Home » » Sarabata bukti Melayu boleh terajui pembinaan

Sarabata bukti Melayu boleh terajui pembinaan

Written By kall on Wednesday, 17 October 2007 | 22:16

Bata keluaran syarikat Bumiputera bermutu, kurang kos tenaga

SARABATA Sdn Bhd, pengeluar bata berkualiti tinggi yang tidak menggunakan pasir, yakin produk keluarannya mampu menangani pelbagai masalah dalam industri pembinaan.

Bata yang dihasilkan syarikat usahawan Bumiputera itu hanya menggunakan campuran simen, air dan bahan kimia, terbukti bermutu serta disahkan Sirim Berhad.

Keluaran syarikat itu, dipercayai yang pertama di negara ini mempunyai ciri menarik iaitu kalis api, terapung dalam air dan ringan, boleh dipaku dan dipotong tanpa merosakkan bata.



Pengarah Teknikalnya, Ali Omar, berkata produk keluaran syarikat itu boleh menangani masalah dalam sektor pembinaan seperti kekurangan pasir, menjimatkan penggunaan tenaga kerja serta kos.

Bata yang diciptanya pada 1993 juga lulus ujian rintangan api yang dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta dipatenkan atas namanya pada 1977.

Penggunaan bata itu juga dapat menjimatkan kos pembinaan rumah dan bangunan sehingga 40 peratus kerana penggunaan bata dapat dikurangkan dan kerja boleh disiapkan lebih cepaSehubungan itu, Ali menjelaskan penggunaan buruh bagi projek yang menggunakan bata keluaran syarikatnya dapat dikurangkan, sekali gus mengurangkan pergantungan kepada buruh asing.

"Bata ini amat sesuai dalam sektor pembinaan negara yang kini dalam proses menggunakan Sistem Industri Pembinaan (IBS)," katanya ketika ditemui di kilangnya di kawasan industri kecil sederhana (IKS) Perda Tasek, Seberang Prai Selatan, Pulau Pinang.

Ketika ini, syarikat itu mempunyai dua mesin dicipta Ali, yang mampu mengeluarkan sebanyak 1,000 keping bata sehari.

Mesin pertama dihasilkan kepada 2003 dengan kos RM600,000, manakala mesin kedua yang berharga RM1.5 juta, beroperasi pada Ogos tahun lalu. Mesin kedua mempunyai kapasiti mengeluarkan bata sebanyak 10,000 keping sehari.

Syarikat itu yang mempunyai 10 pekerja, mencatatkan jualan bernilai kira-kira RM70,000 sebulan.

Ali atau lebih dikenali sebagai Pak Ali berkata, satu daripada mesin berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 10,000 keping bata sehari, tetapi tidak beroperasi mengikut keupayaan sebenar.

Katanya, syarikat itu menghadapi masalah kekurangan modal yang mengehadkan kegiatan pengeluaran bata secara besar-besaran, walaupun mendapat sambutan menggalakkan daripada pemaju perumahan di seluruh negara.

Malah, beliau pernah mendapat pertanyaan daripada beberapa syarikat di luar negara termasuk membentangkan kertas kerja mengenai produk itu di United Arab Emiriah, Arab Saudi dan Kenya.

"Bagaimanapun, kami tidak mampu mengeluarkan bata secara besar-besaran kerana tiada modal," katanya sambil menambah pihaknya berminat untuk bekerjasama dengan mana-mana syarikat bagi menghasilkan bata.

Ali berkata, pihaknya merancang mengemukakan cadangan kepada kerajaan untuk menggunakan bata berkenaan dalam projek perumahan kos rendah di negara ini kerana terbukti menjimatkan kos.

"Oleh kerana penggunaan bata ini dapat menjimatkan kos, ia amat wajar dilaksanakan di negara ini," katanya.
t.

0 comments: