Home » » Bina rumah RM100,000 hasil jual salak

Bina rumah RM100,000 hasil jual salak

Written By kall on Friday 16 May 2008 | 23:10


SUATU ketika dulu, untuk menikmati keenakan buah salak yang kelat manis atau sudah dijeruk, orang ramai sering memesan kepada rakan mereka yang berkunjung ke Indonesia.

Justeru, bukan suatu yang menghairankan, apabila buah salak dijual dalam pasaran pada harga tinggi kerana perlu diimport ke negara ini, ekoran tidak ramai penduduk tempatan menanamnya.

Permintaan tinggi terhadap buah salak mendorong seorang suri rumah, Zainab Kadir, 68, mengambil risiko menanam pokok salak di kawasan tanah seluas dua hektar berhampiran rumahnya di Kampung Seterpa dekat Peringat, Kota Bharu, sejak 15 tahun lalu.


Usaha itu bermula dengan tujuh anak benih salak yang dibeli sebagai ole-ole ketika melancong ke Sabah. Walaupun mulanya pokok salak dianggap asing oleh penduduk setempat, usahanya ternyata tidak sia-sia apabila tanaman itu berjaya dikembangkan sehingga mampu memberi pulangan lumayan kepada keluarganya.

Zainab berkata, aspek penjagaan pokok salak bukan kerja rumit, kerana yang penting tanaman itu perlu dibaja mengikut jadual dan beliau hanya menggunakan baja urea serta organik.

Beliau berkata, anak salak yang disemai mengambil masa tiga tahun untuk mengeluarkan hasil pertama, tetapi bagi memastikan hasil yang baik, beliau melakukan sendiri proses pendebungaan terhadap bunga salak betina.


"Apabila pokok salak mula berbunga, saya melakukan sendiri proses pendebungaan, supaya ia sekata tanpa mengharapkan ejen pendebungaan lain seperti serangga atau tiupan angin.

"Biasanya pokok salak ditanam pada jarak 2.5 meter, tetapi jarak itu juga bergantung kepada keluasan tanah dan salak mengeluarkan bunganya sekitar Disember, sebelum buahnya boleh dipetik enam bulan kemudian," katanya.

Zainab berkata, pada peringkat awal ketika tujuh anak salak ditanamnya itu berbuah, beliau tidak menjual buah salak segar, sebaliknya buah matang ketika itu disemai untuk penghasilan anak benih bagi memenuhi tanahnya serta permintaan.

"Anak benih salak pada masa itu mampu dijual sehingga RM7 sepokok dan saya pernah menghasilkan lebih 10,000 anak benih dalam satu masa," katanya.

Beliau berkata, anak benih dibekalkan ke ladang yang mengusahakan tanaman itu secara komersial menerusi pemborong dan selepas permintaan anak benih dipenuhi, barulah buah salak segar dijual kepada pemborong dari Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah dan Thailand.

Dalam semusim, setiap pokok salak mampu mengeluarkan sehingga 50 kilogram buah dengan setiap tandan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga kilogram buah yang kini dijual borong pada harga RM3 hingga RM5 berbanding RM10 sekilogram ketika buah itu masih kurang di pasaran tempatan.

"Ketika harga tinggi dulu, saya mampu memperoleh sehingga RM10,000 semusim hasil jualan salak segar, tetapi kini merosot kepada RM3,000 hingga RM4,000 semusim kerana harga rendah, selain semakin ramai orang menanam pokok salak.

"Namun, saya tetap bangga terhadap usaha yang dicetuskan ini kerana hasil salak membolehkan saya membina sebuah rumah bernilai lebih RM100,000 lebih lima tahun lalu serta membiayai pengajian seorang anak di kolej swasta," katanya.

Zainab berkata, kejayaannya mengusahakan tanaman salak turut mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada pegawai Mardi yang turut membawanya melawat ladang salak komersial.

Kegigihan warga emas itu merintis tanaman salak membantu Kampung Seterpa muncul pemenang kategori Ilham Desa dan Dekorasi Gerakan Desa Wawasan (GDW) Zon Timur Selatan, tahun lalu.


0 comments: