PEPATAH ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Itulah yang menjadi pegangan Mohd. Syah Mohd. Tung, 50, seorang pengusaha dan penternak kupang di Kampung Danga, Johor Bahru.
Sebelum ini, sekitar tahjun 1990-an, Mohd. Syah hanyalah pekerja di sebuah pusat ternakan kupang di kampung itu.
Mula menyimpan hasrat untuk membuka perniagaan itu ketika sedang menolak kupang untuk dibawa ke darat.
"Saya terfikir sampai bila saya ingin menjadi kuli? Timbul dalam hati ingin mengubah nasib menjadi usahawan kupang.
"Sejak itu saya mula membuat simpanan dan dan mengumpul tong-tong plastik untuk membuat rakit kupang," katanya.
Pada tahun 2002 cerita Mohd. Syah lagi, wang yang dikumpul telah mencukupi ditambah dengan pinjaman yang diberi oleh Jabatan Pertanian yang kesemuanya berjumlah RM50,000.
Bermodalkan wang itu jugalah, Mohd. Syah membina perniagaannya dengan membina tujuh rakit kupang yang diperbuat daripada kayu dan botol sebagai permulaan.
Kini, dia boleh berbangga kerana rakit kupangnya semakin luas. Setiap hari, kini kupang yang dikutip boleh mencecah sehingga 400 kilogram (kg).
Usahanya yang dikategorikan sebagai industri kecil dan sederhana (IKS) memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
"Sekurang-kurangnya usaha yang saya buat ini bukan sahaja dinikmati oleh saya, malahan penduduk sekitar.
"Lima dari pekerja saya bertugas sebagai penjaga rakit dan selebihnya di darat untuk merebus dan mengopek kupang sebelum dijual," ujar yang mempunyai 17 orang pekerja.
Mohd. Syah juga mempunyai peraih tetap kupangnya yang di kalangan pengusaha restoran dan peniaga pasar borong.
Mengapa memilih untuk mengusahakan kupang? Mohd Syah memberitahu, melalui pengalaman dia mendapati mengusahakan kupang adalah sangat mudah kerana tidak memerlukan kos selenggara yang tinggi.
"Rakit kupang dan tali sebagai umpan kupang sejak enam tahun lalu masih lagi saya gunakan sehingga hari ini. Mengumpan kupang juga tidak sukar. Hanya hulurkan tali dan tunggu dua minggu kupang sudah boleh diangkat.
"Berat kupang yang diangkat adalah sekitar 30 kg hingga 50 kg untuk setiap tali," tambahnya. - AFIFI HAFIZ M.NOR(kosmo.com.my)
1 comments:
keep it coming...best kan kalau jadi orang malaysia...
Post a Comment