Home » » V2 Cosmetics alternatif kepada pengguna Muslim

V2 Cosmetics alternatif kepada pengguna Muslim

Written By kall on Friday, 30 November 2007 | 10:31



ALANG-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Pepatah Melayu ini paling sesuai menggambarkan keazaman dan semangat juang pengasas produk kosmetik berjenama V2, Azrymi Kudin, 39, waima terpaksa mengharungi pelbagai cabaran hebat.

Sungguhpun baru setahun jagung di pasaran, produk kosmetik di bawah syarikat Dynamic Crystal Network Sdn. Bhd. telah melancarkan satu lagi rangkaian produk penjagaan kulit daripada ekstrak kulit buah manggis, baru-baru ini.

Kejayaan ini sekali gus menambah lapan produk sedia ada menjadikan 12 produk kesemuanya di bawah kategori kosmetik, alat solekan dan penjagaan kulit.

Ikuti temuramah wartawan, ZUARIDA MOHYIN menerusi telefon bersama Azrymi yang berasal dari Sungai Petani, Kedah tentang produk baru yang akan dilancarkan pada Disember ini dan tiga lagi produk pada 2008 nanti.

MEGA: Bagaimanakah perniagaan saudara bermula dan terangkan serba ringkas tentang perniagaan yang diusahakan ini?

AZRYMI: Saya menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan sejak lebih 10 tahun lalu. Saya bermula sebagai pengedar dan jurucakap produk herba dan barangan kosmetik.

Secara kebetulan, isteri dan dua adik saya adalah jurusolek dan saya melihat semua alat mekap dan kosmetik yang mereka gunakan adalah daripada jenama luar negara. Saya hairan dan tertanya-tanya, tidak adakah produk mekap Malaysia yang boleh kita guna?

Dari situ, saya merasa saya perlu memartabatkan produk Malaysia, hasil idea tempatan serta dikilangkan di sini. Dengan itu, saya menubuhkan Syarikat Dynamic Crystal Network Sdn. Bhd., yang merupakan pemegang hak intelek ke atas produk kosmetik jenama V2 dan produk ini mula berada di pasaran pada Mac 2006.

Pada fasa pertama kami mengeluarkan alatan mekap seperti gincu bibir, bedak kompak, pembayang mata (eye shadow), pewangi, bedak talkum, losen badan dan tangan serta sabun susu kambing.

Baru-baru ini, V2 melancarkan satu lagi rangkaian produk penjagaan kulit daripada ekstrak kulit manggis iaitu sabun scrub manggis, UV+Foundation, krim malam serta toner.

Mengapa bisnes berkaitan kecantikan wanita yang menjadi pilihan dan tidak kepada bentuk perniagaan lain?

AZRYMI: Memang sesuatu yang agak unik apabila orang lelaki seperti saya menjadi pengasas produk kosmetik, yang mana penggunanya adalah kaum hawa. Tetapi saya melihatnya dari sudut yang berbeza.

Saya memilih perniagaan kosmetik ini kerana rasa terpanggil untuk memberi alternatif kepada pengguna Muslim, bahawa kita perlu memartabatkan jenama tempatan, yang datang dari sumber yang kita yakini dan bersih.

Saya dapati pengguna kosmetik gemar menggunakan jenama antarabangsa yang diimport dari luar negara dan mahal harganya, walaupun mereka tidak pasti tentang proses pembuatannya.

Alat mekap jenama tempatan tidak menonjol dan sukar untuk bersaing. Dari situ wujudnya idea untuk menghasilkan produk V2. Secara kebetulan, saya pernah bekerja selama lebih 15 tahun sebagai pengurus kanan di sebuah kilang multinasional yang mengeluarkan produk alatan perubatan. Jadi proses pembuatan dan pengilangan seperti ini adalah tidak asing bagi saya.

Selain itu, saya juga memilih bidang perniagaan ini juga kerana sistem pemasarannya dapat memberi peluang kepada orang lain untuk menjana pendapatan bersama kami. Kita tahu terdapat banyak salon kecantikan sekarang ini diusahakan oleh wanita Muslim. Jadi inilah ruang untuk memartabatkan kosmetik Muslim.

Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?

AZRYMI: Kita memang mengamalkan sistem pembangunan berterusan dalam mengembangkan produk V2 di pasaran. Buat masa ini, kita memberi fokus kepada tiga aspek penting iaitu sistem pemasaran, pengembangan rangkaian produk dan sistem kualiti.

Alhamdulillah, setelah lebih setahun di pasaran, kita kini mempunyai lebih 200 pengedar di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Brunei. Kami menjangkakan bahawa jumlah pengedar akan bertambah dua kali ganda dalam masa setahun akan datang.

Rangkaian produk kosmetik V2 adalah pakej lengkap kepada wanita Muslim. Kami telah merangka pelan jangka panjang di mana kita akan mengeluarkan hampir semua rangkaian alatan mekap dan produk penjagaan kulit.

Kalau kita lihat perjalanan produk ini sejak setahun yang lalu, kita telah melancarkan produk baru hampir setiap tiga bulan sekali. Dan kita akan melancarkan produk pembersih wanita (feminine wash) pada Disember ini, dan sekurang-kurangnya tiga lagi produk baru pada tahun 2008 iaitu mekap asas, roll-on deodoran dan pemutih roll-on deodoran. Ini menunjukkan bahawa kita serius dalam perniagaan ini.

Sistem kualiti adalah penting bagi setiap produk. Justeru, kita memastikan produk ini dihasilkan dalam persekitaran kilang GMP, mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia serta bersih.

Malahan, 20 jenis produk kosmetik dan pewangi V2 telah mendapat pengiktirafan Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang ini dan bagaimana mengatasinya?

AZRYMI: Cabaran memang hebat. Saya faham bahawa tidak ada jalan pintas untuk berjaya dalam apa jua bentuk perniagaan.

Cabaran terbesar produk V2 adalah mengubah persepsi pengedar dan pengguna kosmetik. Saya tahu bukan mudah untuk meletakkan jenama tempatan di hati pengguna yang telah bertahun-tahun menggunakan produk luar yang mempunyai kuasa iklan yang hebat.

Bayangkan kalau anda sendiri telah menggunakan sesuatu jenama gincu sejak sekian lama, memang sukar untuk anda berubah kepada jenama lain kalau anda tidak betul-betul yakin.

Tapi kami sangat positif bahawa jenama V2 adalah alternatif terbaik kepada wanita Muslim. Bukan bermaksud untuk menggunakan produk Muslim untuk mengubah persepsi pengguna, tetapi kita mempunyai bukti bahawa kualiti produk ini adalah setaraf jenama antarabangsa. Kita yakin sistem pemasaran kita sangat efektif untuk membawa produk ini agar lebih dikenali.

Kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?

AZRYMI: Yang pertama, saya memang minat berniaga sejak kecil lagi. Jadi perniagaan ini adalah titik permulaan bagi diri saya.

Seterusnya, kepuasan sebab saya dapat memartabat produk Muslim untuk digunakan oleh wanita Malaysia secara khusus.

Jadi selain mencari rezeki dengan perniagaan ini, kami dapat membuka ruang kepada wanita Muslim menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Itulah kepuasan hasil daripada perniagaan kosmetik ini.

Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan saudara berkaitan dengan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?

AZRYMI: Memang tidak dinafikan, 90 peratus punca rezeki adalah daripada hasil perniagaan. Kita dapat lihat perjalanan hidup junjungan kita, Nabi Muhamad s.a.w. juga menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Yang penting kita mesti mempunyai niat dan pegangan yang betul dalam menjalankan perniagaan tersebut.

Tak kiralah sama ada perniagaan itu dilakukan secara kecil-kecilan, sederhana ataupun besar. Semuanya adalah rezeki Allah.

Cuba kita lihat pada bulan Ramadan yang lalu, sumber rezeki orang Islam melimpah ruah hasil daripada jualan di pasar atau bazar Ramadan. Itulah petunjuk daripada Allah s.w.t. bahawa selagi ada kemahuan, kita dapat mencari rezeki di muka bumi ini.

Apakah pesanan kepada mereka yang berminat dalam atau yang sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan?

AZRYMI: Sebenarnya saya sendiri pun masih mentah di dalam bidang ini. Perjalanan saya baru bermula dan banyak lagi perkara yang saya perlu pelajari daripada korporat Muslim yang telah berjaya.

Walaupun begitu, saya amat menyokong mereka yang berminat untuk berniaga, kerana bidang ini adalah sangat bagus. Ruang lingkup dunia perniagaan ini amat luas, ia tidak terhad, tetapi kita mestilah mempunyai niat yang positif ke atas tanggungjawab kita sebagai ahli perniagaan Muslim.

Kita juga jangan lupa bahawa dalam perniagaan penuh dengan cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Jadi, kita mesti sentiasa bersedia serta yakin dengan kebolehan yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Saya dan produk V2 sentiasa mengalu-alukan sesiapa saja yang berminat untuk menjadi pengedar produk ini, di seluruh Malaysia dan Brunei.

Selain mengedarkan produk kosmetik, kami juga aktif menganjurkan kursus solekan dan andaman di seluruh negara. Kursus terbuka kepada semua.

Tahun ini sahaja kita menganjurkan lebih daripada 10 bengkel solekan di seluruh negara. Ini adalah sebahagian tanggungjawab kami untuk memartabatkan kosmetik tempatan.

Kepada yang berminat untuk menjadi pengedar atau menyertai kursus solekan kami, anda boleh hubungi saya di talian 019-540 1417 atau isteri saya, Kak Naz di talian 019-4368288 atau 04- 4228828.

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua stokis, outlet dan pengedar produk V2 di atas segala usaha, kerja kuat dan doa anda untuk kejayaan produk ini.

0 comments: