Home »
Pengalaman Usahawan
» Peladang Jaya peroleh RM30,000 sebulan
Peladang Jaya peroleh RM30,000 sebulan
Written By kall on Saturday, 17 November 2007 | 00:26
BAYANGKAN pendapatan RM30,000 sebulan! Itulah diraih seorang usahawan tani dari Kuala Kedah, dekat Alor Star yang berpegang kuat kepada kata-kata azimat berbudi kepada tanah, lambat laun akan mendapat hasilnya.
Usia mencecah 64 tahun tidak menghalang Hamid Ismail untuk terus menabur budi kepada tanah dan menuai hasilnya. Tetapi semuanya itu tidak mudah dilakukan kecuali usaha keras meskipun dek berjemur di bawah panas terik matahari.
Beliau mempelbagai kegiatan pertanian yang menguntungkan. Hasil usaha kerasnya menternak ikan, menanam padi, pisang dan getah kini dia mampu tersenyum apabila pendapatan mencecah RM30,000 sebulan.
Usaha gigih dan keberanian mengusahakan projek tanaman padi seluas 3.2 hektar, pisang (0.63 hektar) dan getah (1.5 hektar), selain terbabit dengan projek ternakan ikan siakap dan keli akhirnya membawa kesenangan kepada keluarganya.
Hamid berkata, separuh daripada usianya dihabiskan bertani termasuk bergelumang dengan selut dan terik matahari selain berkawan dengan lintah dan pacat sebelum berjaya menempa nama sebagai Peladang Jaya Lelaki Peringkat Negeri Kedah, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri, baru-baru ini.
Menariknya, bapa kepada lapan anak ini juga berjaya menyemai minat semua anaknya menceburi secara serius dalam bidang pertanian selain meluaskan empayar perniagaan dalam sektor automotif dan jahitan.
Beliau yang mula menceburi bidang pertanian sejak berusia 18 tahun menjelaskan, bidang pertanian terutama pengeluaran padi menjanjikan keuntungan lumayan jika diterokai secara serius.
"Dengan peninggalan tanah pusaka bapa seluas hampir tiga hektar, saya usahakan sendiri secara berperingkat. Hasil sulung padi itu saya gunakan untuk modal membeli benih padi.
"Pertanian dulu dan sekarang jauh berubah, dengan teknologi terkini selain pengeluaran baka benih padi berkualiti, kos pengeluaran padi juga dapat diminimumkan," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini industri pengeluaran padi negara disuntik arus perubahan termasuk dari aspek sistem penanaman secara sara diri, kini beralih kepada pengeluaran secara komersial.
"Cabaran utama adalah berdepan dengan faktor cuaca dan serangan serangga perosak.
Sekitar 1990-an pernah tanaman padi saya tidak menjadi apabila diserang makhluk perosak termasuk siput gondang dan tikus," katanya.
Beliau berkata, cuaca tidak menentu termasuk hujan lebat serta kemarau panjang juga menyebabkan benih ditabur pada petak sawah tidak menjadi selain mati sebelum sempat berbunga.
"Benih padi daripada jenis MR219 dan MR220 hasil keluaran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menjadi pilihan kerana selain sesuai dengan tanah dan iklim di negara ini, ia mudah dijaga.
"Kedua-dua jenis padi ini ditabur dalam petak sawah secara berasingan kerana ciri fizikal kedua-dua jenis pokok padi itu berbeza," katanya.
Beliau berkata, kebiasaannya padi jenis MR220 tumbuh lebih rendah berbanding jenis MR219 selain akarnya lebih kuat.
Katanya, setiap musim dia mampu mendapat 21 tan padi dengan pendapatan lebih RM18,000.
Bagi mempelbagaikan pendapatan, dia turut mengusahakan ternakan ikan siakap dan keli selain memiliki tiga bot menangkap ikan, serta tanaman pisang dan getah.
Malah, usahanya tidak terhenti setakat itu kerana beliau bercadang mengusahakan kolam memancing pada masa akan datang.
0 comments:
Post a Comment