan pejabat,” katanya.

Beliau berkata, minatnya yang mendalam untuk berkongsi pengalaman yang dimiliki menyebabkan dia menceburi bidang latihan dan Six Sigma adalah satu kaedah untuk mengurangkan kos menerusi analisis data yang ada.

“Six Sigma bukannya mengenai pengilangan produk tetapi kaedah yang boleh digunakan untuk mengurangkan kos operasi syarikat menerusi analisis data secara sistematik.

“Menerusi analisis ini sebarang kelemahan akan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan, ini sekali gus mengurangkan kos pengeluaran,” katanya.

Beliau mengakui tidak memiliki banyak pengalaman berniaga sebelum ini tetapi mempelajari selok-belok perniagaan menerusi pengalaman yang dikutip sepanjang menjadi perunding ISO serta interaksi dengan pelanggan.

“Saya banyak mempelajari perniagaan ini daripada pelanggan yang memberikan maklum balas terhadap perkhidmatan yang disediakan. Dengan cara itu, kami dapat menambah baik perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.

Beliau turut menghadiri latihan Six Sigma di Amerika Syarikat dan ditauliahkan sebagai ‘blackbelt’ yang mana dengan anugerah berkenaan, dia mampu menjimatkan kos sesebuah syarikat sebanyak AS$1 juta bagi setiap projek.

Antara pelanggan Genaxis yang memperoleh latihan dan melaksanakan proses Six Sigma ialah PTP, British American Tobacco (BAT), Telekom Malaysia, Pharmaniaga, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Siemens dan United Engineering Malaysia (UEM).

Apa yang membanggakan ialah beliau tidak pernah meminjam daripada mana-mana institusi kewangan atau perbankan untuk memula dan memajukan perniagaan.

Sebagai langkah mengembangkan perniagaan, beliau sudah menubuhkan Genaxis Technology yang bergiat secara aktif dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Sebanyak 20 kakitangan Genaxis Technology terbabit dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (P&P) untuk menghasilkan perisian dalam bidang latihan Six Sigma.

Beliau berhasrat menerokai pasaran antarabangsa seperti Singapura, Asia Barat, Australia dan New Zealand untuk menjual latihan dan perisian berkenaan.

Katanya, sebanyak RM2 juta akan dilaburkan selama dua tahun iaitu tahun ini dan 2009 bagi melaksanakan P&P dan menerokai pasaran antarabangsa.

Beliau berkeyakinan pakej latihan dan perisian yang ditawarkan akan mendapat sambutan di luar negara walaupun terpaksa bersaing dengan banyak pemain dalam industri berkenaan.

“Kelebihan kami ialah produk yang dihasilkan memiliki standard antarabangsa tetapi pada masa yang sama dijual pada harga yang lebih rendah berbanding syarikat lain,” katanya.

Genaxis berhasrat untuk memperluaskan lagi kaedah Six Sigma kepada industri penjagaan kesihatan dan ketenteraan kerana ia memiliki prospek perniagaan yang cerah.

0 comments: