Home »
Pengalaman Usahawan
» Butik SAIF satu di Malaysia
Butik SAIF satu di Malaysia
Written By kall on Friday 26 October 2007 | 11:15
JAUH perjalanan luas pandangan. Penubuhan Butik SAIF yang menawarkan pakaian lelaki daripada fabrik linen pertama di Malaysia adalah bukti kesungguhan pemilik yang juga Pengarah Urusannya, Saiful Sidek Abdullah sekembalinya beliau daripada lawatan ke Eropah, beberapa tahun lalu.
Meskipun, pemilik Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sains Politik dan Psikologi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini, berpengalaman luas dalam selok-belok perniagaan seperti mengendalikan restoran makanan segera, mengurus resort percutian milik keluarga, mengusaha kedai busana Muslimah, memiliki gerai makan dan bergelar kontraktor, ia bukan titik noktah baginya untuk terus membina empayar perniagaannya sendiri suatu masa kelak.
Ikuti wawancara wartawan, ZUARIDA MOHYIN tentang rahsia kejayaan beliau mengusahakan Butik SAIF yang beribu pejabat di Taman Setia Indah, Johor Bahru serta cawangan butik di Blok J-03-1, Jalan SS6/18, Dataran Glomac, Pusat Bandar Kelana Jaya, Selangor dan bakal beroperasi sementara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO yang akan berlangsung pada awam November ini.
MEGA: Bagaimanakah perniagaan saudara bermula dan apakah keistimewaan yang ditawarkan kepada pelanggan?
SAIFUL SIDEK: Butik SAIF lahir daripada minat saya sendiri yang memang gemar memakai baju daripada fabrik linen. Saya telah buat pemerhatian dan mendapati, belum ada perniagaan, khususnya untuk kemeja lelaki linen di pasaran tempatan. Kalau ada pun ia hanyalah produk sampingan serta corak yang agak terhad kepada satu warna sahaja pada satu-satu kemeja.
Berbeza di Butik SAIF, selain kami yang pertama di Malaysia mengkhusus kepada kemeja linen, pelanggan turut ditawarkan dengan pelbagai reka bentuk dan corak yang menarik serta belum terjual di mana-mana kedai di Malaysia. Ini bermaksud, kami menyediakan kemeja linen dari Itali dan India yang eksklusif dalam erti kata, kemeja linen yang dibeli itu hanyalah terdapat sehelai sahaja di Malaysia.
Pembeli perlu difahamkan bahawa linen mempunyai pelbagai kategori dan mutu. Di Butik SAIF, kami hanya memilih fabrik linen dari Itali dan India. Ini kerana, ia cukup selesa dan menyejukkan si pemakai. Tidak seperti yang berkualiti rendah, walaupun harganya murah ia tidak selesa dipakai kerana keras dan terasa miang.
Saya mengalu-alukan kunjungan orang ramai ke Butik SAIF dan alami sendiri bagaimana ketinggian kualiti tersulam indah bersama kehalusan mutu dan keunggulan gaya. Butik SAIF boleh dihubungi di talian telefon dan faksimile 03-7805 5400
Bagaimana pula dari segi harga kerana apa yang kita ketahui fabrik linen agak mahal. Jadi bagaimana saudara menyesuaikan harga dengan kemampuan membeli rakyat Malaysia?
SAIFUL SIDEK: Kemeja linen jenama SAIF dijual dari harga RM150 hinggalah ke RM800. Bagi peminat setia linen, mereka mengetahui bahawa harga yang kami tawarkan ini sangatlah berpatutan. Kalau yang kurang berminat, harga RM100 pun dikatakan mahal. Walaupun ada daripada harganya mencecah RM800 namun ia masih murah jika dibandingkan dengan lain-lain tempat yang boleh mencecah sehingga melebihi RM1000 sedangkan, corak dan warnanya satu sahaja. Di Butik SAIF, sebagaimana yang dikatakan tadi, kombinasi warna dan corak amat menarik dipakai.
Apakah usaha yang dijalankan untuk mengembangkan lagi perniagaan atau perancangan akan datang?
SAIFUL SIDEK: Usaha yang dijalankan adalah untuk membuka cawangan-cawangan di seluruh negara. Di samping itu juga, saya sudah pun mula menghasilkan kemeja linen ini di Malaysia dengan membawa masuk fabrik mentah dari Eropah dan India dan dijahit di sini dengan corak eksklusif Butik SAIF. Jadi produk ‘glokal’ lah, iaitu bahan mentahnya dari luar tapi produk siapnya berteras dan lahir di Malaysia.
Saya juga dalam perancangan untuk membuat corak batik di atas fabrik linen ini. Walaupun masih terlalu awal, namun ia memang di dalam perancangan jangka panjang iaitu memfrancaiskan perniagaan ini. Di samping itu, saya juga akan cuba untuk mengeksport ke luar negara seperti ke Eropah, Rusia, Afrika Selatan dan negara-negara Timur Tengah. Ini kerana, negara-negara ini mempunyai ramai peminat-peminat kemeja linen.
Saya juga akan mula memperkenalkan kemeja untuk kanak-kanak lelaki jadi coraknya mungkin akan dibuat sedondon dengan ayahnya atas jenama SAIF Jr.
Dalam apa juga bidang yang diceburi soal cabaran memang tidak boleh lari. Lantaran itu, bagaimana saudara melihat hal ini secara positif agar ia menjadikan seseorang usahawan itu lebih matang, mampu bersaing serta terus bertahan? Bukan sebaliknya.
SAIFUL SIDEK: Saya berpegang kepada satu prinsip iaitu kita mesti berikhtiar semaksimum mungkin untuk menghadapi cabaran dalam perniagaan. Janganlah apabila gagal, kita menyalahkan takdir. Dalam pemahaman saya, konsep takdir itu, ia bergantung kepada sebab-akibat iaitu kalau kena sebab-akibatnya maka Allah akan menyempurnakan takdirnya.
Kalau malas berusaha, ilmu tak mencukupi, tidak buat kajian pasaran, boros apabila dah berjaya maka sebab akibat ini akan menyempurnakan takdirnya iaitu, gagal. Itulah pegangan saya selama ini.
Kita masih ada ikhtiar, iaitu kita masih ada pilihan untuk takdir kita. Allah Maha Adil, sebab itu kita lihat walaupun seseorang itu bukan beragama Islam namun kerana usahanya, Allah beri juga kejayaan kepadanya kerana sebab akibat tadi. Pendek kata, kalau masih tak berjaya atau gagal, maka kita kena muhasabah diri kita apakah yang kita lakukan ini betul atau sebaliknya. Di sini perlu ilmu dan kegigihan. Selebihnya, perbanyakkan doa dan tawakal.
Semenjak berkecimpung dalam dunia perniagaan, kepuasan yang bagaimanakah yang diperoleh dalam bidang ini?
SAIFUL SIDEK: Bercakap mengenai kepuasan, saya percaya faktor minat mesti nombor satu. Saya seorang yang minat bereksperimen serta berinovasi. Misalnya, sebagai seorang kontraktor, ia melibatkan kerja-kerja kreativiti dalam pengubahsuaian rumah atau pejabat, saya sering memberikan idea-idea kepada pelanggan. Saya juga bakal menjadi seorang penulis buku yang akan diterbitkan tidak lama lagi dan sekarang ini saya membuat perniagaan kemeja linen juga memerlukan saya kreatif dalam memilih corak-corak serta reka bentuk yang menarik. Jadi, minat ini apabila dapat direalisasi dalam perniagaan yang saya ceburi ini, maka di situlah letaknya kepuasan.
Sebagai seorang korporat Muslim, bagaimana pandangan saudara berkaitan saranan Islam iaitu 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan?
SAIFUL SIDEK: Di dalam dunia sekarang ini, kita tidak boleh lari daripada dunia perniagaan. Malah dalam mentadbir negara pun perlu pandai dalam perniagaan dalam erti kata yang lebih luas iaitu ilmu ekonomi. Saya sering berkata kepada pekerja-pekerja saya, 9/10 punca rezeki itu adalah melalui perniagaan. Mereka bertanya balik, habis mereka yang makan gaji ini bagaimana? Saya katakan bahawa saya menawarkan komisen kepada mereka atas setiap kemeja yang terjual, di situ letaknya elemen perniagaan iaitu ada peningkatan pendapatan atas setiap produk yang terjual.
Oleh yang demikian, mereka tidak hanya mendapat gaji pokok, malah pendapatan mereka akan bertambah melalui komisen yang mereka peroleh. Ini suatu bentuk perkongsian dan ia adalah perniagaan sebenarnya.
Kesimpulannya, 9/10 punca rezeki adalah melalui perniagaan ini adalah hakikat yang tidak dapat kita tolak kerana semua orang boleh terdedah dengan dunia perniagaan cuma bagaimana kita mengolahnya agar jadi suatu bentuk perniagaan yang harus kita rebut.
Apakah yang mampu dibuktikan atau dilakukan oleh seseorang usahawan Muslim apabila sudah berada di puncak kejayaan demi pembangunan umat Islam, khasnya dan negara, amnya?
SAIFUL SIDEK: Semua umat Islam mempunyai taklifnya masing-masing . Seorang tukang kebun misalnya mempunyai taklif (tanggungjawab agama) menjaga kebun atau tanaman agar tumbuh dengan baik. Seorang pemandu bas mempunyai taklif membawa bas agar sampai ke destinasi dengan selamat. Begitu juga usahawan Muslim.
Bagi saya, seseorang usahawan Muslim bukan sahaja mempunyai taklif untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga, dia juga mempunyai taklif untuk sama-sama membangun umat Islam dan negara. Caranya, bergantung kepada taklif semasanya. Misalnya, bila seseorang itu memperoleh untung sekian banyak, pertama taklifnya adalah untuk mengeluarkan zakat, tetapi dia juga bertaklif untuk membangun usahawan-usahawan yang belum berjaya bilamana sampai pada satu tahap tertentu seperti berkongsi pengalaman atau membuka kolej perniagaan, misalnya.
Kita jangan lupa, zakat adalah suatu taklif untuk pembersihan harta kita sahaja, kita masih mempunyai taklif untuk membantu sesama umat Islam dalam bentuk yang lain seperti membasmi kemiskinan dan mewujudkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan. Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang bermaksud “Barang siapa tidak mengambil berat hal ehwal umat Islam, maka ia bukan di kalangan umat Islam.”
Jika perkara ini ditekankan kepada usahawan-usahawan yang telah berjaya, maka umat Islam akan membangun dengan pesatnya.
1 comments:
this hyperlink replica bags in gaffar market Louis Vuitton fake Bags replica goyard bags great post to read replica bags philippines
Post a Comment