Home » » Jutawan Printing Fitco Holdings

Jutawan Printing Fitco Holdings

Written By kall on Monday 29 October 2007 | 21:50


Pengarah Urusan Fitco sanggup berhenti kerja bagi ceburi bidang perniagaan

TEMPAHAN pertama yang diterimanya ketika mula berjinak-jinak dalam perniagaan kira-kira 20 tahun lalu ialah membekalkan 10,000 kain rentang ketika pilihan raya umum pada 1986.

Beliau yang ketika itu bekerja di bahagian perhubungan awam di Bank Islam (M) Bhd, mengambil cuti tanpa gaji semata-mata mahu menyiapkan tempahan itu.



"Pada mulanya saya mahu melantik ejen untuk menyiapkannya tetapi tiada yang sesuai, justeru, saya bersama isteri nekad melakukannya sendiri.

"Kami ambil pekerja sambilan dan bekerja 17 hari 17 malam untuk menyiapkan kain rentang yang ditempah," kata Pengarah Urusan Fitco Holdings Sdn Bhd, Ismail Md Noor.

Hasil yang diraih daripada tempahan pertama itu menguatkan lagi semangat beliau untuk terus membabitkan diri dalam bidang perniagaan.
Namun, beliau tidak terus berhenti kerja, sebaliknya hanya terbabit secara separuh masa membantu isteri jika menerima tempahan.

Setahun kemudian, sekembalinya daripada mengerjakan haji, Ismail mencuba nasib menyertai tender membekalkan gelang pengenalan kepada jemaah haji dan sehingga kini, Fitco adalah satu-satunya syarikat yang membekalkan gelang pengenalan itu kepada Tabung Haji.

Perniagaan syarikat yang semakin berkembang akhirnya mendorong Ismail meletak jawatan di BIMB pada 1990 bagi membolehkannya menumpu sepenuh masa kepada perniagaan.

Beliau dan isteri menyewa lot kedai di Jalan Ipoh. Perniagaannya semakin berkembang dengan menerima pelbagai tempahan daripada agensi kerajaan serta syarikat swasta.

Bagaimanapun seperti kata pepatah ‘langit tidak selalu cerah’ Ismail berdepan kejutan pertama pembabitannya dalam perniagaan apabila tingkat bawah dan tingkat tiga bangunan yang menempatkan kedai syarikatnya terbakar pada Julai 1996.


"Kami bernasib baik ruang kedai Fitco di tingkat dua tidak terbakar. Pada masa itu kami menerima tempahan membuat baju sempena Hari Merdeka," katanya.

Bagaimanapun bencana itu tidak mematahkan semangatnya. Beliau dan isteri terus memajukan perniagaan diceburi hingga berjaya mempunyai bangunan sendiri di Datuk Keramat kira-kira setahun kemudian.

Ismail berkata, pelbagai pengalaman pahit dan manis yang dilalui menguatkan lagi semangat beliau untuk terus gigih mengembangkan perniagaannya.

Mengamalkan sikap jangan menanggung terlalu banyak hutang, memberi manfaat kepada Ismail.

Tidak terhad kepada perniagaan berkaitan tekstil, Fitco turut menghasilkan pelbagai cenderamata berasaskan kaca, kristal, plastik dan kayu.

"Ketika mula berniaga dulu, isteri saya pernah menangis kerana tiada tempahan," katanya.

Ismail yang berasal dari Titi Gajah, Alor Star, Kedah sebelum ini pernah berhasrat untuk terbabit dalam perniagaan membuat payung.

"Saya melihat perniagaan ini berpotensi besar, malah belum ada syarikat Melayu yang mengusahakannya," katanya yang terpaksa melupakan hasratnya itu atas sebab tertentu.

Bagi beliau pembabitan dalam bidang berkaitan tekstil dan cenderamata berjaya menjadikan Fitco nama yang cukup dikenali di kalangan agensi kerajaan dan korporat.

"Kami menerima banyak tempahan membuat pakaian korporat, kemeja-t, baju seragam, banting, poster, alat tulis yang mempunyai logo syarikat atau agensi kerajaan," katanya.

Antara pelanggan Fitco ialah Kementerian Kesihatan, Jabatan Perdana Menteri, Media Prima Bhd, Felda Holdings Bhd, Ummo, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Caltex dan Petronas.

Beliau menegaskan, modal yang dilabur sedikit demi sedikit telah membawa syarikatnya ke peringkat lebih tinggi dan berkembang dengan mempunyai anak syarikat yang terbabit dalam bidang pengeluaran pakaian, pembekal, pengiklanan dan percetakan.

"Daripada RM30,000 modal syarikat ditambah kepada RM100,000 kemudian meningkat ke RM1 juta. Kini Fitco mempunyai modal berbayar RM3 juta dan dibenarkan RM5 juta," jelasnya.

Katanya, pengalaman ditipu adalah asam garam yang dilalui ahli perniagaan.

"Saya pernah ditipu apabila pelanggan tidak membuat bayaran bagi barang yang ditempah," katanya.

Bagi Ismail, seorang ahli perniagaan yang berjaya perlu mempunyai semangat kental dan tidak mudah berputus asa.

Tegas beliau, pengalaman dilalui sepanjang tempoh berniaga menjadikannya cukup mahir dalam bidang tekstil yang tidak pernah diimpikan sebelum ini.

Menuju hadapan, Ismail mahu terus mengembangkan perniagaan sedia ada menerusi sistem francais bagi menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam bidang tekstil dan pengeluaran cenderamata.

Harapan beliau mahu menjadikan Fitco jenama yang kukuh bukan saja di dalam negara tetapi juga ke peringkat antarabangsa pada masa depan.

INFO
Fitco Holdings



Ismail mula berjinak-jinak dalam perniagaan kira-kira 20 tahun lalu.

Ambil pekerja sambilan dan bekerja 17 hari 17 malam untuk menyiapkan tempahan pertama kain rentang.
Sekembalinya daripada mengerjakan haji, Ismail mencuba nasib menyertai tender membekalkan gelang pengenalan kepada jemaah haji dan sehingga kini.

Meletak jawatan di BIMB pada 1990 bagi membolehkannya menumpu sepenuh masa kepada perniagaan.

Memiliki bangunan sendiri pada 1997 bagi menempatkan semua operasi syarikat.

Daripada RM30,000 modal syarikat ditambah kepada RM100,000 kemudian me ningkat ke RM1 juta. Kini Fitco mempunyai modal berbayar RM3 juta.