Home » » Hasil 200 kek sehari

Hasil 200 kek sehari

Written By kall on Friday, 11 April 2008 | 10:44


MURAH, sedap, berkualiti dan boleh rasa dahulu, itulah ciri utama yang diamalkan oleh pemilik Shariz Delight, Sharifah Zainab Syed Zamri, 39.Sepuluh tahun bergelumang dalam dunia pengeluaran dan penjualan makanan, sudah cukup baginya mengetahui rahsia untuk berjaya dalam bidang tersebut.

Menceritakan permulaan menceburi bidang itu, Sharifah Zainab berkata, penglibatannya bermula apabila beliau terpaksa berhenti kerja kerana mengikut suaminya berpindah kerja ke Hulu Selangor.

Bagi membantu suami, beliau memulakan pengeluaran mini piza dan baulu untuk dipasarkan ke sekolah-sekolah di sekitar kawasan Kuala Kubu Bharu, Batang Kali dan Hulu Yam.

Sekarang, hasil produknya diperluaskan kepada bun sosej, biskut, roti, kek dan mufin yang sentiasa menjadi tarikan terutama pelanggan-pelanggan di dua pasar tani di Selangor.

Walaupun hanya menjual hasil produknya di pasar tani, ia adalah permulaan untuk mengorak langkah lebih jauh.

Sharifah Zainab berkata, memang impiannya untuk mempunyai bakeri sendiri, namun masih tidak kesampaian kerana permohonan untuk menyewa kedai belum berjaya.

Buat masa ini beliau beroperasi di bengkel kecil yang dibina di tempat letak kereta rumahnya.

''Saya telah berniaga sejak 10 tahun lalu dan pernah menyiapkan tempahan 10,000 kek dan baulu dalam keadaan serba kekurangan. Dari situ semangat untuk terus menceburi bidang ini meluap-luap, di samping mempelajari teknik-teknik terbaru.

''Saya ini memang gemar menyertai sebarang kursus bakeri yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian, untuk menambah ilmu dan memperbaiki lagi produk yang ada,'' katanya.

Dengan hanya bermodal sedikit dan bantuan pemberian ketuhar dan peti sejuk daripada Jabatan Pertanian, Sharifah Zainab telah mempelbagaikan produknya.

Kini kek pandan lapis, kek laici lapis, kek keladi lapis dan pelbagai jenis kek gulung swiss dan kek coklat lembap menjadi trade mark perniagaannya.

Dengan kemudahan itu juga beliau mampu menghasilkan antara 100 hingga 200 biji kek sehari.

''Selalunya hari Selasa hingga Ahad adalah hari bekerja, manakala Isnin ialah hari cuti atau hari mencuci bekas-bekas kek dan membersihkan bengkel.

''Saya akan bermula seawal 8 pagi sehingga 3 petang dengan dibantu seorang pekerja,'' jelas ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Selain dijual kepada pelanggan yang datang ke bengkelnya, kek-kek tersebut juga dipasarkan di Pasar Tani seperti di Bukit Sentosa (Khamis) dan Shah Alam (Ahad).

''Setiap kali berniaga, saya pasti akan memberi pelanggan merasa produk saya dulu dan dengan cara ini sedikit sebanyak saya berjaya meraih keyakinan pelanggan.

"Saya juga sentiasa bersedia menerima komen-komen daripada pelanggan kerana dengan cara ini saya dapat meningkatkan lagi kualiti produk.

"Apa yang penting daripada maklum balas yang diterima mereka menyatakan produk saya sedap dan murah.

''Inilah ciri-ciri yang ingin saya kekalkan. Saya mahu semua orang mampu membeli dan merasainya," katanya.

Berbanding harga pasaran, produk Sharifah Zainab memang dijual lebih murah iaitu antara RM5 hingga RM6 bagi semua jenis kek.

''Biasanya, apabila masa perniagaan hampir tutup saya akan beri potongan harga pada produk yang masih tinggal kerana kek-kek ini tidak mempunyai jangka hayat yang lama," katanya.

Bagi memberi pilihan kepada pelanggan, beliau sentiasa berusaha mempelbagai rasa kek lapis seperti perasa laici, keladi dan sebagainya, selain lapan jenis kek marjerin dan kek gulung. Bagi yang ingin membuat tempahan, boleh menghubungi talian 012-2794116.