Home » » Graduan puas pulangan rock melon RM35,000

Graduan puas pulangan rock melon RM35,000

Written By kall on Friday 4 April 2008 | 16:34


SUDAH ramai di kalangan lepasan institusi pengajian tinggi menceburi bidang pertanian moden dan sebahagian besar mereka berjaya dengan meraih pendapatan yang tinggi seperti dibuktikan anak muda, Eriq Faisal Rusli, 28 tahun.

Graduan berkelulusan sarjana muda Sains Fizik Industri (kepujian) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu sanggup menceburi bidang yang lain daripada kelulusan akademiknya apabila mengusahakan tanaman tembikai jenis melon pukat atau lebih dikenali sebagai 'rock melon'.

Usaha itu dimulakannya pada 2005 dan kini, Eriq mampu tersenyum apabila meraih hasil pulangan lumayan sehingga mencecah RM35,000 bagi 0.4 hektar.

Kini bergelar pengurus EFR Enterprise, beliau mendapat tunjuk ajar daripada bapanya, Rusli Bahari, 56, yang bertindak selaku pegawai teknik di syarikat berkenaan.

Eriq berkata, tembikai jenis rock melon menjadi pilihan, walaupun proses penanamannya agak sukar kerana ia sejenis tanaman yang boleh membawa keuntungan lebih lumayan berbanding tanaman lain.

Beliau bercadang untuk meningkatkan pengeluaran rock melon dan yakin dapat melakukannya dengan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Selangor dalam bentuk khidmat dan nasihat.

Sikap anak dan bapa yang positif membolehkan mereka mengusahakan tapak tanaman secara sempurna dan penggunaan kaedah fertigasi memudahkan lagi proses pengawalan saliran air dan baja.

Secara ringkasnya, teknologi fertigasi ialah satu sistem nutrien bagi pertumbuhan tanaman. Nutrien itu dilarutkan di dalam air dan dibekalkan kepada tanaman melalui sistem pengairan titis.

Eriq berkata, rock melon mengambil masa 75 hari untuk membuahkan hasil dan sedia untuk dijual ke pasaran, manakala pengguna tempatan lebih gemar membeli buah itu dengan berat di antara 1.3 hingga 1.8 kilogram.

"Saya bersyukur kerana rock melon terus menerima permintaan yang tinggi di pasaran. Usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan Fama yang banyak memberi dorongan dan membantu dalam pelbagai segi," katanya.

Eriq bersama bapanya mula mengikuti latihan serta kursus pada 2005 sebelum mengadakan tanaman percubaan dan penyelidikan ke atas proses penanaman, setahun kemudian. Tahun lalu, mereka meneruskan usaha menanam rock melon dan mula mengutip hasil tahun ini.

Eriq berkata, tahap pengeluaran yang dibahagikan kepada tiga pusingan itu dijangka menghasilkan 12,000 kilogram sebulan.

Sementara itu, Pengarah Fama Selangor, Che Ghani Che Wan, berkata Fama memperkenalkan program ladang kontrak untuk menjamin pasaran dan meningkatkan pendapatan pengeluar, di samping memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti serta menepati kehendak pasaran.

"Fama membantu mereka yang ingin menceburi bidang pertanian dan menjadikannya sebagai suatu perniagaan supaya mendapat pulangan yang lebih baik dan memastikan kualiti produk mendapat kepuasan pengguna yang maksimum.

"Rock melon yang dihasilkan Rusli dan Eriq mendapat sambutan hangat di pasaran berikutan jaminan buah itu bebas daripada racun perosak, selain penggunaan baja organik bagi penyuburan tanah.

"Rusli seorang pengusaha yang memaparkan sikap yang harus dipuji dan saya berhasrat menjemputnya untuk memberikan ceramah kepada petani lain sebagai satu dorongan kepada mereka," katanya ketika ditemui di tapak tanaman rock melon di Pulau Indah, Klang baru-baru ini.

Setakat ini, ada 143 petani di Selangor yang menanam sayur-sayuran dan buah-buahan menyertai program ladang kontrak dengan keluasan tapak tanaman berjumlah 7,412 hektar.

Mereka yang ingin menyertai program itu boleh memohon dengan mendapatkan borang permohonan di semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti Fama dan Jabatan Pertanian.

Fama menyediakan perkhidmatan penggredan, pembungkusan, pelabelan, penjenamaan dan pemasaran yang teratur serta memberi kursus dan nasihat mengenai pertanian kepada peserta program ladang kontrak.

5 comments:

Unknown said...

salam..

apa kaitan graduan ni dgn blog awak ni ye? dia bukan jutawan pon..jauh lagi perjalanannya ke arah itu. saja nak tau.

Anonymous said...

teruknya perangai orang melayu..sentiasa negatif..contohnya eraerzarusli...ayat dahla kasar dan penuh dengan sifat dengki...pedulila orang nak post apa pun dalam blog,asalkan ianya berguna...sifat beginila yang banyak terdapat dalam masyarakat kita orang melayu..sifat melihat sesuatu hal dengan pandangan yang negatif terlebih dahulu..

yanmaneee said...

timberlands
air jordan
curry 6
goyard handbags
jordan shoes
supreme clothing
moncler coat
supreme hoodie
supreme clothing
supreme hoodie

Unknown said...

more info here replica louis vuitton hop over to here replica ysl more info here designer replica luggage

peshesm said...

go to this site replica ysl link web link this hyperlink dolabuy.co