Home » » Islam anjur adil, jujur dalam urusan jual beli berdasar kepentingan pengguna

Islam anjur adil, jujur dalam urusan jual beli berdasar kepentingan pengguna

Written By kall on Monday 29 October 2007 | 09:56


KETENTUAN dan perundangan Islam menetapkan adanya satu garis panduan mengenai kegiatan urus niaga dan sistem jual beli (muamalat), kerana dalam saat kebangkitan Islam pada zaman Rasulullah SAW kegiatan perdagangan dan perniagaan berkembang dengan pesat sekali.

Agama Islam yang suci menganjurkan supaya segala kegiatan urus niaga serta jual beli hendaklah dilakukan tidak hanya dengan niat semata-mata untuk memburu keuntungan komersial saja, tetapi apa yang ditekankan ialah dunia perniagaan mengambil kira kepentingan pengguna.

Peniaga yang adil, jujur dan ikhlas akan diberi keberkatan serta hikmah. Sabda Nabi Muhammad SAW: "Bahawa sembilan daripada sepuluh punca rezeki itu datangnya dari perniagaan serta jual beli." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Sabda Baginda lagi: "Adapun sebahagian daripada isi neraka Wail di akhirat kelak adalah terdiri daripada peniaga yang menipu atau mengurangi timbangan." (Hadis riwayat Muslim)

Perniagaan adalah bidang rezeki yang memerlukan kekuatan semangat dan kegigihan di samping menuntut keupayaan dalam bentuk kewangan serta modal. Perniagaan tidak saja berpotensi memberikan keuntungan serta pulangan lumayan, tetapi kerap kali membawa risiko getir dan pahit.

Disebabkan dorongan inginkan faedah atau keuntungan besar, ada peniaga mengambil kesempatan menipu atau menaikkan harga barang serta seribu satu helah yang akhirnya tentu saja akan menyusahkan pengguna.

Sehubungan itu, Islam jelas menuntut supaya peniaga menanamkan semangat kejujuran dan keikhlasan dalam urus niaga serta jual belinya untuk mendapat keberkatan serta ganjaran pahala yang besar oleh Allah.

Peniaga yang bertindak menipu, tidak jujur dan curang atau melakukan penyelewengan tipu daya serta mengurangkan sukatan/timbangan akan dijanjikan balasan dosa serta seksaan neraka yang pedih.

Suatu hari dalam perjalanan melalui sebuah pasar tempat tumpuan orang ramai membeli-belah, Nabi Muhamad SAW tiba-tiba menyentuh sebiji daripada longgokan buah-buahan yang dijual seorang peniaga Quraisy.

Sebaik buah itu disentuh Nabi SAW dengan jari beliau, maka didapati buah itu hampir lembik dan rosak. Nabi Muhammad SAW lalu memanggil tuan gerai itu seraya bertanya: �Apakah kamu sudah menjualkan buah-buah yang rosak ini sama harganya dengan buah-buah yang elok?

Peniaga itu cuba menyembunyikan ketakutan kerana sebelum itu dia bertindak mencampuradukkan buah yang baik dengan buah yang rosak lalu dijual dengan harga yang serupa. Lalu Nabi SAW cepat-cepat mengarahkan peniaga itu segera mengasingkan buah baik dan yang rosak supaya buah rosak diturunkan harganya.

Pernah seorang bertanya kepada Nabi SAW: "Saya ke pasar membeli buah, tetapi selepas cukup timbangannya tiba-tiba kelihatan sang peniaga itu dengan sengaja menyisihkan sebiji buah itu daripada bungkusannya, maka benarkah peniaga itu beruntung ya Rasulullah?

Lalu menjawab Nabi Muhammad SAW: "Sesungguhnya peniaga itu tidaklah mendapat apa-apa untung, sebaliknya tukaran daripada sebiji buah disisihkannya itu ialah bahang kepanasan api neraka."

Demikianlah beratnya hukuman ditetapkan perundangan Islam terhadap kesalahan menipu, menyeleweng atau mengurangkan sukatan dan timbangan dalam perniagaan kita sehari-hari. Namun, apakah kalangan peniaga kita hari ini mengambil iktibar daripadanya.

Suatu hal yang kurang dipraktikkan dalam urus niaga kita sekarang ini ialah sikap ambil ringan terhadap �akad� jual beli. Selesai urusan jual beli dan pertukaran barang antara peniaga serta pembeli, perlu bagi masing-masing mengucapkan 'saya jual' dan 'saya beli'.

Melalui akad itu, bererti kedua-dua pihak iaitu pembeli atau penjual sama-sama berpuas hati dengan segala bersangkutan dengan harga, mutu barangan supaya selepas itu tidak ada sebarang kekecohan berbangkit mengenai pembelian dan penjualan hingga boleh menimbulkan kekecohan antara kedua belah pihak.

Berdasar pandangan Islam, adalah tidak wajar kerana hendak mencari keuntungan besar atau demi memberikan jaminan terhadap mutu barangnya, peniaga bersumpah. Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya bersumpah-sumpah dengan nama Allah akan melakukan (melariskan) barang yang dijual, tetapi ia menghapuskan berkat dan rezeki."

Dalam sebuah hadis lain Nabi Muhammad SAW bersabda: "Pedagang dan peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak dengan menanggung beraneka kesalahan, melainkan peniaga yang bertakwa, jujur serta ikhlas dalam perniagaannya akan dilapangkan jalan ke syurga."

Perbuatan menyorokkan barang atau menyembunyikan barang dengan niat menjual pada kadar harga tinggi adalah kesalahan yang besar dosanya.

Lantaran itu Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: "Barang siapa antara peniaga yang menyorokkan barang selama 40 malam, maka hilanglah perhatian serta rahmat Allah terhadap urus niaganya."

Walaupun jelas keuntungan menjadi buruan peniaga dalam urusan jual-belinya, namun peniaga yang rela hati serta reda memberikan 'kelonggaran' atau menerima tawar-menawar dari pembeli serta pengguna akan mendapat kerahmatan Allah.

Usaha dalam perniagaannya akan diberkati, sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Nescaya Allah akan menurunkan rahmat pada tiap hambanya yang bertolak ansur ketika menjual, membeli dan ketika menagih hutang."

Di samping kepentingan urus niaga dan jual beli, maka sedekah juga adalah sesuatu yang dituntut Islam di samping kemurahan hati kita memberikan kebenaran seseorang pembeli atau pelanggan kita berhutang.

Sekembalinya dari Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Bahawa aku sudah melihat di pintu syurga pada ketika aku dinaikkan ke langit, bahawa pinjaman dan memberikan hutang pahalanya meningkat hingga lapan belas kali ganda."

Segala urusan jual beli yang kita lakukan dalam kehidupan seharian sentiasa mendapat perhatian dan ganjaran pahala daripada Allah. Jika lakukan dengan jujur, ikhlas serta penuh rasa bakti terhadap sesama insan, kita berupaya membentuk masyarakat peniaga dan pengguna yang sihat dan stabil untuk kemajuan ekonomi negara.

0 comments: