Home » » Jeniri jadi kaya dengan menulis

Jeniri jadi kaya dengan menulis

Written By kall on Monday, 19 November 2007 | 09:49

TIDAK ramai penulis dengan berani mengakui mereka mendapat banyak duit dengan menulis. Ada penulis berselindung di sebalik beberapa nama pena bagi mengelak orang lain mengetahui mereka kaya dengan menulis.

Ada juga yang menulis, menerbitkan dan menjual sendiri karya bagi menjamin mereka mendapat untung sepenuhnya tanpa berkongsi dengan penerbit dan pengedar buku.

Jeniri Amir, penulis prolifik dari Sarawak antara sejumlah kecil penulis yang selalu bersedia berkongsi pengalaman peribadinya menulis dan hidup selesa sebagai penulis. Dalam masa dua puluh tahun, Jeniri telah menulis hampir seratus judul buku dan beratus-ratus rencana untuk akhbar dan majalah. Beliau diberi anugerah dalam kategori penulis Malaysia paling prolifik melalui Anugerah Buku Malaysia 2005, selain mendapat hadiah dalam Anugerah Buku Unimas 2007.

Mengenali Jeniri dengan lebih rapat, bekas guru, wartawan dan kini pensyarah bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sarawak ini memang rajin menulis dan mendapat banyak wang dengan menulis. Beliau ‘gila’ membeli buku. Pejabatnya di Unimas cuma tinggal ruang kecil untuk pelajar datang mendapatkan nasihat dan rundingan. Di rumah dua tingkatnya, di Kampung Pinang Jawa, Petrajaya juga ada sebuah kamar besar yang sarat dengan buku.

Melihat keadaan rumahnya, kenderaan yang dipandunya dan cara hidupnya, dapatlah disimpulkan Jeniri memang buat duit dengan menulis buku, atau menghabiskan duit dengan membeli buku.

Jeniri menghabiskan hari-hari cutinya dengan menulis. “Nilai baki cuti tahunan kalau ditukar dengan wang selepas bersara tidak sebesar mana pun, lebih baik digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar bukan sahaja kepada penulis tetapi besar juga manfaatnya kepada pembaca,” jelas Jeniri bagaimana beliau memanipulasi cuti rehat tahunannya untuk menulis.

Beliau tidak mencuci keretanya sendiri, sebaliknya ‘menyimpan’ tenaganya untuk menulis. Tenaganya ditambah pula dengan membeli pil vitamin dan tenaga tambahan untuk tetap segar bila menulis. “Upah mencuci kereta tak seberapa. Itu rezeki budak-budak pencuci kereta. Masa dan tenaga mencuci kereta kalau digunakan untuk menulis, pulangannya lebih besar,” kata Jeniri itu memang ada kebenarannya.

Beliau menulis banyak buku tentang penulisan dan tidak ketinggalan mengajak kita semua menulis untuk wang. Sebelum ini beliau menerbitkan buku berjudul Buat Duit Dengan Menulis yang mendapat sambutan besar dan telah diulang cetak. Terbaru Jeniri muncul dengan bukunya Menulis Buku: Cara Lain Dapatkan Wang Besar.

Dengan gaya bahasanya yang bertenaga Jeniri mengajak kita semua mengaut sebanyak-banyaknya wang besar dengan menulis buku yang orang lain mahu membacanya. Justeru, kita mesti mula mengasah kemahiran menulis kerana tidak semua dianugerahkan bakat menulis.

Dalam apa juga profesion dan kerjaya, disiplin adalah perkara utama. Demikian juga dengan penulisan kita mesti mendisiplinkan diri dengan pelbagai perkara daripada mengaturkan masa hinggalah memaksa diri membaca karya orang lain, merujuk kamus dan daftar ejaan, mengunjungi kedai dan pesta buku selain kerap ke perpustakaan.

Pilihlah genre yang kita minati dan akrab dengannya. Kita boleh saja menulis pelbagai karya kreatif dan popular termasuk novel, cerpen dan puisi hinggalah ke buku umum, buku teks atau ulasan politik. Tuah ayam nampak di kaki, tuah penulis pada royalti.

Justeru, perlulah kita membaca dan membuat rujukan, memerah otak mencari ilham dan idea dan menjawab soalan paling asas; mahu tulis apa? Bagaimana kaedah menulis yang paling berkesan? Bagaimana merangka dan mengajukan cadangan penulisan yang dapat meyakinkan penerbit dan editor? Bertolaklah dengan mula mengetahui dan mengenali pelbagai aspek dalam penerbitan buku.

Setelah tetap dengan apa yang ingin ditulis dan mula mengumpulkan bahan dan idea, mulakan dengan menyusunnya dan memikirkan tajuk yang baik, judul yang memikat. Dengan bantuan artis grafik, judul itu dipadankan dengan ilustrasi yang tepat sehingga menjadikan kulitnya cukup menawan dan menggoda pembaca membelinya.

Bagi menghidupkan tulisan, Jeniri memberikan beberapa pedoman antaranya menerapkan angka dan statistik, menyelitkan contoh dan memasukkan kutipan. Dalam karya kreatif, ada pelbagai cara memberikan nyawa kepada watak dan ada pula kaedah melukis watak agar menggerakkan minda pembaca. Penulis mesti cekap menyerlahkan sesuatu bau, bunyi, rasa – marah, sedih, kecewa, gembira.

Memang, bagi penulis yang baru, mereka boleh saja tersesat dan hilang punca apabila menulis. Bagaimana memulakan ayat pertama, menyusun perenggan dan menamatkan penulisan? Jeniri menunjukkan bagaimana kita dapat menganyam pelbagai fakta dan maklumat yang ada, membina tarikan pada fakta yang dibentangkan menggunakan pelbagai pendekatan. Semuanya menuntut kreativiti penulisnya dalam memilih kata yang paling tepat.

Beberapa pedoman perlu dipegang apabila menulis misalnya menulis ayat yang pendek dan mudah dan bukan ayat yang kompleks. Pengalaman membaca amat penting diterapkan apabila kita menulis dan daripada sinilah kita dapat memperlihatkan kekayaan dan kepelbagaian perbendaharaan kata yang kita bina daripada pembacaan yang banyak.

Demikianlah Jeniri menuangkan pengalamannya dalam buku ini. Demi memperbanyak terbitan buku di negara ini, Jeniri menerbitkan buku ini untuk dijadikan pedoman bagi semua bakal penulis.