WANITA ini pernah terpilih sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Usahawan Asia Pasifik 2007. Malah tambah membanggakan apabila produk berasaskan gamat dengan jenama Gamaton keluaran syarikat beliau turut disenaraikan antara 20 produk kesihatan terbaik oleh 100 majalah kesihatan juga pada tahun yang sama.
Namun dalam gemerlapan tersebut, wanita kelahiran kota metropolitan ini tidak pernah lupa tanggungjawabnya membantu sesama manusia terutamanya mereka yang serba kekurangan dan amat memerlukan, lebih-lebih lagi yang berkaitan kesihatan dalaman dan luaran.
Wanita yang dimaksudkan itu ialah Pengarah MICH Sdn. Bhd., Asmah Liong Abdullah, 48. Penglibatan beliau dalam dunia perniagaan selain didorong faktor minat, sokongan suami dan anak-anak tetapi jauh di sudut hati kecil wanita mualaf ini, beliau mahu melihat semua orang hidup sihat. Di samping membuka peluang orang ramai untuk menjana ekonomi diri, keluarga seterusnya negara menerusi perniagaan.
Wartawan ZUARIDA MOHYIN bersama jurufoto NASIRRUDDIN YAZID berkesempatan ke pejabatnya di Subang Jaya, Selangor berkongsi cetusan ilham beliau dalam mengkomersialkan gabungan beberapa anugerah alam yang kaya dengan nilai perubatan sebagai produk makanan tambahan, sejajar dengan moto syarikat: ‘Sihat, Cantik dan Bertenaga’.
MEGA: Bilakah penglibatan anda dalam dunia perniagaan bermula dan mengapa produk berasaskan gamat menjadi pilihan?
ASMAH: Sebenarnya sebelum serius dengan Gamaton, saya sudah mengusahakan beberapa jenis perniagaan. Maklumlah pendedahan dalam dunia perniagaan sudah bermula sejak kecil lagi. Pada waktu itu, bapa saya mengusahakan restoran halal. Mungkin dari situlah sudah tertanam minat.
Sebelum terjun ke bidang perniagaan, saya pernah bekerja di sebuah tadika kemudian pada tahun 1992, saya memulakan perniagaan teknologi maklumat (IT). Lama juga bisnes ini dijalankan lebih kurang 11 tahun sebelum menubuhkan syarikat yang ada sekarang iaitu pada 2001.
Mengapa saya memilih produk berasaskan gamat semuanya berlaku secara kebetulan dan saya yakin inilah perniagaan yang Allah SWT ilhamkan kepada saya. Di mana selain menjana keuntungan pada masa sama memberi jalan untuk saya membantu mereka yang mengalami masalah kesihatan terutamanya kepada golongan yang memerlukan dan tidak berkemampuan.
Ceritanya begini, pada tahun 1999, saya mengalami masalah bengkak tangan acap kali selepas mengambil makanan yang mengandungi protein seperti minum air soya, daging dan sebagainya.
Pernah suatu ketika itu, saya bercuti di Langkawi dan di situlah saya diperkenalkan oleh seseorang dengan produk gamat. Selepas beberapa kali saya minum, saya lihat bila saya makan makanan berasaskan protein, tangan saya sudah tidak bengkak lagi. Malah suami saya yang mengalami migrain sejak remaja, juga sudah tidak mengalaminya.
Jadi terdetik di hati saya, ini adalah sesuatu yang luar biasa dan serta merta terlintas di fikiran, mengapa tidak saya kongsi kebaikan ini.
Apatah lagi keajaiban gamat atau timun laut ini bukan sahaja oleh masyarakat tempatan kita tetapi telah menjadi makanan penting dalam tradisi budaya Orient hampir 5,000 tahun lalu. Malah ia juga wujud dalam sejarah perubatan Asia untuk berabad lamanya.
Maka pada 2004, setelah melalui siri penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan kerjasama pakar-pakar, saya keluarkan jenama sendiri iaitu Gamaton. Produk sulung di bawah MICH Sdn. Berhad iaitu kombinasi Jeli Gamat dengan Aloe Vera, Gel Gamat dengan Aloe Vera, Gamat dengan Tongkat Ali, Gamat dengan Sarang Burung.
Sehingga kini terdapat lebih kurang 11 produk dengan bermacam-macam kelebihan kepada pelbagai peringkat usia. Antaranya, GamaBrain (kanak-kanak), Gamadeen dengan Sarang Burung (wanita), Gamat Rub dengan Buah Pala (sapuan), Gamat Hair Serum.
Kalau kita lihat di pasaran sekarang, terlalu banyak produk kesihatan berasaskan gamat ditawarkan kepada orang ramai. Apakah yang membezakan produk Gamaton berbanding yang lain?
ASMAH: Itu saya akui tetapi perkara yang tidak dapat disangkal ialah setiap produk itu punyai formulasi yang berbeza dan Gamaton mempunyai resipinya yang terbaik demi kesejahteraan pengguna serta tidak mempunyai kesan sampingan dan mendapat pengesahan Kementerian Kesihatan.
Apa yang saya boleh jamin, produk Gamaton ini telah melalui penyelidikan secara saintifik dengan kerjasama dari institusi serta pakar-pakar yang memang berkelayakan.
Malah mengapa kami menggunakan kombinasi dua anugerah alam terbaik seperti gamat dengan aloe vera, sarang burung, tongkat ali adalah kerana kekayaannya dengan pelbagai khasiat penyembuhan yang semula jadi.
Alhamdulillah, sehingga kini telah ramai pengguna sama ada yang berpenyakit mahupun sihat telah menikmati kelebihannya ini. Bagi mereka yang berminat mengetahui lebih berkenaan rangkaian produk Gamaton boleh menghubungi 03-8024 2003 atau layari lama web www.gamaton.com
Awal tadi anda kata perniagaan ini juga bertujuan membantu orang ramai serta berkongsi sesuatu yang baik. Apakah kepuasan yang diperoleh?
ASMAH: Tentu kita tidak dapat bayangkan kalau sebelum ini kita sihat, tiba-tiba jatuh sakit. Tentunya itu satu pengalaman yang tidak mahu dirasai oleh setiap manusia. Alhamdulillah, dengan adanya sumber alam semula jadi ini, banyak orang mendapat manfaat daripadanya.
Bagi saya, bukan keuntungan yang diharap semata-mata. Paling menggembirakan, apabila melihat mereka yang sakit ini mampu tersenyum kembali.
Apatah lagi bagi yang mengalami penyakit kronik. Kalau hendak diceritakan pengalaman para pesakit rasa terlalu banyak.
Selain itu, tambah menyeronokkan apabila mereka ini kembali berkeyakinan serta lebih bersemangat dalam meneruskan kehidupan.
Apakah perancangan anda seterusnya?
ASMAH: Saya ini tidaklah terlalu bercita-cita besar. Memanglah ada saranan pihak tertentu agar kami memperluaskan pasaran produk Gamaton secara jualan langsung (MLM) tetapi sedang difikirkan.
Buat masa ini, harapan saya agar produk Gamaton berada di merata tempat sama ada dalam mahupun luar negeri, biarpun produk ini sudah tersebar luas di Australia, United Kingdom, Bahrain, Nigeria, Zimbabwe, Indonesia dan banyak lagi.
Yang paling penting, saya mahu ia dinikmati oleh semua manusia serta saya juga sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan produk-produk terbaru yang lain.
0 comments:
Post a Comment