Home » » Jutawan Kuih Raya

Jutawan Kuih Raya

Written By kall on Monday 8 October 2007 | 08:47


Syarikat Tuan Sanawi peroleh jualan ratusan ribu ringgit bagi tempoh sebulan menjelang Aidilfitri

BAGI sesetengah individu, membuat dan menjual kuih raya sekadar kerja sampingan, walaupun hakikatnya jika diusahakan dengan tekun, hasil daripada perniagaan ini mampu mencecah ratusan ribu ringgit hanya dalam tempoh sebulan berniaga menjelang musim perayaan.

Pasangan suami isteri, Tuan Sanawi Tuan Ngah dan Fadzilah Yusof membuktikan pengeluaran kuih raya ini boleh dijadikan perniagaan tetap.

Fadzilah yang mewarisi kemahiran membuat biskut dari ibunya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah pada 1998.

Walaupun ketika itu hanya membuat biskut tart dan samperit, tetapi sambutan yang diterima sungguh menggalakkan sehingga beliau terpaksa mengambil pekerja tambahan.

Melihatkan perniagaan yang diusahakan isteri semakin berkembang, pada 2003 Tuan Sanawi dan isteri memberanikan diri mengusahakan perniagaan itu secara sepenuh masa dan menubuhkan syarikat sendiri, Tuan Sanawi Tuan Ngah Sdn Bhd yang beroperasi di lot kedai di Taman Baiduri, Rawang, Muar.

Mereka melabur RM250,000 bagi kilang itu yang diperoleh daripada pinjaman bank dan mengambil 50 pekerja sambilan.

Pemasaran biskut yang sebelum ini dilakukan tanpa jenama, diperkukuhkan dengan menggunakan jenama DelLuscious.

"Bagaimanapun ketika itu, kilang kami tidaklah beroperasi secara berterusan, tetapi hanya beroperasi beberapa bulan menjelang musim perayaan.

"Namun mulai tahun ini, pengeluaran kami beroperasi secara berterusan," katanya sambil menambah syarikatnya kini mempunyai 30 kakitangan tetap.

Tuan Sanawi menegaskan dorongan yang daripada rakan niaga yang bersedia membantu memasarkan produk syarikat, menguatkan lagi semangatnya untuk meluaskan perniagaan biskut.

Selain menghantar sampel biskut ke makmal untuk dianalisis bagi memastikan kandungan nutrisi, aspek pembungkusan turut dipertingkatkan bagi menjamin kualiti disamping menjadikannya lebih menarik.

Biskut yang dihasilkan syarikat itu juga telah menarik minat seorang peniaga berbangsa India yang bersedia memasarkan DelLuscious secara jualan langsung.

"Pada awalnya, beliau berjanji mahu menjual 9,000 kotak biskut dalam tempoh empat bulan, tetapi menariknya semua biskut dapat dijual dalam tempoh satu setengah bulan dengan tambahan 2,000 kotak lagi.

"Melihat kepada sambutan yang diterima, kami yakin produk DelLuscious mampu pergi lebih jauh," katanya.

Beliau berkata, DelLuscious juga sudah menembusi pasar raya Giant.

Februari lalu, Tuan Sanawi dan isteri menyertai pameran makanan di Pakistan bagi meninjau peluang memasarkan produk biskutnya ke luar negara.

"Kami adalah satu-satunya syarikat Malaysia yang menyertai pameran itu dan menerima banyak pertanyaan yang berminat dengan biskut DelLuscious," katanya.

Kini beliau berbangga jenama, DelLuscious bukan saja sudah dipasarkan ke seluruh negara menerusi cawangan Giant, tetapi turut menembusi beberapa pasaran luar iaitu Singapura, India, China, Myanmar dan Ireland.

FAKTA: Tuan Sanawi Tuan Ngah Sdn Bhd

* Mulakan perniagaan menjual kuih raya secara kecil-kecilan yang dimulakan isteri Tuan Sanawi, Fadzilah Yusof di rumah pada 1998.
* Tuan Sanawi mengambilalih perniagaan isteri sebelum menubuhkan syarikat sendiri, Tuan Sanawi Tuan Ngah Sdn Bhd pada 2003 yang beroperasi di lot kedai di Taman Baiduri, Rawang, Muar.
* Melabur RM250,000 bagi kilang itu yang diperoleh daripada pinjaman bank dan mengambil 50 pekerja sambilan.
* Pemasaran biskut yang sebelum ini dilakukan tanpa jenama, diperkukuhkan dengan menggunakan jenama DelLuscious.
* Tuan Sanawi dan isteri menyertai pameran makanan di Pakistan Februari lalu bagi meninjau peluang memasarkan produk biskutnya ke luar negara.
* Jenama, DelLuscious bukan saja sudah dipasarkan ke seluruh negara menerusi cawangan Giant, tetapi turut menembusi beberapa pasaran luar iaitu Singapura, India, China, Myanmar dan Ireland.