Home » » Dulu jurutera kini tauke makanan

Dulu jurutera kini tauke makanan

Written By kall on Friday, 11 April 2008 | 11:43


Semasa melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Texas, Amerika Syarikat (AS), Abang Omar Abang Ali bekerja secara sambilan di restoran makanan segera di sana bagi menampung kos hidup yang tinggi. Bagaimanapun pengalaman tersebut tidak disia-siakan dengan mempelajari kaedah pemprosesan pelbagai jenis makanan Barat berasaskan daging.

Kembali ke tanah air, Abang Omar sempat bertugas sebagai jurutera minyak dan gas tetapi hatinya memberontak bagi menunaikan fardu kifayah dengan mengeluarkan makanan berasaskan daging yang halal lagi suci bagi masyarakat Muslim negara ini.

Merealisasikan impiannya, pada 1995, Abang Omar membeli sebuah kilang di Kawasan Perusahaan Bukit Angkat, Kajang, Selangor tetapi hanya memulakan operasinya dua tahun kemudian selepas mendapat Sijil Layak Menduduki (CF).

"Ketika mula untuk 'bertatih', kami menghadapi pelbagai masalah yang menyebabkan kilang Omcorp Sdn. Bhd. sukar beroperasi.

"Pada masa itu. Omcorp hanya menggunakan 200 hingga 300 kilogram daging sehari selain menghadapi pelbagai masalah termasuk cabaran semasa wabak SARS dan selesema burung," katanya ketika ditemui di kilangnya, baru-baru ini.

Biarpun ketika itu kerajaan memberikan penekanan dalam bidang teknologi maklumat (IT) tetapi Abang Omar tetap terus berusaha memajukan kilang makanan berasaskan daging.

"Kini selepas 10 tahun mengendalikan kilang ini, saya dapat merasakan kami berada di landasan yang betul memandangkan kini negara menuju ke arah pertanian," katanya.

Selepas beroperasi, sebagai Pengarah Omcorp, Abang Omar telah membuka empat buah outlet bagi memperkenalkan produknya selain memberikan tumpuan kepada kilangnya.

Abang Omar menambah, apabila produknya mula dikenali, Omcorp telah membekalkan sosej kepada beberapa tempat seperti restoran A&W dan MAS Catering.

"Ketika itu Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah membantu dari segi nasihat teknikal terutama bagi meningkatkan kualiti produk yang amat kami perlukan," katanya.

Abang Omar berkata, pihak MARDI terlalu banyak menghulurkan bantuan terutama dalam menyelesaikan masalah seperti kepakaran teknikal, meningkatkan jangka hayat serta analisis produk.

Kini dengan kerjasama dan tunjuk ajar MARDI yang berterusan, Omcorp telah berjaya menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan daging seperti sosej, papperoni, inti piza, burger, salami, sate, muffin dan terkini piza sejuk beku yang mendapat permintaan yang amat menggalakkan di kalangan pengguna.

Produk keluaran Omcorp dengan nama Omardeli boleh didapati di pelbagai pasar raya seperti Jaya Jusco, Giant dan Cold Storage serta hotel-hotel seluruh negara.

Abang Omar menambah, masyarakat Islam yang amat prihatin dan sensitif dengan keluaran produk halal telah membuka ruang yang luas kepada perniagaan beliau.

Ditanya mengenai cabaran dalam dunia perniagaan, Abang Omar berkata, semasa masyarakat kecoh mengenai sosej menggunakan bahan tidak halal tidak lama dulu, syarikatnya juga terkena tempiasnya.

"Mungkin kerana nama Omcorp tidak menggambarkan keislaman, ada yang menganggap syarikat kami dikendalikan oleh orang bukan Islam dan menuduh kami menggunakan bahan-bahan tidak halal.

"Sebenarnya sejak mula beroperasi kami telah menggunakan sarung selulosa yang dihasilkan daripada tumbuhan sebagai acuan sosej dan akan ditanggalkan selepas dimasukkan dalam air panas sebelum dibungkus dan dipasarkan," katanya semasa menunjukkan cara-cara membuat sosej.

Memandangkan produknya dieksport ke negara seperti Eropah dan Singapura, Abang Omar banyak mengimport bahan mentah seperti daging lembu dari negara Australia, Eropah dan China yang terjamin halal serta bebas daripada penyakit kuku dan mulut (FMD) bagi menampung keperluan kilangnya.

"Bagi pasaran ke luar negara, Omcorp telah berjaya memperoleh pelbagai pengiktirafan daripada negara ini seperti Veterinary Health Mark (VHM), Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan Baik (GMP)," katanya.

Kini sudah lebih setahun Omcorp mendapat kontrak membekalkan skysnack yang merupakan gabungan produk beberapa industri kecil dan sederhana yang dibungkus di kilangnya sebagai makanan ringan dalam pesawat syarikat penerbangan tempatan.

Bagi mempelbagaikan produk, Omcorp juga menghasilkan ikan keli dan patin salai bagi pasaran di hotel dan syarikat penerbangan tempatan.

"Bagi ikan salai, kami mendapatkan bekalan ikan air tawar dari Sungai Besar dengan kerjasama Jabatan Perikanan Selangor," katanya.

Ditanya mengenai perancangan 10 tahun akan datang, Abang Omar berkata, kini pihaknya menjalinkan kerjasama dengan MARDI bagi mengembangkan pasaran bakeri di dalam dan luar negara.

"Kami yakin akan mendapat pasaran yang luas memandangkan kini semakin ramai pengguna yang prihatin dengan produk halal," katanya yang mempunyai ketua chef yang bertanggungjawab membangunkan produk bakeri.

Selain itu Abang Omar juga akan cuba mencari pasaran baru bagi skysnack dengan syarikat penerbangan lain.

"Langkah ini penting bagi memperkenalkan jenama Omardeli sebelum memasuki pasaran luar negara," katanya.

Apa yang lebih membanggakan, Omcorp kini dalam usaha mengeksport sate ke Singapura menggunakan mesin sate ciptaan MARDI.

"Bagi pasaran yang lebih luas, kami perlu mendapatkan Agri-food and Veterinary Authority Singapore (AVA) dari Singapura sebagai batu loncatan untuk memasarkan produk kami ke negara-negara maju.

"Misalnya Singapura serta negara maju lain tidak mahu sate yang menggunakan kaedah manual kerana bimbang dengan status keselamatan dan kebersihan makanan.

"Mereka bimbang kecederaan yang berlaku semasa mencucuk sate yang akan menyebabkan pencemaran pada produk," katanya.

0 comments: