Home » » Jutawan Sebelum Usia 25 Tahun

Jutawan Sebelum Usia 25 Tahun

Written By kall on Sunday 27 April 2008 | 16:00


HARAPANNYA ialah melihat lebih ramai anak muda Bumiputera terbabit dalam perniagaan pemasangan alat dan servis NGV yang mempunyai prospek cerah.Pengarah Rokan Maju Resources Sdn Bhd, Shaiful Azwandy Ishak, berkata untuk memantapkan diri dalam bidang ini, beliau mempelajari mengenai pemasangan alat NGV di Itali.


Shaiful turut menggaji jurutera NGV dari Perancis bagi memantapkan pengetahuan pekerjanya berkaitan pemasangan NGV.“Mekanik NGV kurang di negara ini, sedangkan bidang ini semakin berkembang. Sebab itu saya sanggup mendapatkan khidmat jurutera asing yang mahir mengenai bidang ini bagi membolehkan kakitangan mendapat skil sepatutnya serta mampu memenuhi permintaan semasa,” katanya.Beliau mengasah bakat dalam dunia perniagaan dengan membuka pusat mencuci kenderaan ketika masih bergelumang dengan buku.


“Kebanyakan generasi muda menumpukan pada pelajaran ketika masih menuntut dan selepas itu bekerja makan gaji. Saya pula lebih suka belajar dan sambil itu menimba pengalaman dalam dunia perniagaan.“Minat berniaga bercambah apabila melihat ibu bapa saya mengusahakan restoran ketika saya berusia 15 tahun. Ketika menuntut di kolej, saya memberanikan diri mengusahakan pusat mencuci kereta dengan modal RM10,000.


“Pada waktu pagi saya menghadiri kuliah, manakala petang masuk kerja. Sambutan yang diterima sungguh menggalakkan kerana purata 150 kereta sehari mendapatkan khidmat pencucian,” katanya yang mengambil alih perniagaan itu daripada pengusaha lain.Disebabkan sambutan menggalakkan, beliau mampu menggajikan 11 pekerja, apatah lagi kawasan berkenaan yang berstatus komersial terletak di kawasan strategik.“Mengikut syarat, pengusaha perlu membuka pusat mencuci kenderaan terlebih dulu dan kemudian memohon lesen daripada pihak berkuasa tempatan.


“Apabila saya mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan, permohonan saya ditolak tiga kali hinggalah saya menerima notis merobohkan premis berkenaan.“Rayuan saya supaya premis tidak dirobohkan tidak dilayan. Bagaimanapun, dua hari selepas itu saya menerima surat daripada pihak berkuasa tempatan memberitahu permohonan saya diluluskan, sedangkan mereka sudah merobohnya. Kejadian itu membuatkan saya tawar hati dan tidak mahu meneruskan perniagaan berkenaan kerana memerlukan kos tinggi untuk memulihkannya semula,” katanya.


Shaiful mendirikan rumah tangga pada usia 23 tahun iaitu enam hari selepas menyudahkan peperiksaan akhir di kolejnya.“Kalau tidak kahwin, mungkin saya masih makan gaji hingga ke hari ini. Saya bersyukur kerana impian untuk menjadi jutawan sebelum usia 25 tahun tercapai,” katanya.

0 comments: