Home » » Jualan langsung beri peluang hidup mewah

Jualan langsung beri peluang hidup mewah

Written By kall on Friday 28 March 2008 | 09:14


Pembabitan sebagai wakil pengedar produk Avon bolehkan wanita khususnya suri rumah raih pendapatan lumayan

BERSUSAH dulu, bersenang kemudian. Peribahasa itu menjadi pegangan Zainun Tahir yang dinobatkan sebagai Wakil Avon No 1 Negara 2008, baru-baru ini. Kejayaan yang dikecapi Zainun hari ini adalah berkat usaha gigihnya yang tidak mengenal jemu dalam bidang jualan langsung.

Menceritakan kembali jerih perih ketika mula-mula menyertai Avon Cosmetics lebih kurang 18 tahun lalu, ibu kepada dua anak ini sanggup berjalan kaki dari rumah ke rumah di segenap ceruk kampung demi mencari pelanggan.


“Ketika itu kami hanya mampu memiliki motosikal. Suami bekerja di kilang berhampiran dengan pendapatan lebih kurang RM1,000 sebulan. Niat di hati hendak bantu tambah pendapatan kami sekeluarga, menguatkan semangat saya untuk berniaga walaupun terpaksa berjalan kaki selama dua tahun dari rumah ke rumah,” katanya.

Zainun mula keluar dari rumahnya seawal jam 9 pagi dan pulang semula pada jam 1 tengah hari untuk mengambil anaknya dari sekolah. Selepas berehat dan memastikan makan minum anak-anak terurus, tepat jam 2 petang, Zainun keluar semula dan hanya pulang pada jam 7 malam.

“Pada masa itu, pendapatan saya mencecah RM500 sebulan. Bagi saya, barangan Avon mudah dijual dan harganya berpatutan. Apa yang penting, kita perlu bijak memenangi hati pelanggan. Mereka ini ibarat Raja yang perlu dilayan sebaiknya. Walaupun pelanggan banyak kerenah, hati kita perlu jujur melayan dan senyum selalu, menjadi rahsia kejayaan,” katanya.

Berkat kegigihannya, Zainun berada di kalangan 10 Wakil Terbaik Avon selama tujuh tahun berturut-turut. Lebih menggembirakan, beliau berjaya mengubah status kehidupan keluarganya ke tahap lebih baik. Hari ini, Zainun memiliki tiga rumah dan kereta.

“Avon berjaya mengubah kehidupan kami sekeluarga. Kini pendapatan saya mencecah ke RM7,000 sebulan di samping pelbagai insentif yang dinikmati seperti berpeluang melancong ke luar negara antaranya di Asia dan Eropah,” katanya.

Biarpun berpendapatan lumayan, Zainun tetap berjimat cermat dan berhati-hati berbelanja. Malah kebanyakan hadiah pelancongan yang diterimanya jarang diambil, tetapi digantikan dengan wang tunai bagi membolehkan Zainun memperluaskan perniagaannya.

“Kemenangan kali ini membawa kami sekeluarga ke Switzerland. Bagaimanapun, saya memilih untuk tidak pergi dan menukarnya dengan wang tunai untuk dijadikan modal tambahan atau pusingan dalam perniagaan,” katanya.

Selain trofi Golden Circle Avon, Zainun turut menerima pelbagai hadiah lain seperti tiara, set barang kemas Habib Jewels, wang tunai RM 2,000, hamper Avon, plak pengiktirafan, selendang No 1 Negara dan sejambak bunga yang disampaikan Presiden Avon Malaysia, Thailand, Vietnam dan Indonesia, Mansoor Wan Abdullah.

Sementara itu, dua lagi wakil Avon turut menerima anugerah Wakil Terbaik Avon 2008 iaitu Hasni Hussain, tempat kedua dan tempat ketiga, Zaliha Mahmood. Masing-masing menerima set barang kemas Habib Jewels, wang tunai, hamper Avon, plak pengiktirafan dan sejambak bunga. Turut diraikan, 42 pemenang Anugerah Wakil Terbaik Nombor 1 Daerah dari seluruh Malaysia.

Mansoor berkata, anugerah Wakil Terbaik Avon 2008 adalah sebagai pengiktirafan Avon kepada jati diri wanita yang mencari peluang pendapatan dan mengejar impian masing-masing.

“Mereka berhak disanjung atas usaha yang gigih. Sambil mengejar impian, mereka menggembirakan jutaan pelanggan dengan memenuhi kehendak, kemahuan dan aspirasi mereka. Di sinilah letaknya kekuatan perniagaan Avon,” katanya.

Majlis penyampaian anugerah berkenaan turut menyaksikan pelancaran Program Golden Circle 2008 iaitu insentif utama diberikan kepada wakil Avon dalam bentuk pakej pelancongan ke Itali yang menjadi cabaran bagi 2008.

“Program Golden Circle membabitkan 11 ribu ahli yang berstatus tinggi bermatlamat meningkatkan jualan serta memberikan khidmat lebih baik kepada pelanggan. Tahun ini, mereka dicabar untuk merebut peluang ke Itali dengan mencapai jualan lebih tinggi,” katanya.

Di samping itu, bermula 1 April ini, Avon turut memperkenalkan peluang pendapatan baru dengan melancarkan Sistem Pemasaran Berbilang Tingkat dikenali sebagai Avon Sales Leadership Framework (ASLF).

“ASLF mengandungi empat peringkat iaitu Sales Leader (SL), Advance Sales Leader (ASL), Executive Sales Leader (ESL) dan Senior Executive Sales Leader (SESL). Lebih tinggi status seseorang, lebih besar pendapatan diperoleh. Ia seperti pelbagai peringkat, tetapi lebih mirip kepada sistem mentor yang mana ahli kecil dibimbing oleh mereka yang lebih besar melalui sistem tajaan. Ini membolehkan mereka yang masih lemah memperoleh pendapatan lebih tinggi. Di bawa sistem ini, seorang SL dapat membantu orang lain membina asas kejayaan,” katanya.