Home » » Asiah manfaat potensi bidang ICT

Asiah manfaat potensi bidang ICT

Written By kall on Friday, 11 April 2008 | 15:56


Pengalaman sebagai pendidik dan sertai jualan langsung banyak membantu kejayaan hari ini

TAKUT dan tidak mahu belajar antara alasan paling kerap diberikan seseorang untuk terus menetap di tempat kerja sama, walaupun kadang-kala hati memberontak kebosanan dan seakan mahu lari daripada ikatan kerja.

Pengurus Pemasaran Wonderful Query Web (WQW), Asiah Samsi, 43 berkata, sebelum mengenali syarikat berkenaan beliau berkhidmat sebagai pendidik, tetapi akibat bebanan tugas, beliau memilih untuk beralih kepada dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).


“Saya dulu usah nak kata ICT, komputer pun bukanlah minat sangat, tetapi apabila terbabit dalam dunia ini kita menjadi minat. Mengajar orang ramai mendapat pendapatan menerusi laman web menjadikan kepuasan kepada diri saya kerana keuntungan diperoleh bukan hak individu sebaliknya dikongsi bersama-sama.

“Saya memilih bidang ini kerana yakin ia mempunyai potensi besar untuk dibangunkan. Bayangkan hari ini semua orang memiliki telefon dan menerima maklumat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) bukan lagi sesuatu yang asing. Ia sebaliknya memudahkan kerja kerana hari ini untuk menyemak saman, tempat mengundi dan sebagainya boleh di lakukan menerusi SMS saja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mobile Income Resources Sdn Bhd (MIRSB) ditubuhkan tahun lalu dan mencipta ramai jutawan teknologi maklumat informasi sejak 1997. Antara produk ditawarkan termasuklah Mobile Income; SMS Work; Call Center dan Monsun yang menyediakan kemudahan menyediakan laman web, pengiklanan menerusi sistem pesanan ringkas dan sebagainya.

Syarikat berkenaan mengambil alih sepenuhnya dalam kajian dan pembangunan aplikasi. Justeru itu, ia melantik WQW sebagai syarikat yang menjalankan pemasaran dan latihan bagi pihak Business Integrated Resources Sdn Bhd (BIR) dengan melatih semua usahawan Mobile Income.

Asiah berkata, WQW terdiri berdiri dari satu landasan yang tetap dengan matlamat utama untuk memperkasakan ekonomi dan membantu rakyat Malaysia menjadi usahawan pemasar ICT yang terunggul di dunia. Dengan penyediaan pelbagai pakej dan sistem latihan bersepadu pihaknya yakin matlamat kerajaan akan menjadi kenyataan.

“Kami ingin menjadikan rakyat negara ini sebuah bangsa yang celik ICT terutama graduan lepasan ijazah selain memberikan pengetahuan penerokaan pasaran di zon maya tanpa sempadan. Cara ini juga sebenarnya mampu memberi peluang kepada Bumiputera meningkatkan taraf ekonomi, dalam gagasan menuju 2020,” katanya.

Tegasnya, apa yang ditawarkan sukar diterangkan menerusi kata-kata sebaliknya lebih mudah sekiranya individu berminat datang ke pusatnya kerana tersedia latihan dan modul yang akan diajar kepada orang ramai pada hari yang sudah ditetapkan.

“Sebagai contoh sistem SMS Work, ia adalah satu sistem hebahan SMS menggunakan internet sebagai platform. Sistem ini membolehkan maklumat dihantar melalui SMS dengan tepat, pantas, mudah, terkini dan efektif. Sistem ini membolehkan hebahan kepada 50,000 nombor telefon dalam satu-satu masa dengan kos RM0.10 satu nombor. Anda fikir syarikat telekomunikasi seperti Celcom dan sebagainya, akan menghantar SMS kepada anda seorang? Mereka hantar kepada jutaan pelanggan, dan begitulah ia bekerja.

“Menerusi sistem seperti ini membantu anda menghebahkan iklan atau maklumat kepada orang ramai dan saya percaya akan datang cara ini semakin popular. Sekiranya anda merasa sistem ini mengganggu pengguna, ia meleset sama sekali kerana bagaimana sekiranya kereta anda diletakkan risalah dan peti surat anda dipenuhi pelbagai katalog? Tidakkah cara ini satu gangguan dan menyebabkan sampah merata-rata bila ia ditiup angin?,” katanya.

Sementara itu, katanya, WQW menghasilkan aplikasi mudah membina laman web dan sesiapa saja boleh membinanya, namun memerlukan bayaran tertentu.

Katanya, mencipta laman web antara satu lagi cara memasarkan produk yang berkesan, malah boleh menjangkau pasaran ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kita sebenarnya memiliki banyak barangan yang boleh dipasarkan, tetapi terbiar begitu saja kerana masih ramai usahawan yang bukan saja kurang arif malah mengambil sambil lewa kemajuan teknologi hari ini.

“Saya amat berbesar hati sekiranya ada pihak yang bermurah hati membantu wanita, khususnya ibu tunggal yang mempunyai perniagaan, tetapi tidak mahu dipasarkan kerana kami bersedia membantu membina laman web untuk mereka memasarkan produk mereka,” katanya.

Bekerja dengan suami Norhafizi Mohd Nasir memberikan keseronokan kepada dirinya. Katanya suaminya dulu memiliki gaji lumayan tetapi disebabkan bebanan tugas menjadikan beliau lebih berminat bekerja sendiri, tetapi pada masa sama dapat membantu orang lain untuk memperoleh pendapatan.

“Kami berdua pekerja dan pada masa sama bos. Walaupun boleh melakukan tugas secara bebas, tetapi disiplin perlu ada untuk kita mencapai kejayaan. Sebelum menceburi bidang ini sudah puluhan jualan langsung saya ceburi, tetapi ada kelemahan yang menyebabkan saya perlu mengatakan ‘oh cukup setakat ini’ walaupun ketika itu mampu menjana pendapatan lebih lima angka.

“Saya tidak katakan pengalaman lalu seperti menyertai jualan langsung tidak membantu sebaliknya ia adalah tiket untuk saya maju dalam bidang diceburi hari ini. Terus terang saya katakan kerjaya pendidik yang saya ceburi sebelum ini menyebabkan saya tidak terlalu arif mengenai IT tetapi ia menjadikan saya lebih dihormati.

“Bakat dalam jualan langsung menyebabkan saya bekerja di sini kerana bakat saya yang boleh menarik minat orang ramai menceburi bidang ini. Pengalaman adalah ibu segala ilmu dan pengajaran. Saya mempunyai prinsip hendak seribu 000 daya, dengan satu alasan saja ia mampu menyebabkan kegagalan,” katanya tegas dan menyarankan pihak berminat menghubungi WQW di talian 03-4105 3848/03-4106 3848.

INFO

Keuntungan SMS


  • Akademi Fantasia - Jumlah kutipan selama sembilan minggu mencecah RM13 juta

  • Kes penderaan pembantu rumah Nirmala Bonat - Selama 35 minit ke udara di Buletin Utama berjaya mengumpil sejumlah RM1.7 juta (Celcom saja)

  • Syarikat menjual nada dering - Berjaya mengutip jutaan ringgit setahun hingga berjaya di senaraikan di Bursa Malaysia (Mesdaq)

  • sumber :bharian.com.my

    1 comments:

    Anonymous said...

    Kenyataan mengenai boleh menjadi Jutawan melalui mobile income adalah tidak benar sama-sekali. Syarikat saya adalah merupakan syarikat yang mengendalikan SMS BU Utama. Ianya bukan syarikat Mobile Income. Syarikat yang mengendalikan AF pun bukan Mobil Income.

    Tak sampai pun 1,000 untuk SMS ke BU seperti yang dinyatakan.

    Jika nak mencari keuntungan tu janganlah dengan cara menipu usahawan.