Home » » Bangkit selepas hadapi musibah

Bangkit selepas hadapi musibah

Written By kall on Wednesday 23 July 2008 | 18:49


WALAUPUN pernah menghadapi kerugian hampir RM100,000 kerana kebakaran di premis dobinya tahun lalu, wanita yang berhati waja ini kembali bangkit dengan penuh semangat untuk meneruskan perniagaan yang telah diusahakan selama 12 tahun.

Kebakaran yang berlaku pada 10 Oktober tahun lalu iaitu ketika waktu berbuka puasa, telah menyebabkan banyak mesin dan peralatan dobinya rosak dan perlu dibaiki dan dibeli baru.

Bagi Pengarah Urusan Serra Pinnacle Sdn. Bhd., Suraya Anizah Abdullah, 44, musibah yang berpunca daripada litar pintas itu merupakan satu ujian yang cukup besar dalam sejarah perniagaannya.

‘‘Apabila diberitahu premis dobi saya terbakar, saya panik seketika, tidak tahu nak buat apa, hanya menangis mengenangkan perniagaan yang selama ini diusahakan hilang begitu sahaja.

‘‘Namun, Tuhan maha mengasihani. Rupanya saya tidak keseorangan dalam menghadapi musibah itu. Adik-beradik, keluarga dan agensi seperti TEKUN Nasional telah membantu dalam pembiayaan modal untuk kembali meneruskan perniagaan itu,’’ katanya ketika ditemui di kedai dobinya, Serra Laundrette, Danau Kota, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Suraya yang menguruskan lima buah syarikat di bawah Serra Pinnacle, beliau mula berniaga pada tahun 1996 dengan modal permulaan RM50,000.

Kata bekas graduan kesetiausahaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, pada waktu itu tidak ramai orang Melayu yang memasuki perniagaan dobi. Justeru, pada awal pembabitan, beliau berkongsi dengan seorang rakan, tetapi hanya untuk dua bulan sahaja sebelum rakan itu menarik diri.

‘‘Dari situ bermulalah perniagaan dobi saya di sebuah kedai kecil di Danau Kota, tetapi bukan di premis sekarang ini.

“Dalam masa tiga tahun permulaan, modal pusingan tidak cukup justeru gaji sendiri digunakan untuk menampung modal. Bagaimanapun, alhamdullilah berkat usaha itu, perniagaan semakin berkembang dan saya berpindah ke premis sekarang.

‘‘Dari situ saya pelbagaikan cabang perniagaan seperti mengambil tempahan menjahit pakaian dan langsir dan sebagainya bagi menambah pendapatan,’’ cerita ibu kepada empat orang anak ini.

Oleh kerana kejayaan usahanya yang membanggakan, Suraya telah dilantik mengikuti program mentor mentee oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk memberi bimbingan kepada usahawan yang ingin menceburi peruncitan dobi.

‘‘Saya mempunyai impian untuk melahirkan lebih ramai usahawan dobi, malah saya juga membuka francais Serra Laundrette untuk sesiapa yang ingin menceburi bidang ini tanpa mengenakan sebarang yuran francais.

‘‘Setakat ini, dua orang pengusaha telah membuka francais Serra Laundrette iaitu di Kota Damansara dan Alor Setar, manakala seramai enam orang usahawan yang dihantar oleh Mara telah menjalankan latihan di sini selama sebulan,’’ jelas anak kelahiran Shah Alam ini.

Menurut Pengarah Usahanita daerah Setapak, Wilayah Persekutuan, kini perniagaannya telah berjaya menembusi kontrak untuk resort, hotel, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

Suraya berkata, Serra Laundrette juga menyediakan perkhidmatan selepas jualan kepada semua usahawan yang menyertai francaisnya iaitu perkhidmatan pencucian kering, pembekalan sabun, plastik dan tawaran penjualan mesin pada harga istimewa.

‘‘Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan latihan, Serra Laundrette menawarkan pakej latihan untuk dua hari dengan bayaran RM350 dan seminggu (RM2,500). Peserta akan diterangkan mengenai pengenalan sistem peruncitan dobi.

Apabila tamat, mereka akan diberi sijil dan dibantu dalam penyediaan kertas kerja serta mencari tapak yang sesuai bagi memulakan perniagaan.

Mereka yang berminat boleh menghubungi 03-41493411.

sumber:utusan.com.my

0 comments: