Home » » Anita diperlekeh jual laksa RM7

Anita diperlekeh jual laksa RM7

Written By kall on Friday, 2 May 2008 | 15:59


pa yang saya kecapi hari ini tidak semudah seperti melihatnya dengan mata kasar, sebaliknya terbina melalui air mata dan peluh sendiri.

“Sama seperti orang lain saya terpaksa melalui satu fasa ke satu fasa, bertatih sebelum benar-benar sampai ke tahap sekarang.’’

Begitu pengakuan jujur Pengarah Urusan Sierra Circle Sdn. Bhd, yang juga pemilik rangkaian restoran Laksa Shack, Anita Ali, 44, ketika berkongsi cerita tentang pengalaman jatuh bangun dalam dunia perniagaan makanan dan minuman sejak sedekad lalu.

Beliau tersenarai antara wanita bumiputera yang gigih membangunkan perniagaan sendiri tanpa bergantung kepada pinjaman mana-mana bank.

Berkat kesungguhan dan tidak kenal putus asa, beliau yang bermula dari bawah sebagai penjaja makanan pada tahun 1989, kini berjaya membina empayar sendiri dalam tempoh sedekad.

Selain berkonsepkan perniagaan di pasar raya, kejayaan Laksa Shack untuk berada di pusat beli-belah terkenal seperti KLCC dan One Utama, antara pencapaian yang boleh dibanggakan tambahan pula milik orang Melayu.

Sehingga ke hari ini, Laksa Shack mempunyai kira-kira 20 buah rangkaian, termasuk tiga francais dan menjelang penghujung tahun ini syarikat mensasarkan kira-kira 25 rangkaian di buka seluruh negara.

Ketika bertemu beliau baru-baru ini, wanita yang cukup murah dengan senyuman ini secara jujur mengakui, pernah mengalami kegagalan dalam perniagaan, tetapi itu tidak pernah menghalangnya kembali membina empayar seperti yang ada sekarang.

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini, kepada sesiapa sahaja terutama wanita, yang ingin menceburi apa juga perniagaan perlu kental dan tabah mengharungi cabaran.

“Tanyalah kepada orang -orang yang berjaya, semua mereka pernah menghadapi kegagalan. Kegagalan itulah yang mengajar mereka, termasuk saya,” ujarnya yang mengakui cabaran tersebut dijadikan pengalaman untuk mematangkan diri.

Menceritakan pengalaman lampau, Anita memberitahu, walaupun memiliki restoran, beliau tidak mewarisi kepakaran memasak, sebaliknya, keazaman dan kesungguhan menyebabkan beliau tidak malu masuk dari satu kedai ke satu kedai semata-mata mahu menghafal resipi.

“ Saya tidak membelinya kerana tidak mampu. Resipi yang saya hafal saya buat dan ada yang diubah suai daripada resipi asal, selain saya cipta resipi sendiri,’’ ceritanya.

Mungkin kerana kehebatan rasa laksanya, penulis bertanya, tidak takutkah resipi dicuri? Anita tersenyum sambil berkata; “Saya percaya kepada rezeki yang diberi Allah Taala, setiap apa yang diberi-Nya, kita harus kongsi bersama.

“Pada saya kita jangan tamak kerana kalau hanya sebab resipi orang boleh kaya, ramailah orang sudah buka kedai. Sebenarnya, membuka restoran bukan sekadar menjual makanan itu, tetapi ia juga melibatkan pengurusan makanan dari sudut kebersihan, keramahan kakitangan dan kecekapan perkhidmatan.”

Mengimbas kembali saat awal Laksa Shack diperkenalkan, kata Anita, ia adalah rentetan segala kepayahan dan keazamannya untuk berjaya dalam bidang yang diminati.

Mungkin kerana sudah biasa dengan pelbagai pengalaman yang perit, Anita sedikit tidak gentar waktu memulakan Laksa Shack pada 1997, yang kebetulan pada ketika itu negara mengalami kemelesetan ekonomi.

Kata Anita, ketika mahu memulakan Laksa Shack, bukan seorang dua yang memperlekehkan hajatnya mahu menjual laksa di pusat beli belah dengan harga RM7, kerana sedangkan dengan harga RM3 sahaja mereka boleh membelinya di tepi jalan.

Tetapi Anita tidak peduli kerana dia melihat potensi laksa untuk diterima apatah lagi ia bukan menu yang terhad kepada bangsa tertentu sahaja.

“Pada saya, jika kita sanggup membayar RM20 hingga RM50 untuk sepinggan makanan barat tanpa merungut, kenapa tidak boleh membayar RM7 untuk makanan tempatan.

“Apa bezanya makanan barat dengan makanan tempatan,’’ ujarnya yang mengakui sekurang-kurangnya dapat mengubah persepsi masyarakat yang selalu memandang sebelah mata pada makanan tempatan.

Malah pembukaan Restoran Opah di Sunway Piramid, Petaling Jaya dan cawangan kedua bakal dibuka di Seberang Prai, antara inisiatif beliau bagi memberi pilihan terbaik bagi penggemar makanan tradisional Melayu atau nusantara.

Secara jujur juga Anita memberitahu, ketika memulakan perniagaan tersebut beliau tidak ada kewangan yang mencukupi, sekadar mengharapkan wang simpanan selain berbekal semangat kental.

Anita bertuah kerana selain mempunyai kakitangan yang sentiasa memberinya sokongan, para pembekal juga banyak membantu melalui pembelian barangan atau perkhidmatan tanpa perlu bayaran pendahuluan.

Oleh kerana perniagaan yang dijalankan merupakan aliran tunai, beliau berupaya membayar balik hutang mereka.

“Alhamdulilah, saya amat bersyukur sepanjang menguruskan perniagaan ini saya tidak pernah bertemu dengan individu yang cuba menipu atau mengambil kesempatan terhadap saya.

“Saya percaya kepada hati dan jiwa yang bersih. Tidak perlu walau setitik rasa dengki, tamak atau apa sahaja perasaan negatif dalam diri kita,’’ ujarnya.

Ditanya sudahkah berpuas hati dengan pencapaiannya sekarang, sambil melemparkan senyuman dan menarik nafas dalam-dalam, Anita berkata; “Saya bersyukur dengan apa yang telah saya peroleh hari ini. Sehingga kini saya belum lagi dapat menyumbang yang terbaik kepada masyarakat dan saya mendoakan agar ia terlaksana.”

Beliau memberitahu, sifat survivor dalam dirinya antara yang memberi kelebihan kepadanya menyesuaikan diri dalam mana-mana persekitaran.

Katanya, setiap orang perlu mempunyai keinginan kerana sifat itu membuatkan manusia berubah menjadi lebih baik.

“Dalam hidup ini kita tidak seharusnya hanya fokus kepada benda yang kita kehendaki sahaja, sebaliknya, apa yang tidak kita kehendaki juga.

“Jika kita hanya memikirkan perkara yang diinginkan sahaja, bagaimanakah jika satu hari kita dihadapkan dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang tidak pernah sekali terlintas dalam fikiran kita. Jadi renungkanlah,’’ ujarnya.

Menarik tentang Laksa Shack

lMensasarkan kira-kira 25 rangkaian Laksa Shack dibuka seluruh negara pada penghujung 2008

lMembuka peluang skim francais sejak Jun 2007, terkini pada 22 April ini seminar francais akan diadakan di Bank SME bermula jam 8.30 pagi.

lPerkhidmatan penghantaran dari ke rumah telah dimulakan sejak pertengahan Mac lalu di Petaling Jaya dan segi tiga Kuala Lumpur.

lTurut menyediakan perkhidmatan pulut berhias untuk majlis seperti majlis hari jadi, perkahwinan dan sebagainya.

lSebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 03 56325325.

lAntara yang menarik asam laksa, laksa Johor dan kari laksa.