Home » » Jutawan motor

Jutawan motor

Written By kall on Monday 7 April 2008 | 09:10


Syarikat ditubuhkan Azmi, isteri sasar jual 2,800 unit motosikal pelbagai jenama

PERUNCITAN motosikal di negara ini sering dikaitkan dengan peniaga Cina. Jarang kita dengar peniaga Melayu, kecuali beberapa nama besar seperti Naza Bikes dan Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) yang menawarkan motosikal pelbagai kapasiti di negara ini.

Sebabnya mudah kerana perniagaan peruncitan motosikal memerlukan modal yang besar, kerana lazimnya peruncit perlu menyediakan pembiayaan untuk setiap motosikal yang dijual secara kredit.


Apatah lagi, kira-kira 90 peratus daripada jualan motosikal di Malaysia dilakukan secara kredit kerana institusi pembiaya tidak menyediakan kemudahan itu yang dilihat sebagai berisiko besar.

Pembabitan Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd, syarikat yang turut dimiliki Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dengan 30 peratus kepentingan sejak tahun lalu, boleh dianggap sebagai memecahkan monopoli peniaga Tionghua berkenaan.

Dengan mengguna jenama PutraBikes sebagai jenama rasmi syarikat sejak 2006, kini syarikat yang menceburi perniagaan peruncitan motosikal itu telah membiayai hampir RM4.5 juta nilai pembiayaan pembelian motosikal, sesuatu yang sukar difikirkan pemiliknya sebelum memulakan perniagaan berkenaan.

Pengarah Urusan PutraBikes, Azmi Ismail, berkata secara purata, syarikat menjual kira-kira 150 unit motosikal sebulan dengan tumpuan terhadap motosikal dengan kapasiti enjin 150cc ke bawah.

Tahun ini, syarikat mensasarkan menjual 2,800 unit motosikal pelbagai jenama termasuk Modenas, Naza Honda, Yamaha dan Suzuki, selain menjadi pusat sehenti bagi penyelenggaraan motosikal. Tahun lalu, ia menjual sebanyak 1,600 unit.

Azmi berkata, syarikat kekal dengan tumpuan kepada segmen motosikal ‘kapcai’ memandangkan asas pasarannya yang luas iaitu kira-kira 98 peratus daripada bilangan motosikal yang terjual di negara ini setiap tahun.

Beliau bersyukur, selepas hampir 13 tahun terbabit dalam bidang perniagaan itu, PutraBikes, yang turut menyediakan khidmat penyelenggaraan, masih kekal bertahan, dan tidak dibelenggu bebanan hutang yang tinggi yang mana nisbah hutang tidak berbayar (NPL) syarikat ketika ini kurang daripada enam peratus.


Azmi, 42, menyifatkan, pembabitannya dalam industri peruncitan permotoran sebagai pelengkap kepada peserta yang sudah beroperasi sejak sekian lama, selain cuba meneroka potensi besar yang ditawarkan dalam industri berkenaan, khususnya bagi kategori pelanggan Melayu.

Kira-kira 70 hingga 80 peratus pelanggannya ketika ini adalah orang Melayu.

Bagi mengekalkan daya saing dalam industri dan meraih sepenuh manfaat daripada kategori utama asas pelanggannya, sejak Januari lalu, PutraBikes memperkenalkan pembiayaan kewangan berlandaskan Syariah iaitu skim Al-Ijarah Thumma Al-Bai (Aitab).

PutraBikes yang kini beroperasi di tiga cawangan yang juga menempatkan bilik pameran, pusat jualan dan penyelenggaraan, iaitu di Rantau Panjang (Klang), Taiping (Perak) dan Datuk Keramat (Kuala Lumpur), merancang membuka sebuah lagi cawangan di Parit Buntar (Perak), Mei ini.

Dalam tempoh lima tahun, Azmi berazam membuka 25 cawangan di Malaysia dan melihat jenama PutraBikes berada pada satu tahap yang akan disebut-sebut oleh masyarakat.

Mengimbas pembabitannya dalam industri peruncitan motosikal, Azmi yang mengusahakan perniagaan bersama isterinya, Nor Asylynna Lee Abdullah, 39, yang juga seorang saudara baru, telah bersama melalui pelbagai pengalaman jatuh bangun dalam perniagaan yang diceburi mereka.

Walaupun masyarakat sering mengaitkan kejayaannya membina perniagaan itu kerana beristerikan wanita Cina, tanggapan itu disangkal sama sekali, malah turut disokong isterinya yang tidak mempunyai pengalaman langsung dalam bidang perniagaan dan bukan berasal daripada keluarga peniaga.

Azmi yang berkelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan tidak pernah melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi, memulakan perniagaannya dengan menjual kereta terpakai selepas berkahwin.

Bermodalkan RM9,000, beliau membeli sebuah kereta terpakai dan mempamerkan kereta itu di hadapan rumah yang disewanya bersama isteri, di Taiping, Perak.

“Jika orang hilang satu jari mengaitkannya dengan nasib malang, tapi saya menggunakan wang kerana hilang satu jari kaki kanan untuk dijadikan modal untuk berniaga,” katanya yang pernah mendapat wang tuntutan insurans kerana terbabit dalam kemalangan motosikal ketika sibuk membantu ibu-bapanya berniaga di kedai makan.

Hidupnya sekeluarga dengan seorang anak lelaki ketika itu disifatkan begitu sukar, dan boleh disamakan seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ kerana beliau tidak memiliki banyak modal untuk menambah stok kereta terpakai yang dijualnya.

Beliau yang terkenal dengan kenakalan dan kedegilannya oleh keluarga, juga tidak pernah meminta bantuan keluarga, kerana tidak mahu menyusahkan mereka, apatah lagi daripada keluarga mentua yang pada awal menentang keras perhubungannya.

Namun, rezeki ada di mana-mana dan berkat doanya untuk mencari wang bagi membesarkan keluarga, Azmi diberi peluang oleh rakan yang bekerja di bank untuk menempatkan ‘kereta tarik’ untuk ditempatkan di hadapan rumah sewanya.

“Pendekatan ini digunakan bagi menari perhatian pelanggan kerana orang akan tertarik untuk singgah kerana melihat banyak kereta dipamerkan,” katanya menjelaskan strategi berkenaan membuahkan hasil dan lebih banyak tempahan diterima dari sehari ke sehari.

Perniagaan motosikalnya bermula pada 1996 apabila beliau mendapat peluang untuk menjadi ejen pengedar bagi Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas), yang memperkenalkan motosikal buatan sendiri ‘Kriss’ di pasaran pada tahun berkenaan.

Azmi melabur RM30,000 untuk membuka kedai motosikal pertama di Taiping dan ia tidak termasuk stok yang perlu disediakan, selain menyediakan tunai RM40,000 sebagai jaminan tunai untuk mendapatkan pinjaman RM60,000 di institusi kewangan.

Beliau terus meninggalkan perniagaan jualan kereta terpakai sebaik terbabit dalam jualan motosikal berkenaan.

Berkongsi pengalaman mengenai cabaran untuk memikat isteri yang disifatkan sebagai lebih hebat daripada drama di TV, mereka bertemunya di perpustakaan awam di Taiping, ketika membuat persiapan untuk STPM, manakala isteri mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Hubungannya tidak direstui bapa mentua kerana bapa Nor Asylynna tidak mahu beliau berkawan dengan lelaki Melayu hingga terpaksa menukar kepada agama Islam.

Hubungan yang berputik ketika musim peperiksaan itu terputus separuh jalan. Namun, jodoh yang kuat ditetapkan Ilahi, menyebabkan kedua-duanya bertemu kembali ketika Nor Asylynna bekerja sebagai Penterjemah di mahkamah di Temerloh, Pahang.

Azmi yang bekerja sebagai ejen menjual kereta ketika itu menggunakan peluang sebaiknya untuk meyakinkan bapa bakal isteri ketika diminta bertandang ke rumah untuk ‘ditemuduga’, satu-satunya peluang yang beliau ada untuk memastikan peluangnya tidak terlepas.

Hubungan akhirnya direstui selepas temuduga yang berlangsung penuh diplomasi itu yang disifatkannya sebagai lebih hebat daripada ujian menduduki peperiksaan, dan hingga kini mereka berkongsi rumah tangga dengan tiga orang cahaya mata yang semuanya lelaki.

Disebabkan tidak mahu dilihat sebagai seorang yang gagal, lebih-lebih lagi di mata mentua, Azmi memastikan beliau mampu membina sebuah keluarga yang berjaya.

Atas faktor yang sama juga, Nor Asylynna, memastikan beliau mampu berdepan sebarang cabaran selepas nekad mengingkari permintaan bapa untuk berkahwin dengan seorang lelaki bukan Melayu.

INFO: Azmi & Noor Niaga Holdings Sdn Bhd

  • 70 peratus milik Azmi dan Nor Asylynna

  • 30 peratus milik PUNB sejak 2007

  • Bermula dengan perniagaan menjual kereta terpakai selepas berkahwin

  • Mula perniagaan motosikal pada 1996

  • Modal permulaan RM30,000, tidak termasuk stok yang perlu disediakan.

  • Buka kedai motosikal pertama di Taiping, Perak

  • Bermula sebagai ejen motosikal keluaran Modenas

  • Kini purata jual kira-kira 150 motosikal sebulan

  • Tahun ini sasar jual 2,800 motosikal

  • Sasaran 25 cawangan PutraBikes menjelang 2012.
  • 2 comments:

    Unknown said...

    qzz0623
    air max 2017
    furla handbags
    uggs outlet
    michael kors
    swarovski outlet
    michael kors
    coach outlet online
    kate spade outlet
    oakley sunglasses
    merrell shoes

    jeje said...

    jinyi827
    Le volume maximum de air jordan 5 kaskus l'unité Air-Sole dans le talon signifie que vous pouvez piler la chaussée sans marteler nike air jordan 6 femme blanc rose noir vos pieds. Stratégiquement, cet endroit est développé d'une manière qui air max 2015 nike protège le flanc sud de votre endroit le plus cortez nike homme blanche vulnérable et la porte de la citadelle. Alors que dans le troisième air jordan 1 bhm chapitre, le cardiologue a appelé le Dr Paul Act a air jordan 11 retro low blanc noir déclaré, les séances d'échauffement favorisera peut-être le mouvement du air jordan 11 retro concord price sang et augmenter la température du corps, de sorte que l'abréviation de fonctionner les muscles.