Home » » Jutawan Pizza

Jutawan Pizza

Written By kall on Monday 1 October 2007 | 16:24



Sharifah Rofiah tidak jemu cipta pelbagai resipi makanan popular dari Itali

IKLAN pizza dalam televisyen kira-kira 25 tahun lalu memberi inspirasi dan keyakinan kepada wanita ini betapa makanan Itali itu bakal menjadi kegemaran warga Malaysia pada suatu masa akan datang.

Bermula saat itu, beliau memasang cita-cita untuk menjadi penguasa dalam bidang pembuatan pizza sebelum ada orang lain yang memulakan perniagaan terbabit.
Sharifah Rofiah Syed Hassan, 44, merealisasikan impiannya menjadi pengeluar pizza sejak 1997 apabila mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di kediamannya di Bangi dengan dibantu dua pekerja.

Berbekalkan bakat serta ilmu kursus membuat kek dan pizza yang dipelajarinya ketika berada New Zealand pada awal 1990-an, menjadikan beliau lebih bertekad dan berkeyakinan untuk menjalankan perniagaan pizza.

Tidak cukup dengan itu, Pengarah Urusan Pizza Foods Sdn Bhd itu turut mendalami bidang makanan dengan mengambil sijil masakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk memastikan pizza yang dihasilkan lebih sedap dan menepati cita rasa pengguna.
Dengan modal permulaan RM10,000 serta berbekalkan sebuah mesin pengeluaran dan ketuhar, Sharifah Rofiah berniaga pizza sejuk beku untuk diedarkan ke sekolah dan kedai runcit serta rakannya di kawasan sekitar.

Malah, beliau tidak pernah jemu untuk mencipta pelbagai resipi pizza dan sentiasa mengubahsuainya berdasarkan cita rasa masa kini serta komen rakan yang mencuba masakannya.

"Ketika itu, saya terpaksa berhutang dengan orang Cina bagi membeli ketuhar dan mesin memproses pizza untuk berniaga. Namun, ia tidak sedikit pun menjejaskan semangat saya untuk menjadi pengeluar pizza yang berjaya satu hari nanti.

"Pada masa sama, saya turut mengusahakan perniagaan donut, kek dan kuih tradisional. Ada kalanya saya rasa tidak mampu memenuhi permintaan yang tinggi memandangkan ketika itu perniagaan dan pengeluaran pizza dilakukan dari rumah," katanya ketika ditemui di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Selepas enam tahun, Sharifah Rofiah mula mengembangkan sayap perniagaan Pizza Foods dengan membuka kafe dan pusat pengeluaran pizza di Jalan Hentian 4, Pusat Hentian Kajang, Selangor.

Beliau turut dibantu suaminya, Syed Mohamed Syed Ibrahim dalam hal urusan syarikat dan pemasaran.

Kini, Pizza Pah sudah mampu mengukir nama dengan mempunyai rangkaian kiosk di Kompleks Pernas Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Kompleks PKNS, Bangi selain sembilan wakil pengedar pizzanya di sekitar Lembah Klang.

Dilahirkan dalam keluarga ahli perniagaan, Sharifah Rofiah telah diasuh dalam bidang perniagaan sejak kecil lagi. Justeru, beliau sentiasa percaya semangat cekal dan kesabaran akan membuahkan kejayaan dan rezeki yang murah.

"Arwah bapa adalah ahli perniagaan yang berjaya dan terkenal di Rantau Panjang, Kelantan. Beliau mengusahakan pelbagai jenis perniagaan dan saya kagum dengan semangatnya.

"Sejak berusia enam tahun lagi, saya dan adik-beradik yang lain sudah dilatih untuk berniaga. Bayangkan usia sekecil itu, saya membawa beg sekolah yang berat berisi buah untuk dijual kepada rakan," kata Sharifah Rofiah.

Katanya, beliau sentiasa ingat pesanan arwah supaya sentiasa menepati janji dalam menjalankan perniagaan dan jika berniaga tetapi masih belum membuahkan hasil, tidak mengapa.

Sharifah Rofiah bukan saja pandai memasak, malah beliau turut mempunyai bakat yang terserlah dalam bidang solekan dan kecantikan. Semasa menetap di Kelantan dulu, beliau berniaga alat kosmetik dan kosmetik, selain menjalankan perkhidmatan menyolek pengantin.

Selepas empat tahun, Sharifah Rofiah dan suaminya berpindah ke Bandar Baru Bangi kerana mengikut suami yang menyambung pengajian dan seterusnya bekerja di kawasan baru itu.

"Pada mulanya, saya mahu mengambil kursus kecantikan di UPM atas sebab yang tidak dapat dielakkan, hasrat itu terpaksa dilupakan. Jadi, saya pun mengambil kursus masakan saja," kata ibu kepada empat orang anak itu.

Mengimbas pengalaman lalu, katanya, beliau menghabiskan banyak masa untuk mencipta resipi pizza yang terbaik dan hanya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyiapkan satu resipi.

Sharifah Rofiah berkata, kini Pizza Pah mempunyai pelbagai menu pizza berasaskan daging dan ayam, selain komponen pizza seperti toppings dan pizza base yang dikeluarkan sendiri syarikat berkenaan.

"Pizza Pah adalah rangup semasa panas dan lembut apabila sejuk. Terkini, kami turut memperkenalkan Pizza Cheesy Rich Topping yang mendapat sambutan menggalakkan di pasaran," katanya.

Untuk memastikan kelancaran perniagaan dan mutu produk terjamin, beliau akan sentiasa memastikan edaran pizza hanya menerusi rangkaian kedai terpilih.

Mengenai rancangan perniagaannya, Sharifah Rofiah berkata syarikat kini sedang menaik taraf kilang sedia adanya sebagai langkah meningkatkan kapasiti pengeluaran pizzanya.

"Kini perniagaan Pizza Pah yang bermula dari rumah semakin berkembang, dan kami rasakan perlu untuk menaik taraf kilang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Malah, Pizza Pah juga sudah bersedia ke pasaran eksport memandangkan kualiti produk yang terjamin selain ada permintaan antaranya dari Asia Barat dan negara jiran," katanya.

INFO
Pizza Pah

* Sharifah Rofiah memulakan perniagaan pizza dengan modal RM10,000 selain mesin danketuhar bagi mengedarkan pizza sejuk beku ke sekolah dan kedai runcit
* Sharifah Rofiah mengambil sijil masakan di UPM bagi memastikan pizza keluarannya enak dan menepati cita rasa pengguna semasa
* Pizza Foods Sdn Bhd menghasilkan pelbagai menu pizza berasaskan daging dan ayam, selain komponen pizza seperti toppings dan pizza base serta yang terbaru Pizza Cheesy Rich Topping
* Kilang Pizza Pah di Pusat Hentian Kajang kini mengeluarkan kira-kira 2,000 keping pizza sehari
* Pizza Foods bercadang bina kilang kedua di Selayang, Selangor bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran sehingga 10,000 keping sehari
* Pizza Foods rancang eksport Pizza Pah ke Asia Barat, India, Brunei dan Singapura
* Rancang labur kirakira RM200,000 untuk membuka empat lagi kiosk di sekitar Lembah Klang tahun ini
* Selain kafe Pizza Pah di Kajang, ia turut mempunyai kiosk di Kompleks Pernas Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Kompleks PKNS, Bangi selain sembilan wakil pengedar di sekitar Lembah Klang
* Sharifah Rofiah menghasilkan sendiri resipi produk keluaran Pizza Pah
* Sebelum membuka perniagaan pizza, Sharifah Rofiah menjual kosmetik disamping menawarkan khidmat menyolek pengantin