Home » » Kedai emas Syed Akbar

Kedai emas Syed Akbar

Written By kall on Tuesday, 1 April 2008 | 15:19

TIDAK keterlaluan dikatakan, statusnya bukan calang-calang. Sepuluh tahun dalam dunia perbankan (1987—1997), beliau pernah menjawat jawatan penting seperti Pengurus Kanan (Pembiayaan Projek) di Malayan Banking Berhad dan Penolong Pengurus Besar (Perbankan Korporat) di Arab Malaysian Merchant Bank.

Selepas meninggalkan dunia perbankan, beliau terus cemerlang apabila menjawat jawatan Pengarah (Kewangan Korporat) Malaysian Exim Development Sdn Bhd untuk tempoh setahun.


Namun siapa sangka, kelibat individu bertaraf ‘bos’ itu pernah dilihat ‘berpeluh-peluh’ apabila mundar-mandir di sekitar kawasan Pantai Dalam pada 1998.

Bukan bersenam, tetapi memberi dan memasukkan ke dalam peti surat risalah pengenalan dan promosi mengenai perniagaan emas yang baru dimulakannya. Pendek kata, sesiapa yang pernah melihat kesungguhan beliau ketika itu pasti tidak menyangka, individu terbabit adalah bekas pengurus dan pengarah.

Itu sebahagian kisah Syed Akbar Ali, 48, ketika membuka kedai emas Zeenath Begum Jewellers bersama isterinya, Zeenath Begum Mohd Jalaldeen, 41, di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Ketika itu, dia bukan lagi ‘bos’ apabila terpaksa bekerja keras mempromosikan perniagaannya, sehingga hampir setiap hari ‘bekerja lebih masa’.

Isterinya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) tetapi ada pengalaman bekerja di sebuah kedai emas terkemuka negara ini, pula ibarat tulang belakang yang bukan saja membantu menguruskan perniagaan berkenaan, tetapi pada masa sama memberi semangat kepadanya.

“Saya memulakan perniagaan dari bawah dan melakukannya secara ‘one man show’. Letih juga mengedarkan risalah dari satu tempat ke satu tempat, lebih-lebih lagi ketika melakukannya pada waktu malam.

“Bagaimanapun, kerja keras itu berbaloi. Dengan bantuan isteri, kedai emas kami mula dikenali penduduk setempat,” kata Syed Akbar yang turut ditemani Zeenath ketika ditemui Metro Ahad di kedai mereka di 60, Jalan Masjid India, baru-baru ini.

Menurut Syed Akbar, kerana minat berniaga dan gemarkan cabaran, beliau sanggup meninggalkan jawatan tinggi yang disandang untuk memulakan perniagaan.

Katanya, minat berniaga yang dimilikinya juga seiring dengan isterinya yang menjual emas secara kecil-kecilan dari rumah ke rumah sebelum membuka kedai.

“Ikutkan sejarah, saya mula berniaga pada 1989. Ketika itu saya berhenti kerja dan berniaga di Ampang City. Saya berniaga pakaian, kain, sejadah dan yang seumpamanya.

“Bagaimanapun, selepas setahun ia terpaksa ditutup kerana kurang pelanggan berikutan pasar raya yang ‘menghidupkan’ tempat itu ditutup,” katanya.

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu berkata, selepas gagal buat kali pertama, dia bekerja semula di sektor perbankan.

Begitupun, beliau tetap mengimpikan mampu membuka perniagaan sendiri satu hari nanti.

“Pada 1998, impian saya tercapai. Bersama isteri yang berpengalaman bekerja di kedai emas terkemuka negara ini, kami membuka kedai emas pertama kami di Taman Bukit Angkasa, Pantai Dalam.

“Untuk memperoleh modal bukan mudah, kerana selain wang simpanan, kami terpaksa menjual rumah,” katanya.

Menurut Syed Akbar, ketika bertatih memulakan perniagaan itu, kedainya hanya mempunyai dua kaunter dan emas yang dijual pula sedikit.

“Dalam keadaan seperti itu, kami turut terkena. Ada yang datang menjual emas tetapi apabila dilebur, bukan emas tulen, sebaliknya emas bercampur besi.

“Mencari pekerja yang bagus dan jujur juga satu hal kerana kami turut berdepan masalah ditipu pekerja,” katanya.

Begitupun, Syed Akbar berkata, masalah dihadapi tidak sedikitpun melemahkan semangatnya untuk terus memajukan perniagaannya.

“Pengalaman membuka kedai emas pertama itu sungguh berharga. Dengan strategi yang digunakan, kami mula memperoleh pelanggan tetap dan jualan semakin bertambah.

“Begitupun, sekadar membuka kedai di Pantai Dalam belum mencukupi kerana jenama Zeenath Begum Jewellers hanya terkenal di Pantai Dalam.

“Justeru, bagi memperluaskan lagi pasaran, kami membuka pula kedai emas di Plaza City One di Jalan Masjid India,” katanya.

Menurut Syed Akbar, ketika membuka kedai di pusat beli-belah itu perniagaannya kurang menggalakkan, menyebabkan beliau terpaksa mencari lokasi lebih strategik.

“Pada 2001, kami membuka pula kedai emas di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Namun, sekali lagi kami berdepan cabaran kerana hasil tinjauan mendapati, orang ramai yang lalu lalang ke kedai kami ‘segan’ untuk masuk kerana ketika itu hanya ada satu kedai emas di kawasan berkenaan.

“Cukup empat tahun di situ, kami berpindah pula ke Jalan Masjid India dan alhamdulillah, sehingga hari ini perniagaan kami terus berkembang pesat,” katanya.

Syed Akbar berkata, strategi mempromosi produk keluaran syarikatnya di media ternyata memberi kesan positif.

“Usaha kami memberi tajaan barang kemas untuk acara berprestij juga membuahkan hasil.

“Selain itu, jujur dalam perniagaan dan sentiasa mengutamakan pelanggan menjadi faktor utama perniagaan kami kekal sehingga hari ini,” katanya yang kini mempunyai tujuh pekerja berbanding seorang ketika memulakan perniagaan.

Malah, Syed Akbar turut memberi kepercayaan kepada pekerja apabila kedai emasnya di Pantai Dalam diambil alih oleh seorang pekerjanya.

Menarik mengenai Syed Akbar, pengalaman bergelumang dengan ‘emas’ membuatkan dia memahami kehendak pelanggan yang majoritinya wanita.

Walaupun lelaki, beliau tahu kehendak dan cita rasa pelanggannya, malah berkemampuan membuat lakaran rupa bentuk emas yang dijual di kedainya.

“Rekaan emas yang saya cipta disifatkan istimewa kerana ia dijual sekali saja,” katanya sambil diakui isterinya yang tidak lokek dengan senyuman.

Bercerita mengenai keluarga Syed Akbar, tanpa berselindung, beliau mengakui perkahwinannya bersama Zeenath bukan pilihan sendiri, sebaliknya pilihan keluarga.

Namun sejak berkahwin pada 1985 mereka tetap bahagia, malah dikurniakan dua cahaya mata pintar.

Seorang anak mereka, Syed Ali Ibrahim, 18, melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar paling muda untuk kursus perubatan di UIAM, Kuantan, Pahang.

Pada usia 14 tahun, Syed Ali lulus O-Level, iaitu peperiksaan setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi menggunakan sukatan pelajaran dari Universiti Cambridge.

Abangnya, Syed Abu Bakar pula melanjutkan pelajaran di Kolej Antarabangsa Unity dalam bidang seni bina.

Dalam pada itu, Syed Akbar bukan saja dikenali sebagai usahawan, tetapi juga penulis. Selama enam tahun, beliau pernah menulis di akhbar The Sun untuk kolum ‘Human Rites’, manakala dari 1999 hingga Februari 2004, beliau menulis di kolum ‘Komentar Hujung Minggu’ di akhbar Berita Minggu.

Syed Akbar turut menulis dua buah buku berjudul ‘Malaysia And The Club of... Doom * The Collapse Of The Islamic Countries dan ‘To Digress A Litte’.


PROFIL
NAMA: Syed Akbar Ali
ASAL: Ipoh, Perak
USIA: 48 tahun
JAWATAN: Pengarah Zeenath Begum Jewellers Sdn Bhd
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Of Oklahoma, Amerika Syarikat (1986)
ISTERI: Zeenath Begum Mohd Jalaldeen (41)
ANAK: Syed Abu Bakar (20) dan Syed Ali Ibrahim (18)


Rujukan :Hmetro.com.my

0 comments: