Home » » Jutawan Kumpulan Kolej Empire Putra

Jutawan Kumpulan Kolej Empire Putra

Written By kall on Monday, 5 November 2007 | 09:29


Kolej Empire Putra, restoran Vietnam halal beri cabaran berbeza harungi dunia perniagaan

LAZIMNYA keluarga mencorakkan warna-warna kehidupan kita. Begitu juga yang dialami Ketua Eksekutif Kumpulan Kolej Empire Putra, Faisal Abdul Rahman, pemilik kumpulan institusi pendidikan dan latihan vokasional yang semakin mencipta nama di negara ini.

Beliau dijaga dan dibesarkan oleh datuk serta neneknya selepas perpisahan ibu bapanya. Sebagai guru besar di zaman sebelum merdeka, kedua-dua datuk dan neneknya bukan guru biasa, tetapi seorang yang sangat dihormati dan mengambil berat mengenai pelajaran dan kuat disiplinnya.

Pengalaman sama dirasai tiga lagi adik beradiknya, yang kini masing-masing berjaya dalam bidang yang diceburi, termasuk seorang daripadanya kini adalah Profesor Madya di Universiti Multimedia.

Faktor itu juga yang membentuk peribadi positif Faisal, seorang yang sentiasa mahu berjaya dalam setiap bidang yang diceburi dan sentiasa mahu bekerja keras.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Fizik dalam bidang Mikroelektronik dari University of Wales, Swansea di United Kingdom, itu menyifatkan kehidupannya sentiasa dikelilingi disiplin yang ketat dan setiap masa dihabiskan dengan buku, daripada kecil hinggalah dewasa.

Walaupun tidak mengambil jurusan pendidikan, beliau akhirnya kecundang juga dengan ketentuan apabila membuka institut pendidikan tinggi, bukan sebagai tenaga pengajar, tetapi sebagai pemilik kepada salah satu kumpulan pendidikan terulung yang fokus kepada bidang berteraskan teknikal dan vokasional.

"Pembabitan saya dalam bidang pendidikan jenis vokasional ini bukannya berasaskan minat secara lahiriah, tetapi entah bagaimana, secara perlahan-lahan saya menceburi bidang ini dengan kesedaran mahu menyumbang dalam peningkatan imej dan kualiti pendidikan berteraskan kemahiran," katanya.

Beliau percaya individu yang tidak berjaya cemerlang melalui laluan pengajian bersifat akademik, akan berjaya jika diberi peluang dan dorongan melalui laluan vokasional.

Syarikat beliau bukan saja pemilik kepada beberapa institusi berteraskan vokasional, tetapi juga sebuah institusi latihan yang menumpukan kepada melatih pengasuh yang mendidik tenaga pengajar yang akan bekerja di pusat asuhan kanak-kanak .



Pembabitannya menerusi institut berkenaan didorong tanggungjawab yang dipegangnya sebagai seorang ahli Jawatankuasa kecil Exco Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.

Antara institut yang dimiliki Kumpulan Pendidikan Empire Putra terdiri daripada Akademi MTDC Multimedia (Seri Kembangan, Selangor); Institut Karisma (Bangsar) yang menawarkan program penjagaan kanak-kanak di bawah umur; Institut ECMA (Kuantan) dan Pusat Kecemerlangan Perantisan Automotif Empire.

Program pengajian yang ditawarkan kumpulan kolej itu umumnya memfokuskan program vokasional, teknikal dan perantisan di dalam empat disiplin utama iaitu Kejuruteraan Komputer, Multimedia dan Seni Digital, Penjagaan dan Pelancongan; dan Automotif yang masing-masing ditawarkan untuk peringkat sijil hingga ke diploma lanjutan.

Pada asasnya, setiap kursus mensyaratkan pelajar melengkapkan latihan teori sebanyak 30 peratus dan 70 peratus bagi latihan kerja di industri. Pendekatan itu menjadikan program lebih relevan dan pelajar mendapat 100 peratus jaminan kerja selepas tamat latihan.

Bagi melengkapkan kursus yang ditawarkan, Kumpulan Pendidikan Empire Putra menjalin usaha sama dengan peserta industri yang terdiri daripada syarikat penyedia perkhidmatan dalam bidang teknikal di negara ini.

Satu daripadanya adalah usaha sama dengan pusat servis auto, Fasfik (M) Sdn Bhd, yang dimiliki sahabat beliau dan usahawan Armin Pahamin. Menerusi usaha sama itu, pelajar akan diberikan pengetahuan teori di kolej, latihan praktikal akan diperoleh pelajar di rantaian cawangan Fasfik.

Fasfik mensasarkan untuk membuka 100 cawangan setahun dengan keperluan 1,000 orang tenaga mahir setahun, semuanya akan dilatih di Pusat Perantisan Automotif Empire, salah satu dari institut di bawah Kumpulan Pendidikan Empire Putra.

Menerusi pendekatan usaha sama ini, Faisal berkata, pelajar akan diberikan kemahiran yang cekap dan cepat, justeru selain mendapat pengetahuan, pelajar juga cepat mahir dalam bidang yang dipelajari.

"Dengan pendekatan yang kami guna, pelajar mudah memasuki bidang pekerjaan sebaik tamat pengajian selain mendapat peluang keusahawanan," kata Faisal.

Institut di bawah Kumpulan Pendidikan Empire Putra sebenarnya adalah pusat latihan vokasional swasta yang memberikan peluang kedua kepada individu yang gagal dan tidak bernasib baik untuk meraih pengalaman berharga bagi membina masa depan yang cerah, katanya.

Beliau menyifatkan kejayaan membuka peluang pekerjaan kepada golongan terbabit sebagai pengalaman manis yang sukar diungkap dengan kata-kata.

Selain itu, Kumpulan Pendidikan Empire Putra turut menjalin pakatan dengan Warisan Nusa Sdn Bhd dan HeiTech Padu Bhd, yang mengambil pelajar daripada kolej berkenaan untuk mendapat latihan praktikal dan menawarkan tajaan di dalam bidang Kejuruteraan Komputer.

Institut itu ketika ini menampung hampir 1,500 pelajar pada satu-satu masa. Selain mengendalikan pusat latihan teknikal, Faisal kini sedang berjinak-jinak mengembangkan perniagaan makanan.

Perniagaan menerusi anak syarikat dikenali sebagai Sao Nam Vietnamese Cuisine yang mengendalikan dua restoran makanan Vietnam, setiap satu di Changkat Raja Chulan dan Plaza Damas, kedua-duanya di Kuala Lumpur.

"Tanpa kami sangka perniagaan yang yang pada mulanya dibuat secara sampingan, kini sudah menjadi restoran Vietnam Halal yang agak berjaya, dengan pelanggan di kalangan pelancong dan korporat, katanya yang juga boleh bertutur dalam Bahasa Vietnam.

"Berniaga makanan begitu berbeza dengan pusat pengajian. Satu yang paling ketara adalah daripada segi aliran tunai. Jika restoran menjanjikan tunai yang cepat dan besar jumlahnya, menguruskan pusat pengajian tinggi adalah sesuatu yang jangka panjang dan tidak menjanjikan pulangan lumayan dalam jangka masa singkat," kata kata bekas penuntut Sekolah Menengah Dato Jaafar, Johor Bahru ini.

Faisal juga aktif di dalam beberapa sukan seperti golf, selain berenang kira-kira tiga kilometer setiap dua hari. Pada masa lapangnya beliau bermain gitar dan juga menulis seni kaligrafi Islam.

Pada masa depan, beliau berharap dapat mengembangkan rangkaian Kumpulan Pendidikan Empire Putra bukan saja di Malaysia tetapi di luar negara, khususnya menerusi proses penggabungan dan pengambilalihan dan kerjasama pintar.

0 comments: