Home » » Rezeki urusniaga domain

Rezeki urusniaga domain

Written By kall on Saturday, 26 July 2008 | 08:00


Mahu mengetahui bagaimana menjana pendapatan menerusi domain? Ia antara bisnes menguntungkan zaman ini.

PAUTAN iklan juga menambahkan lagi pendapatan daripada domain.UMUM mengetahui domain sebagai nama unik yang diberikan sebagai pengganti deretan nombor atau lebih dikenali sebagai alamat IP bagi memudahkan pengguna mengakses sesebuah laman web tanpa perlu mengingati alamat IP sebenarnya.

Namun tahukah anda, domain kini juga dianggap sebagai satu bentuk pelaburan yang amat menguntungkan menandingi pelaburan hartanah yang telah wujud sejak sekian lama.

Usah terkejut sekiranya mendengar domain dibeli atau terjual dengan harga sehingga jutaan ringgit. Business.com merupakan salah satu domain yang pernah mencatat rekod jualan dengan harga yang mencecah jutaan ringgit. Namun, ramai yang masih tidak mengetahui selok belok perniagaan domain ini.

Secara umumnya, terdapat dua kaedah bagi mendapatkan domain. Kaedah pertama yang lazim ialah menerusi pembelian domain baru yang belum berdaftar. Seseorang perlu terlebih dahulu melakukan carian di laman web pendaftar domain seperti di Godaddy.com. Domain yang dibeli terus ini lazimnya lebih murah (kecuali domain khusus tertentu) berbanding domain yang pernah berdaftar. Kaedah ini tidak melibatkan sebarang proses perundingan dengan mana-mana pihak.

Kaedah kedua ialah dengan membeli secara terus daripada tuan punya domain. Ini dinamakan Domain Aftermarket, atau domain yang telah dibeli dan didaftarkan atas nama tuan punya tadi.

Biasanya kaedah ini melibatkan proses perundingan harga dengan pemilik domain. Harga domain yang dibeli terus boleh mencecah ribuan malah jutaan ringgit sekiranya domain tersebut mempunyai nilai-nilai tertentu yang berhubung kait dengan pihak yang ingin mendapatkannya. Demikian menurut Rohaizad Jumat, 29, yang telah lebih tiga tahun berkecimpung dalam aktiviti jual beli domain ini.

Jelas Rohaizad lagi, terdapat juga laman web yang menyediakan Aftermarket Sales atau himpunan domain yang telah didaftarkan tetapi ingin dijual oleh pemiliknya. Hanya gunakan fungsi carian untuk mencari domain yang dihajati. Jika berminat, anda boleh memasukkan harga tawaran dan seterusnya berbincang mengenai tawaran belian dengan pemilik domain tersebut.

Pernah bergelar seorang pengusaha makanan, beliau kini hanya menumpukan pada perniagaan berasaskan internet sahaja. Perniagaan domain yang kini menjadi salah satu sumber pendapatannya jelas membuahkan hasil apabila beberapa domain miliknya terjual dengan harga yang agak tinggi.

"Walaupun jualan domain saya belum mencecah nilai puluhan ribu ringgit, tetapi saya berpuas hati kerana ada di antara domain tersebut yang saya beli pada harga yang tidak sampai RM50, tetapi berjaya dijual hingga ratusan dolar Amerika," ujarnya lagi.

Faktor-faktor seperti panjang sesuatu domain dan popularitinya meletakkan nilai sesebuah domain itu. Selain itu, populariti sesebuah perkataan yang digunakan sebagai domain turut menentukan nilainya. Sebagai contoh; PC.com mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding PersonalComputer.com. Nilai domain juga boleh dianggarkan menerusi laman web penilai seperti SwiftAppraisal.com

Selain jual beli domain, terdapat beberapa cara lain berkaitan domain yang boleh menjana pendapatan. Pemilik domain boleh meletakkan domain di bawah program PPC Parking. Setiap kali pelawat mengklik pada pautan yang terdapat di laman ini, pemilik domain akan mendapat sedikit bayaran yang diperoleh daripada penaja iklan dalam laman tersebut. Antara Parking Provider yang popular adalah seperti Afternic.com, Fabulous.com dan Sedo.com.

Pemilik domain juga boleh mendaftar dengan program Affiliate Advertising dan memilih iklan yang boleh menarik perhatian pengunjung. Menerusi program ini, pemilik domain akan mendapat bayaran dalam bentuk komisen sekiranya ada di kalangan pengunjung yang membuat pembelian ketika berkunjung ke laman anda.

"Aktiviti jual beli domain memerlukan kesabaran dan ketelitian. Ada kalanya saya bersengkang mata sehingga jam tiga pagi semata-mata mencari domain yang sesuai untuk dimiliki," ujarnya yang turut merupakan pemilik IzadBlogNetwork.com, penyedia perkhidmatan laman web murah yang mampu dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Ditanya apakah wujud risiko dalam urusniaga ini, Rohaizad menjelaskan, "Sebenarnya apa juga bentuk perniagaan mempunyai risiko tersendiri. Apa yang penting ialah bagaimana kita menguruskan serta meminimakan risiko. Cara terbaik, berurusanlah dengan mereka yang terbukti rekod urusniaganya. Elakkan daripada berurusniaga dengan mereka yang baru sehari dua mendaftar tetapi terus membuat urusniaga."

Urusniaga domain turut boleh dilakukan di forum komuniti maya seperti di DNForum.com, Namepros.com, Digitalpoint.com dan Domainstate.com. Di sini, para pemilik dan golongan yang berminat untuk mendapatkan domain akan berbincang serta melakukan urusniaga secara terus dengan pemilik dan tidak melalui agen atau broker.

"Ada juga domain yang mempunyai nilai yang tinggi disebabkan ia mempunyai Page Rank atau kedudukan dalam internet. Page rank ditentukan oleh laman web yang melakukan pengindeksan terhadap populariti sesebuah laman web itu. Semakin popular, maka semakin tinggilah nilainya," tambah Rohaizad lagi.

Namun begitu, dalam keadaan tertentu, penilaian terhadap domain tidak boleh diukur melalui kaedah-kaedah di atas. Ini kebiasaannya berlaku apabila sesebuah domain itu benar-benar dikehendaki oleh sesebuah organisasi atau orang perseorangan atau end user. Harus diingat syarikat besar ataupun hartawan sanggup berbelanja besar demi memastikan domain yang mereka inginkan, lazimnya berkait rapat dengan mereka, diperolehi.
Sumber: Kosmo.com.my

0 comments: