Home » » Norzunaini berjaya hasilkan produk sendiri

Norzunaini berjaya hasilkan produk sendiri

Written By kall on Sunday, 6 April 2008 | 14:22


Norzunaini berjaya hasilkan produk sendiri

SELAMA lapan tahun keringatnya diperah menjual produk kecantikan orang lain di bawah pelbagai label yang terdapat di pasaran tempatan. Harapan Norzunaini Mohamed Zain ketika itu, hanyalah mahu menyokong barangan tempatan agar di- terima ramai seiringan dengan penerimaan pelbagai jenama terkenal luar negara yang membanjiri kaunter jualan kompleks utama seluruh negeri.
Sebut sahaja senarai produk kosmetik mana yang dihasilkan anak tempatan, Norzunaini atau lebih mesra dipanggil Nani akan menjualnya.
Sebagai ejen jualan kepada beberapa produk tersebut yang ditempatkan di butik kecantikan terawalnya, Nani Beauty Shop, bertempat di Tanjung Malim, Perak. Kegigihan Nani yang tidak mengenal erti penat lelah telah berjaya dipilih selaku pengedar terbaik dan “Top Performer” dalam penjualan dua produk tempatan yang diwakilinya.
Kesinambungan pada kejayaan serta keinginan untuk memajukan diri bagi mencapai cita-cita menjadi pengusaha dan pengedar barangan kosmetik yang sukses, Nani membaja segala pengalaman untuk berdikari sehingga menghasilkan produk sendiri.
Dibantu suaminya, Ahmad Nazri Azuan, 46, ibu kepada lima orang anak ini, Nurnawaitul, 19, Nurfarhana, 17, Muhammad Wafiy, 10, Muhammad Muaz, 8, dan Muhammad Firdaus, 5, Nani akhirnya berjaya melahirkan jenama di atas namanya sendiri.
Sebagai ibu , Nani seperti wanita-wanita lain tentulah mahu kelihatan jelita walaupun sudah 42 tahun dimamah usia. Dan melihat pada tubuh badannya tidak syak lagi Nani mengambil berat terhadap soal penampilan diri khususnya penjagaan kulit.
“Sebagai wanita, penjagaan kulit perlu diambil berat jika mahu nampak cantik dan awet muda,” ujarnya sewaktu ditemui baru-baru ini.
Menyentuh soal awet muda yang menjadi keinginan setiap kaum wanita yang sudah menjangkau usia dewasa, lebih-lebih lagi yang sudah beranak- pinak, tentulah keutamaan diberikan terhadap pemilihan produk kecantikan antipenuaan.
Hakikat itu tidak perlu dipertikaikan lagi. Semua wanita mahu kelihatan awet muda walaupun tua kian mengejarnya.
Menyedari kurangnya produk anti- penuaan dihasilkan anak tempatan berbanding dengan permintaan pelanggan yang kian meningkat, Nani mengambil langkah mengisi kekosongan berkenaan dengan menghasilkan krim antipenuaan yang dinamakan Nani Beauty – Bio Skincare.
Apa istimewanya krim antipenuaan di bawah jenama Nani Beauty ini?
“Ia diformulasikan dari Perancis tetapi diproses menggunakan teknologi terkini di kilang kami di Tanjung Malim dengan adunan saripati asli dan ekstrak herba,” ujar Nani meyakinkan keistimewaan pengisiannya.
Produk sulungnya di bawah keluaran Nani Beauty Line Sdn. Bhd. ini, di mana Nani bertindak selaku Pengarah Urusannya mengandungi lima ekstrak utama meliputi vitamin C, protein soya, aloe vera, ginseng dan angelica.
Bagi menjamin keaslian dan kualiti produk, Nani memberitahu, ekstrak ginseng dan angelica diimport dari Korea dan Switzerland.
Menurut Nani, ekstrak ginseng berupaya menghapuskan toksin yang terperangkap dalam tisu seluloid manakala angelica yang mengandungi nilai vitamin yang tinggi bertindak menyembuhkan kulit yang rosak akibat sinaran UV yang berlebihan waima mengembalikan kecerahan pada wajah kulit.
“Kesemua bahan yang diadun menjadi krim bio yang mampu mengurangkan kedutan serta menguatkan otot agar muka kelihatan tegang dan awet muda,” ujar wanita berasal dari negeri Cek Mek Molek ini.
Menceritakan penglibatannya dalam bidang perniagaan, Nani yang memiliki diploma dalam jurusan perniagaan dari ITM (kini UiTM) pada tahun 1986 tidak menolak minatnya dalam bisnes didorong oleh bakat yang diwarisi keluarga.
“Maklumlah, kami wanita berasal dari Kelantan mempunyai jiwa yang kuat dalam perniagaan. Sejak remaja saya telah melihat bagaimana ibu berniaga walaupun secara kecil-kecilan,” kenang Nani.
Bertitik tolak dari situ katanya, beliau mula berniaga sambilan dengan menjual apa sahaja yang difikirkan seperti pasu, kain-kain dan kemudiannya produk kosmetik.
“Lapan tahun memerah tenaga menjual barang orang sudah cukup memberikan saya pengalaman untuk menghasilkan produk sendiri,” tambah Nani yang pernah bertugas di jabatan kerajaan dan sektor swasta sebelum berhenti ketika mempunyai dua orang anak.
Sejak menjadi suri rumah sepenuh masa itulah beliau berjinak-jinak secara kecilan menjual barang secara jualan langsung dari rumah.
Kini, terbukti langkah yang diterokai Nani telah berupaya menjadikan impiannya menjadi realiti. Krim bio antipenuaan Nani Beauty yang dihasilkan akan menentukan hala tuju beliau seterusnya.
Dengan menjadikan salun kecantikan sebagai pusat memasarkan produknya, Nani berkata, “Penggunaan krim ini akan lebih efektif kesannya apabila digunakan dengan cara yang betul.”
Kerana itu, menurut Nani, dengan penjualan di salun, pengguna boleh mendapat khidmat nasihat pakar kecantikan profesional memandangkan krim bio ini perlu disapu mengikut lapan urutan pada muka dan leher setiap pagi dan malam.
Sambil menunjukkan lapan pangkal urutan yang dimaksudkan pada wajah suaminya, Ahmad Nazri yang merupakan penyokong kuatnya, Nani berkata, “Penggunaan berterusan mampu menghalang proses penuaan sel-sel sambil mengembalikan tekstur kulit agar lebih tegang, licin, lembut dan cerah.”
Walaupun kerjaya suami di bidang kejuruteraan sivil agak menyimpang jauh dari dunia kecantikan namun jelas Nani, “Suami banyak membantu dalam hal-ehwal penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk serta urus niaga dalam syarikat.
“Ke mana sahaja saya pergi, baik mengikuti bengkel kecantikan sekali pun, suami tetap berada di sisi malah kami berdua tidak berhenti untuk menimba sebanyak ilmu yang mungkin,” jelas Nani yang kelihatan puas dan bangga dengan sokongan suami tersayang.
Dengan berbekalkan modal RM100,000 dari wang titik peluh sendiri bersama suami, harapan Nani mahu menjadikan produk sulungnya ini sebagai langkah pertama ke arah lahirnya beberapa produk kecantikan lainnya seperti pembersih muka, losen pelembap dan sebagainya.
Untuk pertanyaan bolehlah menghubungi 05-4584830

sumber :utusan.com.my

0 comments: