Home » » 3 ibu Usahawan Internet

3 ibu Usahawan Internet

Written By kall on Tuesday, 13 May 2008 | 12:58


Langkah berani buat urusan di alam maya jalan penyelesaian urus rumah tangga sambil bekerja di rumah

BUKU yang mengundang pelbagai kontroversi, The Feminine Mistake: Are We Giving Up Too Much? tulisan Leslie Bennetts, menyatakan sekiranya wanita berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga, tidak mendatangkan banyak kebaikan sama ada kepada dirinya serta ekonomi keluarga.

Hujahnya, pergantungan terhadap kewangan suami meletakkan wanita dalam posisi tidak kebal terutama dengan kadar perceraian yang tinggi dan jangka hayat wanita lebih lama berbanding lelaki. Justeru, bagaimanakah keadaannya untuk wanita menumpukan perhatian kepada keluarga, seterusnya menyumbang kepada ekonomi keluarga?


Syukur kepada kemajuan teknologi maklumat kerana menerusi kerja ditawarkan menerusi maya, mampu memberikan sumber pendapatan kepada banyak orang. Tanpa pekerja dan kedai, perniagaan di internet menjanjikan imbuhan tinggi, seterusnya mereka digelar jutawan senyap.

Tiga wanita profesional, Yazmin Alyasak, 26; Wei Ling, 31 dan Gan Chwee Yng, 30 membuktikan berhenti kerja dengan melakukan aktiviti mendatangkan pendapatan seperti bekerja dari rumah, mampu menjana pendapatan lumayan, sekiranya dibandingkan dengan jumlah masa yang diperuntukkan bersama keluarga.

Ibu muda dua anak berusia tiga tahun dan lapan bulan ini, menyertai perniagaan secara internet menerusi e-Bay sejak dua tahun lalu. Beliau mengambil keputusan berhenti kerja daripada jawatan kanan sebuah syarikat telekomunikasi semata-mata menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.


“Walaupun pada hakikatnya saya tidak berhenti kerja dan memiliki majikan, saya kini adalah bos dan pekerja kepada ‘kedai’ yang saya uruskan ini, bermakna saya tidak goyang kaki duduk di rumah. Sebaliknya mempunyai lebih masa untuk keluarga dan perniagaan ini. Saya menggelarkan diri saya ‘super mom’ kerana mampu menjalankan perniagaan sebegini, yang tidak pernah saya sangkakan sebelum ini.

“Pengalaman pertama menyertai perniagaan di internet dengan menjual baju suami yang sudah tidak digunakan lagi. Seronok dengan pendapatan menggalakkan serta memikirkan tumpuan dapat diberikan sepenuhnya kepada anak-anak menjadikan saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Perniagaan internet yang dijalankan menerusi internet seperti e-Bay dikatakan berpotensi untuk mendapat keuntungan tinggi. Dengan jumlah pelanggan kira-kira 278 juta, ia mampu memberi pulangan tinggi, apatah lagi produk dijual mampu menemui pelanggan di mana anda ingin pasarkan.

Selain Yazmin, Wei dan Gan, laman berkenaan turut melahirkan peniaga yang mampu meraih pendapatan mencegah lima angka dalam tempoh singkat, dengan menjual pelbagai produk yang anda ingini.

Yasmin kini cenderung menjual buku dan bahan menarik untuk dijadikan koleksi di eBay.com.my. di United Kingdom (UK), Australia dan Kanada.

“Kini saya memulakan perniagaan eBay dan sasaran saya seterusnya ialah untuk mencapai eBay PowerSeller. Purata lapan jam seminggu saya peruntukkan depan komputer, menjawab soalan pelanggan atau menguruskan penghantaran. Menarik mengenai perniagaan ini ialah kadangkala apa yang kita jual itu ‘tidak masuk akal’, tetapi tetap mendapat sambutan.

“Saya ingat lagi ketika menghadiri beberapa majlis perkahwinan artis, cenderahati daripada pihak pengantin itu saya jual dengan menyatakan produk berkenaan daripada perkahwinan siapa dan siapa, tetapi nyata ia laku walaupun saya tidak memerlukan modal,” katanya.

Beliau turut memperoleh pendapatan berlipat kali ganda dengan menjual mainan dibeli jenama makanan segera yang boleh dibeli pada harga RM3, tetapi dijual pada harga 5 euro.

Pengalaman berbeza bagi Wei Ling yang mana dalam tempoh tiga bulan berniaga di internet saja mampu mencapai Silver PowerSeller. Mensasarkan Platinum PowerSeller dalam jangkamasa terdekat, beliau berkata menarik mengenai kerjayanya kini ialah beliau tidak dihambat waktu.

“Saya memulakan kerjaya dalam bidang ini kira-kira dua tahun lalu dengan menjual pakaian dalam saya yang terpakai, tetapi berjenama. Kala itu saya berada di Australia dan bingung memikirkan barang yang banyak untuk dibawa pulang ke tanah air. Tetapi tidak sangka bila saya mencuba di eBay banyak yang laris.

“Tetapi saya tidak terfikir untuk serius dalam bidang berkenaan, sehinggalah dalam tempoh kerjaya selama sebelas tahun, saya sudah bekerja di tujuh negara seperti UK, China dan Ireland, menjadikan saya sudah muak dengan kerja merantau. Atas sokongan daripada suami, saya mengambil keputusan berhenti kerja baru-baru ini kerana percubaan pertama dulu menunjukkan hasil memberangsangkan,” katanya.

Wei Ling menjurus kepada perniagaan pakaian untuk wanita bersaiz besar berjenama sendiri, Pretty Curve. Ia di jual hingga ke Amerika syarikat (AS) dan Kanada. Sungguhpun mampu meraih pendapatan tinggi menerusi perniagaan berkenaan, itu bukan impian paling besarnya. Wei sebaliknya, mencari kebebasan, dan ketenangan dalam kehidupan, lantaran kini hamil dan menunggu saat melahirkan.

Mabuk ketika hamil menjadi pemangkin utama Gan Chwee Yng menumpukan perhatian kepada perniagaan internet. Pengalaman menarik didapati apabila kali pertama menjual beg tangan berjenama pada harga lebih murah di laman web membolehkan beliau meraih pendapatan yang tinggi.

“Abang ipar saya membeli barangan berjenama ketika jualan penghabisan stok di Los Angeles. Kemudian beliau menjualnya menerusi eBay Australia. Kagum dengan sambutan menggalakkan itu menjadi sumber inspirasi untuk saya turut serta. Ketika hamil saya memikirkan tempoh kerja yang panjang tidak memberikan saya keseronokan.

“Saya inginkan kerja yang tidak memerlukan saya pening kepala, merentasi deadline dan menerjah kesesakan lalu lintas, lantas memikirkan inilah pekerjaan paling baik untuk saya kerana dapat memberikan lebih banyak masa untuk Wooi Hen yang kini berusia setahun,” katanya yang memanfaatkan kira-kira dua jam sehari untuk melihat e-mel, timbal balas dan sebarang persoalan mengenai produk dijualnya serta mengendalikan urusan penghantaran.

Katanya, untuk mengetahui mengenai perniagaan berkenaan, beliau juga melakukan penyelidikan sendiri di internet dan membaca banyak artikel berhubung perniagaan sebegitu. Atas nasihat dan dorongan keluarga, beliau memulakan perniagaan pada Oktober tahun lalu.

Benar kata bidalan, ulat dalam batu pun boleh hidup, inikan manusia yang memiliki akal fikiran untuk mencari jalan memburu kesejahteraan yang dicari apabila membina keluarga, tetapi pada masa sama ingin memastikan anak membesar depan mata. Di mana ada usaha di situ ada jalan.

INFO: Berniaga secara maya

  • Memulakan perniagaan maya, sudah pasti anda mesti memerlukan komputer dan internet.

  • Resipi untuk bertahan dalam perniagaan ini ialah anda mesti jujur dengan produk yang anda paparkan, dan patuh kepada masa penghantaran yang diminta pelanggan.

  • Pantas menjawab persoalan diutarakan pelanggan bagi memastikan imej 'kedai' dan nama berada dalam keadaan baik.

  • Untuk mengelakkan penipuan, pastikan pelanggan membuat pembayaran terlebih dulu sebelum anda menghantar barangan di pesan.


  • 2 comments:

    Felex Tan said...

    Now a day,moms involve in internet biz are getting more.They proved that internet biz is suitable for everyone as long as you find a niche market and use a correct method to market it.

    zool said...

    Betul tu..
    internet biz mampu menjana pendapatan..
    Kerja di rumah lebih tenang dari di pejabat ..
    Dapat mengikuti perkembangan anak2..
    masalah..
    Dapat mengurangkan perceraian kerana tumpuan kasih sayang yang lebih..