Home »
Pengalaman Usahawan
» Kepayahan Fezcala Impact terbayar
Kepayahan Fezcala Impact terbayar
Written By kall on Friday, 30 November 2007 | 20:21
MEMANCING kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan yang belum begitu di kenali iaitu hiasan dalaman, pada tahun 90an yang lalu, pasti cabarannya lebih besar berbanding memulakan perniagaan yang sudah dikenali dan jelas perkhidmatannya seperti dobi atau kelas tuisyen.
Perkhidmatan yang ketika itu dilihat terlalu remeh dan hanya dilakukan oleh pihak yang kaya raya, boleh dilakukan oleh sesiapa saja menerusi sentuhan cita rasa sendiri atau dengan hanya meniru apa yang terpapar dalam majalah, antara cabaran perlu dihadapi Pengarah Fezcala Impact Sdn Bhd, Fauzeah Yusof.
Bagaimanapun kepayahan itu sebaliknya memiliki hikmah tersendiri. Katanya, cabaran itulah akhirnya membawa nama syarikat cepat terkenal kerana tidak banyak yang menerokai bidang berkenaan menjadikan persaingan kurang rumit.
"Saya tahu perniagaan itu agak sukar pada peringkat permulaannya kerana di negara ini ia belum begitu dikenali. Malah ada yang berpendapat ia tidak memberi jaminan masa depan tetapi saya ingin pastikan apa yang diperkatakan itu adalah tidak benar sama sekali. Selain tanggapan orang ramai, ada pengeluar fabrik enggan menjual kepada syarikat kecil kerana tidak mahu eksklusif produk ditawarkan tampak murah.
"Saya akui dua tahun pertama membuka syarikat kecil di Taman Tun Dr Ismail berbekalkan modal RM5,000 membeli mesin jahit, saya kerja memang tidak kenal penat lelah. Kata orang asal ada saja tempahan saya pasti akan siapkan sendiri tetapi apabila semakin ramai pelanggan yang percaya dengan hasil kita, maka saya memberanikan diri mengupah pekerja," katanya ketika ditemui di syarikatnya di Kampung Pandan baru-baru ini.
Fazcala Impact syarikat menjurus kepada hiasan dalaman ditubuhkan pada 1994 lalu melebarkan sayapnya dalam pengubahsuaian pada 1999. Antara projek dijayakan termasuk hiasan dalaman dan luaran hotel, resort dan pejabat.
Bekas pramugari penerbangan Malaysia ini berkata, keberaniannya membuka perniagaan hanyalah berdasarkan minat dan gerak hati. Katanya, tujuh tahun berkhidmat sebagai pramugari membawanya ke merata destinasi, tetapi setiap lokasi di lawati, premis dan butik hiasan dalaman adalah tempat pertama dikunjungi.
"Apa yang saya peroleh hari ini bukanlah yang saya betul-betul terbayangkan sejak kecil dulu sebenarnya, kerana semasa di bangku sekolah saya menanam cita-cita menjadi pramugari kerana terbayangkan peluang terbang ke seantero dunia. Tetapi minat dalam hiasan dalaman berkembang seiring usia.
"Berbekalkan sedikit ilmu menjahit yang saya peroleh saya mengambil upah menjahit secara sambilan, dan dikalangan rakan-rakan terdekat memang saya terkenal dalam kerja halus ini. Sedikit demi sedikit saya sudah terbayang membuka perniagaan dalam bidang berkaitan dan sebagai keperluan untuk lebih maju, saya mengambil kursus hiasan dalaman di London selama dua tahun. Dengan ilmu dan minat akhirnya saya membuka syarikat sendiri," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Sungguhpun begitu syarikatnya kini boleh menarik nafas lega kerana bukan saja dikenali tetapi banyak menerima kontrak daripada sektor korporat. Bersama keupayaan lebih 12 tenaga kerja muda, beliau mempunyai sistem pengkhususan supaya setiap pekerja mahir dalam bidang tugas masing-masing selain mengelakkan berlaku masalah di kemudian hari.
"Ketika mula membuka syarikat dulu saya tidak arif mengenai bidang tugas, menjadikan seorang pekerja melakukan banyak tugas termasuk menguruskan projek, membeli fabrik dan sebagainya yang mana akhirnya pekerja berkenaan bukan saja tahu mencari peluang sebaliknya terus mengambil alih projek dengan membuka syarikat hiasan dalaman mereka sendiri.
"Benar itu pengajaran dan hari ini bila sistem pengurusan sudah semakin baik, walaupun kita tidak berada di dalam negara, tetapi masing-masing tahu bidang tugas masing-masing menjadikan tidak wujud masalah kerja. Saya memantau projek dan berhubung dengan pelanggan dan tugasan yang lain pekerja saya uruskan," katanya.
Katanya, tidak dinafikan segelintir pihak menganggap hiasan dalaman tidak penting tetapi bak kata 'rumahku syurgaku' sentuhan dalaman itu adalah adalah elemen paling mustahak untuk menghidupkan sesuatu ruang agak tampak bermaya, hidup dan tidak jemu berada di dalamnya.
"Sungguhpun arif dalam hiasan dalaman, kita bukan paksa pemilik rumah mengikut cita rasa kita, sebaliknya bertanyakan konsep rumah berkenaan, dan cara hidup isi rumah itu, sebelum menyarankan apa yang perlu dan sesuai untuk mereka pilih. Sekiranya apa yang pelanggan minat itu mungkin tidak sesuai, barulah kita memberikan idea yang lain pula.
"Saya sama sekali tidak bersetuju hiasan dalaman itu satu pembaziran. Rupa dan keadaan rumah yang elok itu sudah pasti memberikan satu ketenangan kepada pemiliknya. Kunci jaya menghasilkan hiasan dalaman yang baik pula tidak semestinya melaburkan sejumlah yang besar kerana yang paling mustahak ialah pandangan mata. Sekiranya mata berkenan maka sudah pasti memuaskan pemiliknya," katanya.
Katanya, salah satu resepi untuk berjaya dalam dunia perniagaan ialah memvisualkan masa depan dalam bidang yang diceburi, mengangankan apa yang dicitakan untuk direalisasikan pada masa yang sudah pun anda tetapkan.
"Saya tidak membayangkan untuk menjadi wanita yang kaya raya. Pada saya apa yang saya peroleh hari ini mencukupi tetapi yang menjadi kepuasan dalam diri saya ialah apabila membuka syarikat, saya berkongsi dengan orang lain yang mana membuka pintu rezeki kepada pekerja saya. Inilah kepuasan yang sebenarnya," katanya.
INFO:
Nama : Fezcala Impact Sdn Bhd
Alamat : No 11-1 Jalan 2/76 C, Desa Pandan, Kuala Lumpur
Tel : 03-9284 6515
0 comments:
Post a Comment