Home » » Bas 2 Tingkat Jadi Ilham

Bas 2 Tingkat Jadi Ilham

Written By kall on Monday 14 July 2008 | 15:10


BAS dua tingkat atau lebih sinonim dengan panggilan 'double-decker' sering dikaitkan dengan London dan ia menjadi ikon kota raya itu.

Selain London, double-decker juga menjadi pengangkutan popular di beberapa bandar utama di Eropah dan Asia seperti Singapura, Sri Lanka, Jepun dan Hong Kong. Ia biasanya digunakan untuk tujuan bersiar-siar dan melawat tempat menarik di bandaraya terbabit.

Di Kuala Lumpur, penggunaan double-decker untuk kegiatan itu masih terlalu baru dan hanya mula diperkenalkan tahun lalu.
Dikenali sebagai KL Hop-On-Hop-Off, perkhidmatan bas double-decker di ibu negara itu dikendalikan Elang Wah Sdn Bhd, syarikat yang diterajui Syed Azhar Syed Nadzir. Syarikat itu ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli.

Syed Azhar berkata, penggunaan bas dua tingkat dan pengenalan perkhidmatan bas KL Hop-On-Hop Off dilihat sebagai tepat pada masanya sempena Tahun Melawat Malaysia.

Berkonsepkan `hop-on-hop-off’, pelancong atau penumpang bas boleh naik dan turun di mana-mana laluan dengan menggunakan tiket yang sama untuk tempoh 24 jam.
“Idea untuk memperkenalkan konsep bas ini di Malaysia tercetus ketika saya tinggal di London. Saya pernah terfikir bila balik ke Malaysia saya nak bawa konsep bas seperti itu ke Kuala Lumpur (KL),” katanya dalam pertemuan di Kuala Lumpur, baru-baru ini .

Beliau yang ketika itu bekerja di Airod United Kingdom turut membuat penyelidikan dan mendapati ia sesuai serta berpotensi di Malaysia, terutama untuk menarik pelancong.

Sekembali ke Malaysia pada 2005, Syed Azhar mula merencanakan strategi bagi menjalankan perniagaan bas bertingkat di KL.

Pada awal penubuhannya, syarikat membeli empat bas yang dikeluarkan peneraju dalam pembuatan bas dan trak, Scania Chasis And Engine dari Sweden.

Bagaimanapun, badan bas itu dipasang di Malaysia dengan reka bentuk terkini untuk memberikan keselesaan dan perjalanan menyeronokkan kepada setiap pelancong.

Sebelum pelancaran rasmi KL Hop-On Hop Off, banyak publisiti dibuat bagi tujuan promosi dan memperkenalkan perkhidmatan bas bertingkat itu di Malaysia.

“Sebagai perniagaan baru, kami juga tidak dapat lari daripada berdepan masalah, tetapi ia bukannya halangan.

“Yang penting perkhidmatan KL Hop-On Hop Off bukan sekadar untuk melawat sekitar KL tapi juga sepanjang perjalanan itu pelancong akan diberi penerangan mengenai sejarah mengenai tempat menarik yang dilalui bas ini, sejarah serta kejadian yang pernah berlaku di Kuala Lumpur dalam sembilan pilihan bahasa,” katanya.

Syed Azhar menjelaskan, walaupun pada asalnya perkhidmatan itu disasarkan kepada pelancong asing, ia kini akan diperluaskan kepada pelancong tempatan.

Katanya, setakat ini permintaan semakin baik daripada pelancong asing yang menguasai 95 peratus daripada penumpang bas itu.

“Bagi pelancong asing bila sebut hop-on-hop off, mereka sudah faham apa fungsi bas ini, tapi bagi pelancong tempatan perkhidmatan ini masih lagi baru kepada mereka dan kami akan pastikan mereka mendapat maklumat yang jelas mengenai perkhidmatan yang disediakan,” katanya.

Harga tiket yang dikenakan juga berpatutan, malah lebih rendah bagi pelancong tempatan iaitu RM19 untuk dewasa dan RM12 kanak-kanak, manakala pelancong asing berharga RM38 (dewasa) dan RM17 (kanak-kanak).

“Tiket ini boleh sah laku untuk tempoh 24 jam dan mereka boleh naik dan turun ikut suka mereka serta pada pada bila-bila masa di semua 22 hentian bas KL Hop-On-Hop-Off,” katanya sambil menambah operasi bas itu bermula dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

Beliau berkata, tiket bas boleh diperoleh dalam bas serta di kaunter Bukit Bintang, China Town dan KL Sentral.

Syed Azhar berkata, tahun lalu syarikat mengendalikan 48,000 penumpang dan jumlah itu dijangka meningkat sekali ganda tahun ini.

Menuju hadapan, beliau mahu memastikan KL Hop-On-Hop-Off sebagai antara ikon Kuala Lumpur seperti KLCC, Menara KL dan juga monorel.

Bagi Syed Azhar, KL Hop-On-Hop-Off bukanlah perkhidmatan bas biasa, sebaliknya ia memberi pengalaman pengembaraan di Kuala Lumpur tanpa henti dan mampu menjadi saluran terbaik kepada pelancong untuk meneroka KL pada harga yang rendah.

FAKTA: KL Hop-On-Hop-Off

  • KL Hop-On-Hop-Off ialah perkhidmatan bas menggunakan bas dua tingkat atau lebih dikenali sebagai double-decker.

  • Ia dikendalikan Elang Wah Sdn Bhd, syarikat diterajui Syed Azhar Syed Nadzir yang ditubuhkan pada 2006 dengan usaha sama rakan niaga, Rizal Ashram Ramli.

  • KL Hop-On-Hop-Off beroperasi setiap hari dari jam 8 pagi hingga 8 malam.

  • Bas akan berhenti di 43 tempat tarikan pelancong dan melalui laluan lebih 100 hotel di Kuala Lumpur.

  • Tiket boleh dibeli pada harga RM19 untuk pelancong tempatan dan kanak-kanak RM12, manakala pelancong asing RM38 dan kanak-kanak RM17.

  • Pemegang tiket boleh naik dan turun bas bila-bila masa di mana-mana 22 hentian bas KL Hop-On-Hop-Off.

  • Tiket sah laku untuk tempoh 24 jam yang memberi kebebasan kepada pelancong melawat tempat yang mereka minati mengikut jadual sendiri.

  • Sepanjang perjalanan, pelancong akan diberi penerangan mengenai sejarah dan tempat menarik di KL dalam sembilan bahasa mengikut pilihan mereka.

  • Tiket bas boleh diperoleh dalam bas serta di kaunter syarikat itu di Bukit Bintang, China Town dan KL Sentral.

  • Tahun lalu kendali 48,000 penumpang dan ia disasarkan meningkat sekali ganda tahun ini.

  • Mahu jadikan KL Hop-On-Hop-Off sebagai antara ikon Kuala Lumpur selain mercu tanda sedia ada seperti KLCC dan Menara KL.

  • sumber:www.bharian.com.my

    0 comments: