Home » » Suhaila Buka Kedai Spare Part Kenderaan

Suhaila Buka Kedai Spare Part Kenderaan

Written By kall on Friday, 9 May 2008 | 09:48


PENGALAMAN hampir 10 tahun terbabit dalam bidang alat ganti kenderaan sehingga menjadi pakar pelbagai alat ganti kenderaan, mendorong Suhaila Mahmud, 35, membuka sendiri perniagaan pengedaran alat ganti kenderaan di Tanjung Agas, Muar.

Daya Mas Maju Sdn Bhd yang dibuka pada 1 Disember 2006 itu menjadi bukti bahawa bidang automatif bukan lagi hak milik sepenuhnya golongan lelaki apabila Suhaila yang lebih dikenali sebagai Ella, menjadi wanita tunggal dan Bumiputera pertama yang membuka perniagaan itu di daerah ini.

Bagi mereka yang mengenali ibu kepada tiga anak itu dan hanya mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu, pastinya tidak terkejut dengan keputusan Suhaila untuk membuka perniagaan dalam bidang itu kerana sejak remaja lagi beliau sebenarnya menunjukkan minat mendalam terhadap bidang automotif.


Suhaila yang berasal dari Kampung Baru, Kluang, pada mulanya mengutip pengalaman dengan bekerja di sebuah kedai menjual alat ganti kenderaan di Batu Pahat selepas menamatkan pelajaran di tingkat lima.

“Saya bermula daripada bawah iaitu hanya membantu mengira dan menyusun stok alat ganti sehinggalah saya mengenali pelbagai peralatan ganti kenderaan termasuk jenis minyak mengikut gred dan pelbagai lagi alat ganti,” katanya.

Suhaila kemudian bekerja di sebuah kedai alat ganti di Melaka apabila beliau berpindah ke Muar selepas berkahwin kerana mengikut suaminya, Firdaus Abdullah, 38, yang mempunyai perniagaan peralatan tangki air kenderaan.


Pendedahan dalam bidang automotif menyebabkan Suhaila menanam impian untuk memiliki kedai alat ganti sendiri dan akhirnya melalui duit simpanan bersama suaminya beliau nekad membuka kedai alat ganti dengan modal permulaan M300,000.

“Sebagai usahawan wanita, pada mulanya ramai yang kurang yakin sama ada saya tahu mengenai kenderaan dan jenis alat ganti dan apabila menemui pelanggan saya sedar mereka was was terhadap kemampuan saya,” katanya.

Antara cabaran terbesar beliau hadapi ialah untuk bersaing dengan syarikat penjual alat ganti lain yang sudah lama bertapak sejak berpuluh tahun lalu berbanding dengan syarikatnya yang baru mula bertatih.

Suhaila mengakui bahawa tahun pertama operasi syarikatnya itu adalah peringkat paling sukar sehingga menyebabkan beliau sering termenung memikirkan langkah paling tepat bagi memastikan perniagaannya terus maju.

“Namun hasil pengalaman saya termasuk hubungan baik dengan pengedar ala ganti, akhirnya semua cabaran itu dapat diatasi dan kini saya boleh menarik nafas lega kerana mempunyai pelanggan tetap sendiri termasuk bengkel jabatan kerajaan, syarikat swasta dan bengkel individu.

“Saya bertuah kerana terbabit dalam bidang yang saya minati dan pengetahuan terhadap alat ganti kenderaan melancarkan lagi urusan syarikat,” katanya.

Katanya, melalui promosi daripada mulut ke mulut beliau dan perkhidmatan terbaik yang diberikan kepada pelanggan menjadikan syarikatnya terus mendapat tempat di kalangan pelanggan dan pengusaha bengkel.

Beliau berkata, ketika awal pembukaan kedainya itu, beliau hanya mempunyai seorang pembantu, tetapi kini beliau memiliki empat kakitangan tetap yang terdiri daripada pelbagai kaum, selain beliau sendiri yang memberikan tumpuan penuh kepada syarikat berkenaan.

Selain menjadi pengedar alat ganti kenderaan, Suhaila juga memiliki bengkel membaiki kenderaan sendiri yang terletak di Jalan Bakri.

“Walaupun selepas menjadi `tauke’ kita tidak boleh goyang kaki sebaliknya perlu berusaha lebih kuat lagi dan biasanya saya menjadi orang pertama yang sampai ke kedai sebelum kakitangan saya yang lain.

“Janganlah cakap saya sudah berjaya dalam bidang ini kerana sebenarnya saya masih lagi berusaha untuk terus berjaya,” katanya merendah diri.

Suhaila turut bersyukur dan berterima kasih kepada sokongan suami dan keluarganya yang menjadikan beliau mampu bertapak dalam bidang itu

1 comments:

Jafree Jani said...

ada x contact number puan suhaila