Home » » Rezeki ATV

Rezeki ATV

Written By kall on Monday 7 July 2008 | 16:28


Hubungan pelanggan rahsia kejayaan Rohaidi

ARTIKEL yang dibacanya dalam sebuah majalah luar negara menimbulkan cita-cita Rohaidi Jaafar untuk mengedarkan kenderaan lasak (ATV), seperti pocket bike, buggy dan dirt bike di negara ini dengan matlamat mahu memperkenalkan sukan permotoran baru kepada rakyat Malaysia.

Berikutan itu, beliau mula membuat kajian dan selepas dua tahun, termasuk berulang alik ke China serta Australia bagi meninjau industri serta sukan itu, cita-citanya menjadi realiti.

Hari ini selepas lebih tiga tahun berusaha, Rohaidi Jaafar, 36, selaku Pengarah Urusan G-MotoSport Sdn Bhd, boleh berbangga kerana aktiviti sukan permotoran yang diperkenalkannya semakin mendapat perhatian khususnya di kalangan anak muda di negara ini.

Syarikatnya bukan saja mengimport kenderaan berkenaan, malah memasangnya. G-MotoSport kini sudah melantik 14 pengedar untuk memasarkan ATV yang dipasangnya, antaranya di Pulau Pinang, Kemaman, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan Melaka.

Dengan jualan kira-kira RM1 juta atau 100 unit kenderaan lasak itu dalam sebulan, ia membuktikan peningkatan minat dan pertumbuhan terhadap sukan berkenaan.

Rohaidi turut optimis mengembangkan lagi sukan permotoran mini itu yang masih dianggap baru dan memerlukan publisiti meluas.

Ketika ini ada beberapa litar lumba dan gelanggang permainan ATV dan dirt bike beroperasi di Melaka, Kuala Selangor serta Gombak yang menjadi tumpuan peminat sukan ini. Gelanggang di Melaka turut dikunjungi aktivis sukan itu dari Singapura.

"Sebenarnya kenderaan seperti ATV ini sama seperti motosikal dari segi enjinnya. Ia digunakan untuk aktiviti sukan dan utiliti. Cuma ia masih lagi baru di Malaysia berbanding negara lain seperti Amerika Syarikat, Eropah dan Australia.

"G-MotoSport adalah syarikat pemasaran dan pemasangan bagi rangkaian ATV, buggy, dirt bike dan pocket bike di negara ini. Segmen perniagaan kami lebih tertumpu kepada bidang sukan dan rekreasi tetapi kini mahu mengembangkannya kepada kegunaan sektor pertanian serta perladangan," kata anak kelahiran Pelabuhan Klang, Selangor ini ketika ditemui di pejabat G-MotoSport di Setia Alam, Shah Alam, baru-baru ini.

G-MotoSport adalah antara anak syarikat Kumpulan Gemilang diterajui Rohaidi yang diwujudkan pada 2005 susulan penubuhan Gemilang Auto Parts Sdn Bhd selepas memperoleh lesen sebagai pengimport tunggal, pengedar serta pengilang ATV di Malaysia.

Selain sukan permotoran, Rohaidi turut menerajui beberapa perniagaan termasuk logistik, pelaburan dan pembinaan yang boleh dikatakan antara nadi utama kepada Kumpulan Gemilang.

Rohaidi berkata, dalam menjalankan perniagaan, beliau sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa kunci utama kejayaan adalah mengekakkan hubungan baik, dengan pelanggan dan juga rakan niaga.

"Sehebat mana pun perniagaan kita tetapi jika tidak mempunyai hubungan yang baik dengan pelanggan dan rakan niaga, kita tidak akan menjadi apa-apa," kata anak keenam daripada 10 beradik ini.

Beliau menjelaskan, hubungan baik dengan pelanggan meliputi mutu layanan dan perkhidmatan selain bersedia mendengar segala pendapat dan rungutan yang diutarakan pelanggan.

"Kita tidak boleh mengetepikan hak pelanggan dan kita bertanggungjawab terhadap semua produk yang dikeluarkan. Bukan itu saja, saya juga akan sentiasa memastikan kakitangan memberi layanan terbaik kepada pelanggan," katanya sambil menambah hubungan beliau dengan kakitangannya tidak ubah seperti adik-beradik tetapi masih ada batasan hormat dan pematuhan arahan.

Dorongan isterinya, Junaidah Arshad yang juga selaku Pengarah Kewangan dan Perakaunan kumpulan Gemilang turut menjadikan Rohaidi lebih bersemangat mengembangkan perniagaan.

Mengimbas sejarah hidupnya, Rohaidi berkata, beliau pernah bekerja di Bahagian Sumber Manusia, Proton Holding Bhd di Shah Alam selama tujuh tahun sejak 1989.

"Dengan berbekalkan sedikit pengalaman dalam bidang automotif itu, timbul minat untuk terus menceburi dalam bidang ini. Pada 1996, saya bekerja di Malaysia Electric Corporation (MEC) di Kuantan untuk mencari lebih pengalaman.

"Kemudian saya menyertai perniagaan keluarga yang menjalankan perkhidmatan logistik. Dari situ, saya mula mengembangkan portfolio perniagaan termasuk menceburi sektor automotif," katanya sambil menambah berbekalkan modal RM5 juta, beliau menubuhkan Gemilang Auto Part.

Rohaidi yang mempunyai darah kacukan Cina Melayu ini, kini mampu berbangga kerana setakat ini telah mengeluarkan pelbagai model ATV dengan kuasa enjin daripada 44 cc hingga 250 cc.

Ia dijual pada kompetitif bermula dari RM1,400 hingga RM22,000. Syarikatnya turut merancang memperkenalkan ATV dengan enjin 600 cc tahun depan.

Beliau berkata, ketika ini syarikat mengeluarkan kira-kira 100 unit ATV sebulan dan yakin mampu meningkatkannya sehingga dua kali ganda apabila kilangnya di Taman Sri Muda, Shah Alam beroperasi awal tahun depan.

Katanya, kilang berkeluasan 8,000 kaki persegi itu akan memasang semua komponen ATV, pocket bike, buggy dan dirt bike yang diimport dari China, Taiwan dan Jepun untuk dipasarkan bagi pasaran tempatan dan luar negara.

"Kebanyakan produk ini dibawa masuk dari China dan harga yang dijual juga adalah kompetitif dan mampu untuk dimiliki segenap lapisan masyarakat," katanya.

Rohaidi juga sedang dalam proses mengemukakan permohonan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi mendapatkan kelulusan penggunaan ATV di atas jalan raya seperti kenderaan lain.

Katanya, syarikat juga sedang mengusahakan satu model contoh yang membolehkan pekebun kecil mengangkut hasil sawit dalam bilangan yang banyak menggunakan ATV.

"Prototaip ini masih lagi dalam percubaan dan permintaan industri pertanian khususnya dalam pengangkutan ini sangat tinggi. Sekarang ini ramai pekebun kecil yang menggunakan kereta sorong. Jadi, kapasiti buah yang diangkutnya tidak banyak,

"Sebaliknya, penggunaan kenderaan seperti ATV mampu meningkatkan dua kali ganda hasil buah yang diangkut," katanya sambil menambah kenderaan empat tayar itu lebih stabil dan mudah dipandu.

Sehubungan itu, katanya, penggunaan ATV juga amat sesuai bagi sektor perladangan dan pertanian kerana boleh dipandu pada apa juga keadaan tanah yang tidak mampu dilakukan kenderaan lain termasuk motosikal.

FAKTA

  • SYARIKAT di bawah Kumpulan Gemilang;

    - Gemilang Furniture & Harware Sdn Bhd

    - Gemilang Auto Parts Sdn Bhd

    - Gemilang Shipping & Forwarding Sdn Bhd

    - Gemilang Design & Development Sdn Bhd

    - Gemilang World Trade Corporation Sdn Bhd

  • 60 peratus jualan Kumpulan Gemilang disumbangkan Gemilang Auto Parts yang memiliki lesen sebagai pengimport tunggal, pengedar serta pengilang ATV di Malaysia.

  • Gemilang Auto Parts dalam usaha mendapatkan lesen memasang motosikal tempatan yang bakal dikenali sebagai G-Moto yang dijangka tahun depan.

  • Syarikat itu dilantik sebagai ejen tunggal oleh antara pengeluar motosikal terbesar di Taiwan bagi pemasangan motosikal 110 cc hingga 250 cc bagi pasaran tempatan.

  • Menerusi kerjasama yang mana Gemilang Auto Parts akan memegang 80 peratus saham, syarikat itu dijangka mengeluarkan 1,000 unit motosikal sebulan.
  • COPYPASTE:WWW.BHARIAN.COM.MY