Home » » Kegigihan dua beradik besarkan perniagaan bapa

Kegigihan dua beradik besarkan perniagaan bapa

Written By kall on Friday, 2 May 2008 | 23:56


Azlinda, Azlizan bangunkan Nordin Batik dan hotel bajet Paloh Inn sehingga menjadi syarikat ulung di kelantan KEPAYAHAN hidup orang tua menjual batik dengan berbasikal ke sekeliling kampung bagi mencari sesuap nasi, menjadikan dua beradik, Azlinda Nordin, 32, dan adiknya, Azlizan, 28, bertekad untuk meneruskan perusahaan batik dan hotel bajet milik keluarga. Walaupun sudah berjaya dalam perusahaan batik, Azlinda yang juga Pengurus Pameran Nordin Batik di Jalan Pintu Geng, Kota Bharu, Kelantan itu tidak sesekali melupakan belia sekitar Kota Bharu terutama di kawasan Pintu Geng dan Kampung Sireh dengan menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Ketika ini, 50 pekerja di bawah seliaannya adalah belia lepasan sekolah yang mempunyai minat untuk mendalami dan mencari pengalaman dalam perusahaan batik termasuk mencanting batik dan menghasilkan lakaran seni batik.
"Ramai belia di sekitar kawasan ini tidak bekerja selepas tamat persekolahan. Jadi, kami menawarkan mereka pekerjaan terutama belia wanita untuk menjadi pelukis batik. Selain dapat meningkatkan taraf hidup, ia juga boleh menambah ilmu mereka dalam bidang perusahaan batik," kata ibu kepada seorang cahaya mata itu.
Sebagai anak sulong yang dilahirkan dalam keluarga pembuat batik yang diwarisi sejak zaman datuknya, Mahmood Mohamad, Azlinda berkata, kehidupan zaman kanak-kanaknya mungkin berbeza dengan kanak-kanak lain.
Di kala kanak-kanak di bandar ke tuisyen dihantar ibu bapa atau bermain di padang permainan, beliau bersama adik-adiknya, bermain dengan warna dan kain. "Celik mata saja, bapa, Nordin Mohamad, 59, sudah membuat batik. Banyak masa saya dihabiskan di bangsal batik bersama pekerja bapa. Ketika itu, keadaan dalam bangsal tidak seperti kilang batik sekarang, panas dan bau ubat kain yang kurang menyenangkan.
"Pekerja ketika itu, mencetak batik menggunakan alat cetak yang diperbuat dari besi. Tiada lagi batik sutera tulisan tangan yang hanya diperkenalkan sekitar 1990," katanya. Mengagumi semangat juang bapa tanpa sebarang kelulusan, tetapi berjaya sebagai pengusaha batik negara, wanita ayu itu berpegang kepada nasihat bapanya supaya tidak menghabiskan modal dengan membeli barang yang tidak berfaedah dan sentiasa beringat jika mahu berjaya.

"Pada zaman perniagaan batik merudum sekitar 1993, saya menangis melihat papa sentiasa susah hati kerana batik yang dibuat tidak laku akibat permintaan menurun dan kemuncaknya kemelesetan ekonomi negara setahun dua selepas itu. "Malah, tiga perempat pembuat batik di Kelantan turut gulung tikar akibat terpaksa menanggung kerugian. Selama tujuh tahun perniagaan kami jatuh sehingga ada orang bertanya benarkah masih ada orang membuat batik ketika itu.
"Bagaimanapun, Alhamdulillah setahun dua selepas itu, batik laris seperti pisang goreng kerana kain sutera dan penggunaan teknik lukis tangan diperkenalkan, tetapi setiap perniagaan pasti ada pasang surutnya," katanya. Katanya, industri batik di negeri Cik Siti Wan Kembang itu mula bersinar semula selepas usaha yang dibuat oleh Allahyarhamah Datin Seri Endon Mahmood mempromosikan secara besar-besaran hasil seni berkenaan sehingga berjaya mengangkat semula martabat batik negara, sekali gus turut membantu mengubah nasib pengusaha batik di Pantai Timur.
Wanita yang berkelulusan Sarjana Muda Pereka Tekstil pengkhususan dalam Percetakan Batik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata, beliau tetap memegang prinsip melayan pelanggan dengan baik walaupun tidak terlepas daripada pelanggan menipu dan tidak membayar batik yang sudah diambil.
"Pernah juga ada pelanggan yang sering berurusan dengan kami mengambil kain, tetapi tidak bayar sampai sekarang. Kita percaya kerana ingatkan dia jujur, tetapi tak sangka pula macam ini jadinya. Tetapi inilah dikatakan sebahagian asam garam perniagaan," katanya. Bagi Azlizan pula yang diberikan tanggungjawab menguruskan hotel bajet Paloh Inn yang bertempat di bawah Pusat Pameran Nordin Batik, di kala usia yang masih muda, sentiasa menjadikan bapa mereka sebagai mentor. "Papa selalu berpesan sentiasa maniskan muka apabila berdepan dengan pelanggan walaupun mereka silap dan cerewet.
Walaupun saya diberi kepercayaan penuh menguruskan bajet hotel ini, nasihat dan tunjuk ajar papa sentiasa diberi keutamaan," katanya. Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, memulakan perniagaan bajet hotel ketika berusia 23 tahun tanpa sebarang pengalaman, beliau tidak malu meminta tunjuk ajar daripada pekerja bawahannya yang mempunyai pengalaman dalam bidang perhotelan.
"Saya bersyukur kerana mempunyai pekerja yang berpengalaman. Saya tidak malu meminta tunjuk ajar seelok belok dalam bidang perhotelan ini. Selain itu, saya turut mengikuti kursus yang dianjurkan Kementerian Pelancongan untuk pengusaha hotel bajet dalam usaha menambah ilmu," katanya. Katanya, menguruskan hotel yang mempunyai 13 bilik dan satu bilik seminar serta kafe turut menuntut masanya sepanjang hari.
Justeru, beliau turut membawa kedua anaknya yang berusia dua dan empat tahun bersama pengasuh ke tempat kerja. "Saya tidak mahu berpisah lama dengan anak-anak. Jadi, saya sediakan satu bilik di hotel ini untuk mereka bermain dan rehat sambil dijaga pengasuh," katanya yang turut bercita-cita untuk menambah bilik hotelnya dengan membina bangunan tambahan

0 comments: