Home » » Jutawan Kuih Raya mmm Oven Fresh

Jutawan Kuih Raya mmm Oven Fresh

Written By kall on Monday 22 October 2007 | 10:17


Maznah Dona terus cipta biskut, kek untuk pilihan pelanggan di MMM Oven Fresh

SEBUAH buku mengandungi resipi tradisi yang ditulis tangan milik kakaknya bagaikan 'kitab sakti'. Buku berwarna biru itu menjadi sumber inspirasi kepada wanita ini untuk terus mencuba serta mencipta pelbagai jenis biskut dan kek enak sehingga akhirnya menjadi pilihan pelanggan di premis MMM Oven Fresh.

Sejak berusia 10 tahun, Maznah Dona Mustafa, 47, sudah belajar membuat pelbagai jenis kuih tradisional termasuk semprit, talam serta pau yang diwarisi daripada nenek dan ibunya.

Walaupun sebagai anak bongsu daripada 13 beradik, tugasan di dapur turut menjadi tanggungjawabnya dan beliau tidak pernah rasa kekok kerana tugasan itu sudah menjadi rutin hariannya memandangkan adik beradik lain sibuk dengan pekerjaan dan pelajaran.

"Ketika itu, ibu memang sibuk menguruskan keluarga kami yang besar dan kakak pula dengan kerja dan pelajaran. Menjelang hari raya, bila saya minta ibu buat kuih, dia mesti tidak sempat. Jadi, saya tawarkan diri untuk menerap kuih asalkan ibu sanggup membancuh adunannya.

"Lama kelamaan, saya sendiri membancuh adunan dan kemudian belajar daripada buku resipi lama kepunyaan kakak. Saya memilih resipi mudah yang tidak memerlukan banyak bahan. Kini, saya berjaya mencipta resipi biskut yang enak dan menepati cita rasa pelanggan masa kini," katanya Pengarah Urusan MMM Oven Fresh Sdn Bhd itu ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.

Maznah sehingga kini masih mempraktikkan resipi mudah yang mengguna pakai antara lima hingga bahan, selain tidak menggunakan sebarang bahan pengawet bagi mengekalkan cita rasa dan keenakan biskutnya.

Anak kelahiran Bukit Gelugor, Pulau Pinang itu berpendapat dalam menghasilkan biskut yang terbaik, beliau perlu mengikut sukatan bahan yang betul dan tidak sesekali mengurangkan bahan seperti gula, coklat dan mentega bagi mengekalkan kelazatannya.

"Resipi pertama yang saya cuba dan untuk dikomersialkan ialah coklat oat. Ia bukan saja amat mudah disediakan tetapi sedap dan ternyata amat diminati oleh pelanggan saya.

"Sehingga kini, saya telah menghasilkan 21 jenis biskut termasuk muffin dan kuih tradisional yang saya yakin ia menepati cita rasa pelanggan daripada peringkat dari kanak-kanak hingga orang dewasa," Maznah.

MMM Oven Fresh yang beroperasi sejak lapan tahun lalu, kini mempunyai cawangan di Mydin Mall, Subang Jaya serta dua kiosk di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bazar Ole-ole di Seksyen 18, Shah Alam.

Syarikat itu juga kini mula mengorak langkah dengan mengeksport biskut keluarannya ke luar negara seperti China, Jepun dan United Kingdom mulai awal tahun depan, selain bakal memperkenalkan konsep francais kepada usahawan tempatan.

Begitupun, kata Maznah, graf perniagaannya tidak naik secara mendadak, sebaliknya sama seperti usahawan lain yang terpaksa mengharungi pelbagai rintangan sebelum menikmati kejayaan yang dicapai sekarang.

Beliau yang pernah bekerja sebagai pegawai bank mengambil keputusan berhenti kerja apabila berkahwin dan berkeluarga kerana mahu mengasuh semua anak, termasuk menyusukannya. Namun, minat membuat biskut dan kuih tidak terhenti setakat itu.

"Saya akan membuat biskut sambil jaga anak untuk dijual kepada rakan dan jiran secara kecil-kecilan. Namun, hasilnya tidak sekarang selepas saya melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D), seterusnya dijual di pasaran," katanya.

Maznah berkata, pada masa sama, beliau turut menjalankan perniagaan jualan langsung untuk menambah sumber pendapatan dan rezekinya semakin mencurah-curah, berkat sokongan dan bantuan suaminya.

"Daripada situ, saya mula mempelajari cara untuk menjual, berjumpa dan meyakinkan pelanggan. Akhirnya, saya tekad untuk menjalankan perniagaan kuih sendiri dan sebagai langkah permulaan saya menumpang di kedai kawan di Kompleks PKNS, Shah Alam menjual muffin.

"Saya dapat maklum balas memberangsangkan bagi jualan muffin ini. Bila saya tahu ada pasaran, saya tekad menyewa kedai kecil dengan berbekalkan modal RM5,000. Suami saya turut berhenti kerja untuk bersama-sama mengusahakan perniagaan ini," katanya.

Pada awal perniagaannya, pelbagai keperitan dan kesukaran ditempuhinya dalam usaha memperkenalkan biskut keluaran MMM Oven Fresh. Beliau mengikuti pameran bergerak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan turut menjaja kuihnya di tepi pantai, stadium serta mana saja lokasi yang boleh mendatangkan rezeki yang halal.

"Bukan mudah memperkenalkan MMM Oven Fresh. Malah, saya sendiri yang mereka konsep kedai, logo dan pembungkusan produk. Saya memilih tiga warna teras yang juga bahan asas membuat kuih iaitu kuning melambangkan mentega, perang (coklat) dan putih pula ialah tepung," katanya.

Sepanjang lapan tahun berniaga, Maznah seperti usahawan lain turut berdepan masalah kewangan. Malah, beliau terpaksa menanggung kerugian hampir RM80,000 apabila cawangan MMM Oven Fresh di Tesco Shah Alam yang dibuka beberapa tahun lalu telah dirobohkan pengurusan kompleks berkenaan.

"Ketika itu saya benar-benar tertekan kerana berdepan masalah kewangan dan sewa kedai juga meningkat daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan. Pihak pengurusan juga enggan menyambung kontrak sewaan sekiranya saya tidak bersetuju membayar sewa baru.

"Saya kuatkan hati dan tidak mungkin untuk berputus asa, walaupun perit melihat kedai yang menjadi punca rezeki dirobohkan. Kedai ini sebagai induk kepada saya dan sering menerima permintaan kuih yang banyak.

"Apakan daya, saya sukar mendapat bantuan daripada agensi yang lain dan terpaksa mengeluarkan wang sendiri. Bermula daripada saat itu, saya terus memasang keazaman untuk terus berusaha dan mencipta lebih banyak resipi baru yang enak," katanya.

Sebelum ini, biskut keluaran MMM Oven Fresh dikeluarkan di kilang yang disewa bersama rakan perniagaan lain di Pandaramaran. Pada 2005, Maznah mula menyewa kilang di Bandar Sultan Sulaiman di Pelabuhan Klang bagi menampung kapasiti pengeluarannya.

Bagaimanapun, katanya, syarikat akan membeli kilang berkenaan pada suku pertama tahun depan sejajar rancangan mengembangkan perniagaannya.

Rancang tawar konsep francais, bagi usahawan wanita

MMM Oven Fresh Sdn Bhd, pengeluar biskut dan kuih tradisional, merancang memperluaskan operasinya dengan menawarkan konsep perniagaan secara francais, khususnya kepada usahawan wanita di negara ini.

Pengarah Urusannya, Maznah Dona Mustafa, berkata pengenalan konsep francais itu bertujuan memberi peluang kepada usahawan tempatan yang berminat menceburi perniagaan francais dalam pengeluaran biskut.

Katanya, syarikat mensasarkan untuk mempunyai rangkaian kedai biskut di seluruh negara, terutama di pusat beli-belah atau pasar raya besar kerana mempunyai jumlah pelanggan yang tinggi.

"Kami merancang memperkenalkan konsep francais ini pada suku kedua tahun depan dan usahawan yang berminat hendaklah mematuhi syarat ditetapkan termasuk mengetengahkan konsep MMM Oven Fresh.

"Kami yakin sistem ini lebih berkesan kerana ia dapat memasarkan produk keluaran syarikat dengan lebih menyeluruh dan cepat," katanya ketika ditemui di Subang Jaya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Maznah menjangkakan pengeluaran biskutnya meningkat kepada 300,000 keping keping sebulan berbanding 50,000 ketika ini, apabila syarikat mula memasuki pasaran antarabangsa di samping memperkenalkan pelbagai produk baru awal tahun ini.

Katanya, syarikat merancang memperluaskan pasaran produk biskutnya ke Jepun, China, Thailand dan United Kingdom yang mana penduduknya mempunyai kuasa beli yang tinggi.

"Kami memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membeli kilang yang disewa sekarang di kawasan industri kecil dan sederhana Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

"Syarikat juga akan membeli lebih banyak mesin memproses berteknologi tinggi bagi mempertingkatkan mutu dan keupayaan pengeluaran," katanya.

Beliau berkata, ketika ini kapasiti pengeluaran adalah 300,000 keping sehari dan jika syarikat mula mengeksport tahun depan, ia dijangka meningkat kepada sejuta keping.

"Rancangan untuk mengeksport ini sudah lama, tapi saya perlu menampilkan pembungkusan yang cantik dan biskut menepati cita rasa masyarakat seperti di China, Jepun dan United Kingdom," katanya.

Kreativitinya turut mendapat pengiktirafan apabila kotak biskut mendapat anugerah Reka Bentuk Kotak (Bijak) anjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Keempat (Mihas) pada tahun lalu.

Maznah turut berkongsi rahsia penyediaan biskut 'home make taste' walaupun menggunakan mesin untuk pengeluarannya.

"Saya mengekalkan teknik membuatnya tidak ubah seperti di rumah, termasuk memastikan mentega dan coklat yang secukupnya dalam usaha mengekalkan keenakan dan rangup.

"Muffin pula saya bakar di kedai dan dijual terus kepada pelanggan, sebab itu ia masih panas dan segar," katanya.

FAKTA: MMM Oven Fresh Sdn Bhd

# Mula beroperasi sejak lapan tahun lalu dan kini mempunyai cawangan di Mydin Mall, Subang Jaya serta dua kiosk di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bazar Ole-ole di Seksyen 18, Shah Alam

# Menghasilkan 21 jenis biskut termasuk muffin dan kuih tradisional yang menepati cita rasa pelanggan daripada peringkat dari kanak-kanak hingga orang dewasa

# Pengeluaran biskut dijangka meningkat kepada 300,000 keping keping sebulan berbanding 50,000 ketika ini

# Syarikat kini mengorak langkah dengan mengeksport biskut keluarannya ke luar negara seperti China, Jepun dan United Kingdom mulai awal tahun depan

# Merancang memperluaskan operasinya dengan menawarkan konsep perniagaan secara francais, khususnya kepada usahawan wanita di negara ini

# Memperuntukkan kira-kira RM1 juta bagi membeli kilang yang disewa sekarang di kawasan industri kecil dan sederhana Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang

# Kotak biskut keluaran MMM Oven Fresh mendapat anugerah Reka Bentuk Kotak (Bijak) anjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Keempat (Mihas) pada tahun lalu