Home » » Ingin Cuba Sesuatu yang baru Sabrina Berjaya

Ingin Cuba Sesuatu yang baru Sabrina Berjaya

Written By kall on Friday 25 April 2008 | 22:53

Sasabina Recreation penuhi impian kanak-kanak

Nabi Muhammad SAW mengahwini Siti Khadijah yang kental semangatnya dalam bidang perniagaan. Walaupun banyak rintangan yang dihadapi, Siti Khadijah yakin perniagaan merupakan punca rezeki utama kepada masyarakat Islam.

Bahkan, 9/10 punca rezeki datangnya daripada sumber perniagaan. Namun, sesetengah orang berpendapat, bidang tersebut penuh dengan risiko.

Bagaimanapun, wanita cekal yang berkelulusan ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini yakin keputusan yang dibuat adalah tepat dan mampu membuahkan hasil.

Tanpa mengenal erti putus asa, Mazni Yusof, 32, terjun ke dunia perniagaan tanpa mengendahkan cabaran yang bakal ditempuhinya.

Bergandingan dengan abangnya, Shahron Yusof, 35, yang berkelulusan dalam bidang perhotelan dari UiTM dan ijazah dalam pengurusan pelancongan dari sebuah universiti di Jepun, mereka menubuhkan Sasabina Recreation Sdn. Bhd.

WartawanUtusan ZUNAIDAH ZAINON dan jurugambar AMIR HAFIZ menemu bual Mazni untuk berkongsi pengalamannya sepanjang bergelar usahawan.

MEGA: Tidakkah menjadikan bidang perniagaan sebagai batu loncatan untuk membina kerjaya dilihat sebagai pilihan terakhir?

MAZNI: Memang pada mulanya, saya akui ia menjadi punca utama saya membabitkan diri dengan perniagaan kerana gagal mendapatkan kerja dalam bidang perakaunan sebaik tamat pengajian dari UiTM.

Bagaimanapun, setelah diteliti setiap kelebihan dan kekurangannya, saya pasti bahawa keputusan ini bukan jalan terakhir untuk mendapatkan kerja. Ingin saya tegaskan bahawa ia telah memberi saya kepuasan kerana berniaga juga sudah merupakan darah daging keluarga saya cuma bidang yang dipilih adalah berbeza. Ibu bapa saya memilih untuk mengusahakan batik sejak 1979 dan kini membuka restoran.

Kenapa tidak teruskan dengan perniagaan warisan keluarga?

MAZNI: Saya ingin cuba sesuatu yang baru seperti mana yang dituntut oleh agama Islam bahawa kita digalakkan mencuba sesuatu yang baru dan berani berhadapan dengan cabaran. Jika kita takut dan terlalu bergantung kepada orang lain untuk berjaya, ia tidak akan membawa sebarang makna. Malah, orang Islam akan dipandang rendah kerana ketinggalan tidak mampu berjaya dalam perniagaan.

Apakah sasaran utama Sasabina Recreation?

MAZNI: Melalui Sasabina Recreation Sdn. Bhd. yang dimulakan dengan modal RM118,000, segala idea dan kreativiti dicurahkan melahirkan sebuah taman permainan yang mampu memenuhi impian kanak-kanak.

Perniagaan ini umpama merealisasikan impian zaman kanak-kanak yang ingin menikmati keseronokan bermain bersama rakan-rakan di taman permainan yang cantik dan menarik.

Jadi, kita buat sesuatu yang mampu memenuhi kehendak kanak-kanak supaya mereka gembira dan seronok ketika bermain di situ.

Selain taman permainan, apakah produk keluaran Sasabina Recreation?

MAZNI: Sasabina Recreation turut bertanggungjawab mengeluarkan produk untuk pembinaan gelanggang futsal, badminton dan takraw serta gelanggang untuk permainan papan gelongsor (skate board).

Selain itu, ia juga mengeluarkan kelengkapan untuk melakukan senaman kecergasan untuk orang awam termasuklah warga tua yang berbentuk seperti gimnasium di padang permainan.

Bagi saya, perniagaan ini mempunyai prospek yang cerah kerana majlis perbandaran dan dewan bandar raya telah meletakkan syarat yang mewajibkan setiap kawasan perumahan yang dibuka mempunyai taman permainan kanak-kanak sebagai antara kemudahan yang disediakan untuk penduduk.

Sehingga kini, apakah cabaran yang dihadapi memandangkan tidak ramai syarikat pengeluar taman permainan kanak-kanak di kalangan bumiputera?

MAZNI: Perniagaan mengeluarkan peralatan taman permainan kanak-kanak berisiko tinggi sekiranya aspek keselamatan diabaikan dan ia boleh mengancam nyawa kanak-kanak.

Dalam konteks ini, setiap peralatan perlu mematuhi kualiti standard yang ditetapkan dengan berpandukan kepada Malaysian Standard, British Standard dan American Standard and Testing Material.

Ini merupakan kriteria penting yang perlu kita patuhi. Jika diabaikan, kanak-kanak akan berhadapan dengan risiko seperti cedera ketika bermain atau mungkin lebih teruk dari itu kerana material yang digunakan tidak berkualiti, mudah rosak dan berkarat.

Bagi memastikan produk yang dikeluarkan berkualiti, kami juga bercadang untuk memohon pengiktirafan persijilan Pertubuhan Perstandardan Antarabangsa (ISO).

Selain itu, rakan kongsi turut menjadi salah satu faktor kelemahan bagi usahawan bumiputera. Ini kerana, kerjasama erat antara rakan kongsi dan semua kakitangan akan menentukan hala tuju dan kemajuan syarikat. Tanpa persefahaman, ia akan menyebabkan pengurusan syarikat terumbang ambing dan akhirnya terpaksa ditutup.

Atas alasan itu, saya lebih senang bekerja dengan ahli keluarga sendiri seperti abang saya kerana banyak kelebihannya. Antaranya, kita lebih percaya antara satu sama lain dan tak perlu risau tentang keselamatan. Malah perbincangan dapat dilakukan bersama-sama.

Apakah perancangan Sasabina Recreation pada masa hadapan?

MAZNI: Mengenai perancangan masa depan, Sasabina Recreation bercadang mengeksport produk keluaran syarikat ke luar negara seperti Thailand, Indonesia dan kemudiannya ke negara-negara Asia Barat.

Apakah nasihat kepada usahawan yang berminat dengan bidang perniagaan ini?

MAZNI: Kepada semua bakal usahawan, anda perlu bijak membuat kajian terlebih dahulu agar ia boleh memenuhi kehendak kanak-kanak dan paling penting memberi keutamaan kepada aspek keselamatan. Ini perlu ditekankan bagi mengelakkan kemalangan berlaku atau lebih buruk boleh mengundang maut.

0 comments: