Home » » Mulakan dgn RM50 Sekarang JUTAWAN

Mulakan dgn RM50 Sekarang JUTAWAN

Written By kall on Friday, 18 April 2008 | 09:52


MEGA: Kejayaan saudara dengan hanya bermodalkan RM50 ringgit memang sesuatu yang unik. Bagaimana semuanya bermula?

ABDUL HALIM: Sebenarnya cerita saya memulakan perniagaan dengan modal kecil memang mengejutkan ramai kerana kita selalu beranggap kalau hendak bisnes, modal mesti besar.

Saya sebelum ini bekerja di kilang balak tetapi tahap kesihatan saya terganggu hingga ke tahap serius yang menyebabkan saya berhenti. Pada saat itulah saya memikirkan cara untuk mencari pendapatan dan saya mula berniaga pisang goreng.

Alhamdulillah, dengan modal RM50 itulah saya berniaga dan pada masa yang sama menyimpan sedikit daripada keuntungan yang diperoleh.

Lama-kelamaan saya tambah dengan menjual cakui, pau, donat, dodol pulut hitam dan tepung rangup. Saya beruntung produk pau saya mendapat sambutan kerana pada masa itu tidak ramai yang mengusahakannya. Boleh dikatakan Pau Halim keluaran kami pada masa itu cukup terkenal dan mendapat permintaan.

Pun begitu, saya agak terkilan kerana tidak mempunyai pengangkutan, jadi produk-produk hanya dijual di sekitar tempat tinggal. Malah untuk mendapatkan bantuan kewangan juga tidak berjaya memandangkan saya tidak mempunyai aset bernilai untuk dijadikan cagaran.

Namun, saya tidak putus asa, waima dengan bermotosikal buruk. Saya cuba kumpulkan modal sendiri menerusi jualan yang dibuat dan lebih mengutamakan penghasilan produk tepung rangup sejak empat tahun lalu. Ini kerana permintaannya yang tinggi, sekali gus membantu mereka yang baru berjinak dalam dunia perniagaan berbentuk makanan.

Sudah pasti, saudara menghadapi kesukaran pada peringkat permulaan. Apakah antara cabaran yang dihadapi dari dulu hingga sekarang?

ABDUL HALIM: Lumrah orang berniaga mestilah menghadapi cabaran, waima sekecil manapun bentuk perniagaannya. Mungkin saya beruntung sedikit kerana apa yang saya pilih pada masa itu masih belum ramai yang buat. Malah sekarang pun, saya sanggup menghentikan sementara produksi untuk pau dan lain-lain serta tumpu kepada tepung rangup kerana melihat permintaan dan pasarannya yang semakin meningkat. Ini tidak bermakna, ia dihentikan untuk selama-lamanya tetapi sekadar sementara waktu.

Kalau nak dikategorikan sebagai cabaran, mungkin pada peringkat awal, masalah modal menjadi halangan utama lebih-lebih lagi, dengan ketiadaan aset atau harta yang boleh dijadikan sandaran di bank.

Namun, bebanan ini berkurangan apabila mula mendapat bantuan daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di bawah skim bantuan usahawan. Saya bersyukur kerana perkembangan perniagaan jelas ketara selepas menerima bantuan walaupun ia tidak diberi dalam bentuk wang tetapi dalam bentuk bantuan mesin.

Pada masa ini jugalah saya mendaftar syarikat dengan nama Jaya Food Product Enterprise sebagai syarat melayakkan saya menerima bantuan.

Kedua, cabaran dari segi pasaran. Pada peringkat awal produk pau yang dihasilkan hanya dipasarkan di kalangan masyarakat setempat, memandangkan ketiadaan pengangkutan. Bayangkanlah dengan hanya bermotosikal, jauh manalah saya dapat pergi. Namun, saya tidak terhenti di situ, saya cuba buat strategi pemasaran sendiri iaitu pau saya bekalkan kepada restoran dan kedai makan, manakala tepung rangup, saya jumpa para peniaga atau ke kedai-kedai runcit.

Dari situlah, saya dapat membeli van terpakai dan dapat membuat pasaran lebih jauh seperti ke Kuala Selangor.

Kami juga pernah menghadapi cabaran ditipu pihak tertentu yang kononnya ingin membantu tetapi mempunyai matlamat umpama ada udang di sebalik batu.

Namun, itu semua dapat diatasi mungkin kerana kelebihan orang Islam, kita sentiasa berdoa kepada Allah untuk mempermudahkan segala urusan. Maka dari awal lagi sudah terdetik di hati dan saya mula berwaspada sebelum lebih lama dipermainkan.

Lebih 15 tahun dalam bisnes bagaimana anda melihat perubahan dan perkembangannya dahulu dan kini?

ABDUL HALIM: Memanglah sangat ketara perubahannya. Contohnya dari segi bantuan kerajaan dan agensi kewangan. Masa saya baru-baru mula dahulu, mana ada pihak yang berani hendak menghulurkan bantuan, apa lagi dengan ketiadaan aset dan operasi sekadar di rumah sahaja.

Namun sejak kebelakangan ini, sebut sahaja hendak berniaga terutamanya bumiputera Muslim, banyak bantuan yang boleh diperoleh.

Malah bukan itu sahaja, mereka yang berminat dengan dunia perniagaan juga boleh mendapatkan pelbagai ilmu pengurusan, pemasaran dan banyak lagi daripada agensi berkaitan dengan bisnes. Peluang sudah terbuka luas cuma terletak kepada individu itu sama ada hendak mengambilnya ataupun sebaliknya.

Saya juga bersyukur menerima pelbagai bantuan yang menyebabkan produktiviti kami bertambah, sekali gus mencambahkan pendapatan.

Apakah perancangan masa depan anda dalam dunia perniagaan?

ABDUL HALIM: Saya sama juga dengan orang berniaga yang lain iaitu mahu mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

Saya juga tidak mempunyai perancangan untuk menceburi bisnes-bisnes lain kerana saya lebih suka menumpukan kepada perniagaan yang sedang diusahakan ini.

Mereka yang berminat mendapatkan bekalan tepung rangup boleh juga menghubungi saya di talian 017-651 0400.

Apakah nasihat yang boleh diberikan kepada para perniagaan menerusi pengalaman saudara dalam dunia perniagaan?

ABDUL HALIM: Bila diingat-ingat, saya memang tidak menyangka apa yang dimulakan dahulu yang sekadar untuk menyara keluarga rupa-rupanya membawa pulangan yang lumayan.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Apa yang dicapai sekarang memang tidak ada di dalam kepala pada masa itu namun kerana kesabaran dan sedikit kelebihan ilmu yang Allah kurniakan, semua yang dikira mustahil, akhirnya menjadi kenyataan.

Saya suka berpesan kepada mereka yang berminat dalam dunia perniagaan atau mereka yang sudah bergelar usahawan agar jangan sekali-kali menangguhkan hutang kerana masalah hutang ini boleh membawa sehingga gulung tikar.

Sebab itulah, saya dalam apa urusan memanglah kena berhutang tetapi saya cuba langsai dalam tempoh singkat. Kelebihan kita membayar segera hutang, selain tidak membebankan ia juga membina kepercayaan pembekal bahan mentah kepada kita. Dengan pekerja juga saya suka membayar gaji mereka hari-hari sedangkan ada segelintir lebih suka membayarnya pada tempoh tertentu. Bagi saya mereka keseronokan hati pekerja lebih diutamakan kerana mereka adalah aset kepada syarikat.

Seperkara lagi, mungkin sedikit kelebihan saya ialah, saya tidak banyak menanggung kos perbelanjaan. Ini kerana, saya mempunyai bengkel di tapak perumahan sendiri, jadi tidak perlu membayar sewa.

Kejayaan ini juga didorong oleh minat mendalam dalam mencipta resipi. Malah jangan terkejut jika saya katakan saya berhabis ribuan ringgit demi memperoleh resipi yang benar-benar mantap dan tersendiri. Saya cukup bersyukur dengan ilmu dan ilham kurniaan Ilahi, banyak yang dapat dihadapi secara tenang dan berhikmah.

0 comments: